Pertembungan Rafizi-Nurul Izzah helah PKR untuk kembalikan sokongan?

Pertembungan Rafizi-Nurul Izzah helah PKR untuk kembalikan sokongan?

PKR
MOHD. Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya melihat gelagat Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sebagai sandiwara terdesak menakutkan rakyat untuk kembali menyokong PKR yang jelas gagal melaksanakan reformasi sepertimana yang dijanjikannya.

Sudah kembalinya graf Rafizi dengan slogan-slogan lapuk sebagai cubaan mendapatkan balik momentum sokongan mereka.

Malah Rafizi juga seakan-akan menjadi pengkritik lantang terhadap partinya dengan mengungkit isu kepincangan pemilihan dalaman.

Nurul Izzah juga mengkritik perlantikan Azam Baki, walaupun kerajaan pimpinan partinya sendiri yang melaksanakannya.

Ini adalah taktik lapuk sesuatu parti yang kian berkurangan kerelevanannya. Untuk memuaskan hati pengundi kecewa, parti ini akan mewujudkan beberapa tukang kritik sebagai wajah reformasi dalaman.

Akan tetapi, apabila mereka telah mendapat kuasa, parti tersebut tidak akan dapat melaksanakan apa-apa yang dijanji. Tukang kritik hanya wujud untuk memancing penyokong dan pengundi, mendekatkan mereka kepada parti yang dipercayai tetapi yang memperdayakan mereka.

Kenyataan terbaharu Rafizi adalah supaya Nurul Izzah diundi untuk memastikan imej sokongan terhadap Anwar Ibrahim kekal adalah taktik memposisikan dirinya sebagai kem anti-Anwar dalam PKR.

Pada masa ini, atas sebab banyak sangat kompromi dengan nilai reformasi terdahulu, kepercayaan orang ramai terhadap Anwar making pudar. Rafizi ingin membawa rakyat yang semakin sedar akan kebobrokan partinya kembali menyokong mereka.

Kini, dengan jelajah HIRUK, Rafizi mempamerkan beberapa graf yang menunjukkan sokongan terhadap PKR menujam dalam kalangan setiap kaum.

Akan tetapi, tiadanya pemahaman ketara terhadap sebab arah aliran ini. Mengapakah rakyat yang membuang gergasi Barisan Nasional pada 2018 kini berpaling tadah kepada Pakatan Harapan yang pernah menjadi pilihan mereka?

Ya, memang wujud suatu naratif perpecahan dibawa oleh Perikatan Nasional yang menjadi suatu faktor. Akan tetapi, PN adalah pembangkang yang ketandusan idea serta gagal menunjukkan kepimpinan efektif apabila menjadi kerajaan juga. Adakah Pakatan Harapan lemah sangat sampai tidak dapat menandingi mereka?

Realitinya, Pakatan Harapan sedang melihat hasil daripada kegagalan mereka sendiri. Kita ambil Kementerian Ekonomi. Apakah hasil nyatanya? Kini, Jabatan Statistik Malaysia sendiri melaporkan bahawa harga makanan di Malaysia telah meningkat sebanyak dua kali ganda dalam 13 tahun yang lepas.

Apa lagi harga rumah, harga kenderaan dan lain-lain kos kepada rakyat? Jikalau tiadanya Akta Gaji Minimum, kemungkinan gaji rakyat biasa lebih rendah daripada sekarang. Akan tetapi, Kementerian Ekonomi seakan-akan menganaktirikan gaji minimum dengan membawa Dasar Gaji Progresif yang hanya kekal saranan kepada majikan. Adakah ini arah ekonomi yang rakyat inginkan?

Sepatutnya, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan perlu membawa idea-idea bernas. Contohnya, Skim Jaminan Kerja untuk memastikan rakyat yang memerlukan pekerjaan digaji oleh kerajaan dalam sektor tertentu dapat dilaksanakan.

Sektor pertanian makanan tempatan perlu diperluaskan untuk mengurangkan kebergantungan kepada makanan diimport. Sektor pengangkutan awam patut diutamakan supaya penggunaan petroleum dikurangkan serta masalah kesesakan lalu lintas diatasi. Semua idea ini tidak terhasil oleh PKR tetapi diperjuangkan oleh PSM. Memanglah rakyat kurang percaya terhadap mereka!

Rafizi kini berfungsi seperti Bernie Sanders. Bernie dilihat sebagai kuasa progresif dalam Parti Demokratik Amerika Syarikat. Beliau terkenal untuk perhimpunan dan jelajah besar-besaran yang membawa rakyat biasa menyokong polisi-polisi progresif.

Dalam sembilan tahun ini, Bernie telah berkempen atas platform progresif tetapi hanya membawa rakyat biasa menyokong Parti Demokratik yang gagal membawa aspirasi mereka.

Pada tahun 2016, Bernie berjaya mendapat sokongan orang ramai tetapi hanya meminta mereka menyokong Hilary Clinton yang terlibat dengan beberapa tindakan ekstrim di Timur Tengah.

Pada tahun 2020, Bernie membawa berjuta-juta rakyat menyokong Joe Biden yang membantu Israel memusnahkan Palestin. Pada tahun 2024, Bernie sekali lagi membawa sokongan kepada seorang calon Parti Demokratik yang kekal memusnahkan tanah Palestin, iaitu Kamala Harris. Kini, Bernie bersama Alexandra Ocasio-Cortez telah bermula perhimpunan mereka semula.

Kesemua hasil keringat Bernie hanyalah membawa kekecewaan kepada rakyat Amerika Syarikat yang terdesak dan memerlukan pertukaran dasar nyata. Itulah sebabnya mereka memilih Donald Trump.

Seperti itu, rakyat Malaysia pun memerlukan suatu anjakan daripada dasar-dasar lama kepada yang memang berpaksi kepada mereka. Rafizi dan Nurul Izzah hanya akan menjanjikan formula untuk harapan rakyat semata-mata supaya mendapat sokongan kepada PKR.

Kesemua janji mereka tidak akan dapat dicapai dalam sistem ini, sepertimana yang jelas kelihatan melalui tindakan kerajaan MADANI. Malah Rafizi sendiri menyatakan bahawa tangan dan mulutnya terikat apabila telah menjadi Menteri. Buat apa rakyat menyokong suatu parti yang hanya lantang di luar tetapi diam di dalam?

Saya menyeru kepada rakyat jelata, janganlah terpedaya lagi. Pilihan yang ada bukan hanya antara Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan sahaja. Kedua-duanya tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada kesengsaraan kita. Ayuh bersama membina kuasa ketiga!

Arveent Kathirtchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN