Apa punca graduan raih gaji cukup-cukup makan?

Apa punca graduan raih gaji cukup-cukup makan?

BANK Dunia pernah melaporkan, Malaysia berdepan jurang antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan yang tersedia setanding kelayakan mereka apabila satu kekosongan jawatan berkemahiran tinggi direbut enam graduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN bahawa lebih 65 peratus pemegang ijazah di negara ini memperoleh gaji bulanan di bawah RM3,000, sekali gus memperoleh pendapatan ‘cukup-cukup makan’ tanpa ruang untuk menyimpan, melabur, atau meningkatkan mobiliti sosial mereka wajar membuka mata semua pihak bagi menilai realiti hidup yang sedang dihadapi oleh golongan graduan di negara ini.

Penyelesaian secara menyeluruh isu ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pendidikan, pekerjaan dan ekonomi.

Dari pembuat dasar, institusi pendidikan tinggi (IPT), majikan, pakar ekonomi sehinggalah kepada graduan itu sendiri perlu cakna dan mengambil bahagian secara aktif dan proaktif jika isu besar yang membelenggu graduan, masyarakat dan negara selama ini hendak ditangani.

Hakikatnya bukan mudah untuk menyediakan kerja yang sepadan dengan kelayakan akademik dengan kadar gaji yang setimpal. Bank Dunia pernah melaporkan, Malaysia berdepan jurang besar di antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan yang tersedia setanding kelayakan mereka apabila satu kekosongan jawatan berkemahiran tinggi direbut enam graduan.

Tanpa kita menafikan cabaran dan dilema yang sedang dihadapi oleh graduan, adalah tidak wajar dan adil untuk kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak secara keseorangan kerana gejala ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor tempatan dan juga global.

Apa yang pasti, cakap-cakap bahawa kurikulum IPT kita kurang relevan atau tidak menitikberatkan keperluan semasa majikan dan industri wajar dihentikan.

Percayalah, semua IPT telah dan sedang mengambil pelbagai tindakan proaktif untuk menyemak dan menilai kurikulum yang sedia ada dan sesuaikan dengan keperluan semasa serta masa depan.

Pelbagai kursus yang berpaksikan kecerdasan buatan (AI) juga mula ditawarkan bagi mendepani cabaran transformasi digital.

Malah, setiap universiti juga giat menjalinkan kolaborasi strategik dengan pihak industri bagi mendapatkan maklum balas tentang kandungan kurikulum serta ekspektasi mereka terhadap graduan yang bakal dilahirkan mencakupi ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan oleh majikan.

Justeru, ini bukan lagi masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya masyarakat perlu melihat secara menyeluruh struktur ekonomi negara adakah mampu atau sedang menyediakan peluang pekerjaan yang diperlukan oleh graduan khususnya kerja berkemahiran tinggi supaya graduan dapat menikmati kadar gaji yang setimpal dan bukan lagi sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Ironinya, para majikan juga didapati sedang cuba sedaya upaya untuk menyediakan peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan graduan dengan penetapan gaji permulaan yang menarik.

Ini termasuklah kesungguhan yang dizahirkan oleh para majikan melalui penyertaan dalam projek Dasar Gaji Progresif (DPG) yang direka untuk meningkatkan gaji pekerja secara progresif, seiring dengan pertumbuhan produktiviti syarikat.

Pendekatan ini tidak hanya sekadar menaikkan gaji, tetapi juga memastikan kenaikan tersebut selaras dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja.

Begitu juga dengan inisiatif kerajaan yang dilihat sedang giat membawa masuk prospek pelaburan yang besar dengan harapan akan berlaku penciptaan peluang pekerjaan yang lebih banyak dan memenuhi keperluan para graduan.

Ironinya, ini bukan persoalan di mana silap atau siapa yang bersalah tetapi berkait rapat dengan kemampanan struktur ekonomi negara untuk terus berkembang secara organik sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kerjaya berkemahiran tinggi.

Dalam konteks yang lebih makro, kita perlu memastikan negara kita stabil terutamanya dari segi politik, aman dan selamat. Hal ini kerana, faktor-faktor seperti ini akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi domestik mahupun kemasukan pelaburan asing yang positif sekali gus meningkatkan kemampanan struktur ekonomi dalam jangka masa yang panjang.

Justeru, kita perlu yakin dan memberi ruang untuk kerajaan melaksanakan reformasi struktur ekonomi secara menyeluruh supaya mampu memberikan impak yang optimum secara berterusan.

Umpama kota Rom tidak dibina dalam satu hari, baik pulih dan merombak struktur ekonomi negara sedia ada yang dilaporkan telah menyebabkan masyarakat terperangkap dalam pendapatan sederhana bukan kerja mudah atau dapat ditangani dalam tempoh masa singkat.

Hakikatnya, proses ke arah mewujudkan pola ekonomi yang lebih berdaya saing, berkembang secara organik serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sudahpun dimulakan oleh kerajaan. Prosesnya sedang berlaku justeru kita perlu bersabar dan memberikan sokongan yang padu kepada usaha kerajaan.

Tidak wajar juga melabel negara sedang berhadapan dengan masalah lambakan graduan yang dikaitkan pula dengan peluang kerja yang terhad. Ini adalah dua isu yang perlu dikupas dalam konteks yang lebih matang dan strategik.

Akses pendidikan yang lebih baik ketika ini membolehkan ramai anak-anak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ini adalah satu trend yang positif kerana dapat meningkatkan kadar celik huruf serta bilangan rakyat yang berpendidikan tinggi dan profesional.

Senario ini membolehkan negara memiliki sumber guna tenaga yang diperlukan untuk memacu pembangunan negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Jadi, jangan pandang negatif bilangan graduan yang ada sebaliknya kita perlu fokus kepada bagaimana membantu mereka meningkatkan keupayaan untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

Dalam pada itu, graduan juga wajar meningkatkan iltizam untuk menaik taraf kemahiran diri selain memiliki kelayakan akademik. Para pencari kerja perlu fokus kepada keperluan peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling) supaya bersedia menghadapi gelombang kerjaya berkemahiran tinggi yang sedang berlaku sekarang.

Pihak IPT juga boleh terus meningkatkan peranan untuk melahirkan graduan yang holistik yakni cemerlang dalam akademik dan juga adab, sahsiah, kokurikulum serta memiliki pelbagai kemahiran insaniah sebagai nilai tambah.

Menyediakan graduan yang diperlukan industri dan majikan sudahpun menjadi agenda tetap setiap IPT, justeru penambahbaikan terhadap kurikulum serta pelaksanaan program nilai tambah yang dibuat perlu bersifat organik dan boleh ditambah baik.

Tatkala kita simpati dengan dilema yang dihadapi oleh graduan dengan gaji cukup-cukup makan, jangan lupa untuk memahami apa yang sedang berlaku yakni pihak IPT, majikan dan kerajaan sedang berusaha keras untuk tangani masalah ketidakpadanan kerja, gaji permulaan yang setimpal, peningkatan kemahiran graduan serta reformasi terhadap struktur ekonomi negara.

Semoga ada sinar harapan yang lebih baik untuk graduan dan kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhannya. – UTUSAN

NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN