“Hidup itu perlu dirasakan, selayaknya menikmati secangkir kopi di pagi hari. Meski terlihat pekat dan harum. Selalu ada pahit di antara itu.” – Agaknya itulah perasaan Pak Ngah bersama teman seangkatannya di warung beratapkan zink dekat kampung Bota Kiri, Perak, sambil menikmati hari minggu yang menyenangkan.
Situasi hampir sama – seorang anak muda turut menikmati kopi latte di satu sudut luar café pinggir bandar Jakarta Selatan, yang dipesan secara e-menu sambil merenung jauh sekumpulan penunggang p-hailing di lampu isyarat berdekatan Senayan City. Tidak terkecuali peniaga di pasar terapung Damnoen Saduak dan pasar keretapi Maeklong di Bangkok yang gigih mencari rezeki, tidak kering keringat melayan sesiapa sahaja yang membeli hasil tanaman pekebun di sampan.
Begitu juga peredaran masa kini, kepesatan teknologi 24 jam semakin dilihat segala-galanya, menjadikan kelompok pengusaha berteraskan digital yang tidak mengira kesalinghubungan rentas sempadan dari kota maju Singapura, Kuala Lumpur, Manila, Hanoi dan menyeluruhnya di rantau ASEAN dan global.
Kelompok peniaga, teknokrat dan elitis yang menguasai tampuk kuasa terus menikmati transformasi aktiviti ekonomi yang sangat menakjubkan keputusannya, tetapi berdepan risiko tinggi dan mencengkam naluri kehidupan yang ada kalanya terjejas dek ketidakstabilan politik dan kerajaan.
Belum lagi diambil kira golongan miskin, daif, masyarakat berkonflik serta yang bertungkus-lumus mencari sesuap nasi, dihimpit dengan pengangguran dan hutang piutang, bertarung dengan kos sara hidup yang memeritkan dan masalah kesihatan yang tidak efektif dan efisien di sesetengah sub-wilayah ASEAN, serta kumpulan migrasi yang mencari kebahagiaan untuk kehidupan kendiri.
Gambaran awal ini adalah situasi kehidupan benar masa kini! Tetapi bagaimana pula harapan wajah-wajah rakyat ASEAN bagi tempoh 20 tahun mendatang ini selari dengan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama? Persoalan besar adalah sejauh mana rakyat ASEAN benar-benar akan mencapai ekonomi kebahagiaan dalam erti kata “Masa Depan Bersama” ?
Beberapa hari lalu, dunia tertumpu seketika sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 selama empat hari.
Pemerhati ekonomi dan beberapa kajian termasuk World Happiness Report menyatakan ekonomi yang unggul termasuk mencapai kebahagiaan dalam kalangan penduduk adalah berdasarkan sikap terhadap kepentingan sokongan sosial, kebebasan memilih dan pilihan, integriti serta negara yang mencapai kesejahteraan dan paling selamat, kadar jenayah rendah dan kehidupan tenang.
Namun ramai sarjana, penganalisis sosioekonomi berpandangan cabaran hebat yang akan dipikul dalam Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 akan mendepani persoalan seperti negara mana berkemampuan terarah negara berpendapatan tinggi selain Singapura, keupayaan industri berasaskan peralihan tenaga, teknologi dan digital dan pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana?
Cabaran seterusnya adalah merapatkan jurang ketidaksamarataan, menyegerakan langkah membasmi kemiskinan, reformasi perlindungan sosial termasuk mengukuhkan Dasar Perlindungan Ekonomi Domestik serta kesejahteraan masyarakat desa, belia, dan paling penting keharmonian politik dan pertahanan dalam usaha menyifarkan konflik.
Wajah-wajah rakyat ASEAN 2045 yang dihuni 671 juta penduduk sudah pasti ingin mengetahui lebih tuntas bagaimana setiap ketua kerajaan masing-masing hendak merealisasikan hasrat Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa satu perjalanan integrasi serantau berpaksikan rakyat yang visinya adalah menutup jurang perbezaan pembangunan serta meningkatkan taraf hidup masyarakatnya.
Seolah-olah satu visi dan misi yang mustahil, seperti mana filem terbaru lakonan Tom Cruise, Mission Impossible (MI) – The Final Reckoning, yang mendepani kecerdasan buatan (AI)yang jahat menguasai dunia secara maya, akhirnya bermatlamat untuk memerangi kejahatan dan menyelamatkan masyarakat dunia.
Tidak lari maksud penceritaan atau naratif MI menerusi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, kesungguhan Pengerusinya bersama sahabat karib ASEAN lain telah menggariskan enam dokumen penting, termasuk pelan strategik bagi tiga tunjang komuniti ASEAN serta pelan keterhubungan serantau yang bakal dipacu oleh 531 langkah strategik yang akan diterjemahkan kepada program kerja konkrit oleh badan sektor ASEAN.
Wajah-wajah rakyat ASEAN 2045, terutama golongan anak muda sudah tentu meletakkan harapan dan kemanisan serta mengandaikan bahawa mereka berhak memperoleh hasil gigih, umpamanya seperti projek mega Grid Tenaga ASEAN (APG) yang menghubungkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung dan Singapura.
Sudah tentu berpotensi kepada wajah-wajah rakyat ASEAN 2045 menikmati limpahan gandaan pelaburan, pekerjaan dan pembiayaan pemindahan teknologi, di samping projek infrastruktur fizikal dan kesalinghubungan bernilai lebih RM164 bilion merentasi Pertumbuhan Segitiga Malaysia, Thailand dan Indonesia (IMT-GT).
Keberanian Malaysia selaku pengerusi meletakkan ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan ASEAN-GCC-China sebagai usaha Mission Impossible yang menyatukan tiga blok ekonomi utama dunia, pastinya membuka mata kuasa ekonomi utama dunia iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), bahawa wajah-wajah ASEAN 2045 mula mengorak langkah dan bersiap sedia mengambil alih pembangunan ekonomi dunia mengikut sasaran yang direncanakan.
Yang pasti – Wajah-Wajah Rakyat ASEAN 2045 bakal memperlihatkan identiti ASEAN baharu lagi unggul dari sisi wajah ekonomi masa kini yang diusahakan secara bersepadu, berstrategik dan pendekatan keberanian luar biasa bagi catatan khazanah perekonomian masa depan.
Penulis ialah Ketua Perunding di Pusat Penyelidikan Strategik dan berpengalaman dalam hal ehwal sosioekonomi, komunikasi strategik dan keparlimenan selama 30 tahun.