Pengerusi ASEAN perlu berani - Utusan Malaysia

Pengerusi ASEAN perlu berani

Malaysia tidak lagi boleh membuang masa berbulan madu meraikan pelantikan sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi perlu bertindak dengan segera meneroka peluang baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Malaysia kembali menjadi perhatian dunia apabila secara rasmi kembali mengemudi ASEAN bermula 1 Januari 2025 selepas empat kali menggalas tugas berkenaan pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Di samping itu, kepengerusian kali ini melakarkan peristiwa bersejarah kerana buat kali pertama dalam perkembangan politik negara apabila Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan mempengerusikan ASEAN sejak kesatuan serantau ini ditubuhkan.

Semestinya gabungan politik baru mempunyai dimensi, kesegaran dan pendekatan politik yang berbeza berbanding era sebelumnya sekali gus memberi harapan kepada masa depan ASEAN yang lebih cemerlang.

Namun kesegaran dasar dan pendekatan tidak hanya bergantung kepada kekuatan gabungan politik semata-mata tetapi pada masa sama turut dipengaruhi oleh kemampuan pemimpin mencipta serta melaksanakan hala tuju negara atas landasan yang tepat.

Justeru, Malaysia hari ini mempunyai sebuah pakej politik domestik yang lengkap menerusi kekuatan Kerajaan Perpaduan dan kepimpinan yang holistik di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10.

Sejurus memenangi Pilihan Raya Umum ke-16, seluruh dunia telah memberi tumpuan kepada Malaysia untuk berhadapan dan merintis penyelesaian kemelut politik melanda negara.

Kebijaksanaan pemimpin negara pada ketika itu meleraikan segala kekusutan yang menyelubungi politik negara apabila Anwar bersama rakan parti komponen lain membentuk Kerajaan Perpaduan sekali gus menstabilkan suhu pergelutan politik Malaysia.

Kejayaan Anwar ini melenyapkan ketidakyakinan segelintir rakyat Malaysia terhadap kerjasama politik yang dicetuskan tetapi akhirnya berjaya membuka mata semua pihak bahawa kerencaman politik bukan penghalang kepada usaha perpaduan negara.

Kemampuan beliau mengharungi pelbagai cabaran dan dinamik politik tempatan pada ketika itu menjadi sandaran untuk melonjakkan lebih tinggi agenda perpaduan, perubahan dan keamanan di dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Cabaran dan penyelesaian isu semasa oleh ASEAN
Kerencaman dan dinamik politik Malaysia sebenarnya cerminan asas kepada geopolitik ASEAN yang unik sekali gus memerlukan kepengerusian yang berani, berpandangan jauh dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Selepas mengambil alih tugas selaku pengerusi ASEAN daripada Laos, Anwar melaksanakan langkah perubahan lebih agresif dengan memperkukuh hubungan sedia ada dengan kuasa besar dunia seperti China dan Rusia.

Malah kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu membuktikan kesediaan negara tersebut untuk menyambut tawaran hubungan dua hala yang lebih kukuh sekal igus memperlihatkan penghormatan luar biasa kepada Malaysia selaku pengerusi ASEAN.

Selain itu, lawatan rasmi Anwar ke Rusia pada Mei disambut dengan penuh kemesraan dan keakraban oleh Presiden, Vladimir Putin sekali gus meletakkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani kuasa besar dunia.

Tindakan Malaysia memperkukuh hubungan dengan China dengan Rusia adalah isyarat terbuka pendirian rantau ini untuk bersahabat dengan mana-mana blok kuasa besar dunia dan tidak memihak kepada mana-mana blok dari Barat.

Meskipun Malaysia perlu bersiap sedia menerima tempias kesan tindakan demikian, namun pada masa sama Malaysia tetap memilih pendekatan diplomasi dan tidak terburu-buru apabila menerima tekanan dari negara kuasa besar dunia lain seperti isu melibatkan peningkatan tarif perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat.

Malaysia tidak keseorangan dalam isu ini, malah Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar turut berhadapan situasi sama apabila berhadapan dengan kenaikan tarif melebihi 40 peratus berbanding beberapa negara anggota lain dalam ASEAN.

Justeru, tindakan Malaysia yang tidak terburu-buru bertindak balas telah menjadi ikutan negara anggota-anggota ASEAN lain memandangkan Malaysia lebih berpengalaman dalam berurusan dan berunding dengan negara-negara kuasa besar dunia sebelum ini.

Malaysia juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk merealisasikan tema keterangkuman dan kemampanan dalam rantau sepanjang tempoh negara ini mempengerusikan ASEAN. Pelbagai isu domestik serantau masih memerlukan penyelesaian segera oleh ASEAN seperti konflik politik di Myanmar, pencerobohan perairan dan arah tuju pelaburan serantau.

Konflik di Myanmar yang berlarutan begitu lama merupakan satu-satunya ‘duri dalam daging’ yang menyekat ASEAN untuk meningkatkan taraf demokrasi dan imej supaya dihormati di peringkat antarabangsa. Negara-negara anggota ASEAN seperti Thailand dan Indonesia yang pernah dibayangi oleh campur tangan tentera dalam pentadbiran telah mengorak langkah jauh dalam proses pendemokrasian kuasa pemerintahan diterajui sepenuhnya oleh pemerintahan awam.

Oleh itu, Malaysia perlu bersungguh-sungguh merealisasikan usaha mengangkat hak asasi manusia dan memulihkan semula demokrasi di Myanmar setelah menggalas peranan kepengerusian ASEAN. Secara prinsipnya, ASEAN telah menetapkan untuk tidak mencampuri hal ehwal politik domestik negara-negara anggota.

Namun, Malaysia bersama-sama negara anggota lain perlu lebih berani mengubah peranannya dalam konteks politik domestik bagi mendukung prinsip demokrasi dan pembaharuan sebagai pemangkin kecemerlangan prestasi mengetuai ASEAN.

Selain meletakkan harapan besar kepada Malaysia, negara-negara anggota seperti Indonesia dan Thailand yang mempunyai sejarah pemerintahan tentera boleh menjadi jambatan penghubung kepada penyelesaian isu ini dengan segera.

Meskipun ASEAN dihambat dengan pelbagai isu serantau yang berpanjangan namun, Malaysia yang memikul tanggungjawab selaku pengerusi perlu mengambil kesempatan menjadi juara menyelesaikan isu-isu ini sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN dan mengarusperdanakannya dalam Sidang Kemuncak 2025 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Malaysia tidak lagi boleh membuang masa berbulan madu meraikan pelantikan sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi perlu bertindak dengan segera meneroka peluang baharu untuk mencapai hasil kemajuan rantau yang lebih berkesan.

Dr. Mohammad Tawfik Yaakub ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN