Beli dulu bayar kemudian perlu lebih telus, mesra pengguna

Beli dulu bayar kemudian perlu lebih telus, mesra pengguna

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era ekonomi digital yang berkembang pesat, model pembayaran Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) telah menjadi antara inovasi kewangan yang paling mendapat perhatian di peringkat global. BNPL menawarkan pengguna kemudahan untuk membuat pembelian serta-merta dan membayarnya secara ansuran, kebiasaannya tanpa faedah. Ciri ini bukan sahaja menarik bagi generasi muda dan mereka yang mempunyai sedikit sejarah kredit, tetapi turut membuka peluang kepada peniaga kecil untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) melaporkan di Malaysia terdapat seramai 3.7 juta pemegang akaun atau pengguna aktif pada tahun 2024, majoritinya berumur antara 21 hingga 45 tahun. Lebih 700,000 peniaga yang menerima kaedah BNPL terutamanya dalam sektor makanan, restoran, runcit dan pengangkutan. Juga sepanjang tahun yang sama, sebanyak 149 juta transaksi bernilai RM12 bilion direkodkan, menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Perkembangan pesat BNPL turut mencetuskan perbincangan penting iaitu bagaimana untuk mengekalkan manfaatnya tanpa mengorbankan kesejahteraan pengguna? Jawapannya bukan dengan menyekat atau membebankan inovasi tetapi dengan mengutamakan ketelusan dan penggunaan yang bertanggungjawab.

Akta Kredit Pengguna 2025 dijangka akan dikuatkuasakan menjelang akhir tahun ini. Salah satu elemen utamanya ialah keperluan bagi penyedia BNPL untuk berkongsi maklumat kredit pengguna dengan agensi pelaporan kredit sebelum urus niaga diluluskan. Objektifnya jelas untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan dan memastikan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab.

Jauh daripada membantu pengguna membeli-belah dengan lebih bijak, keperluan pelaporan kredit yang rigid ini berisiko menjejaskan kepentingan pengguna. Dengan menambah birokrasi rumit, peraturan ini boleh mengakibatkan proses permohonan yang lebih lambat dan ketat, pengalaman pembelian kurang lancar dan syarat yang semakin rumit untuk difahami. Pengguna yang sebelum ini menikmati akses mudah dan cepat kepada pelan pembayaran kini mungkin perlu melalui proses penilaian panjang yang berkemungkinan setanding pinjaman bank, meskipun jumlah pembelian adalah lebih kecil.

Lebih membimbangkan pengguna juga mungkin kehilangan pilihan. Hanya penyedia berskala besar mampu menanggung beban pelaporan dan pematuhan data ini. Pada masa yang sama, pemain yang lebih kecil, biasanya menawarkan perkhidmatan yang lebih fleksibel dan mesra pengguna mungkin terpaksa mengurangkan atau keluar daripada pasaran. Akibatnya, pengguna terpaksa berurusan dengan segelintir syarikat sahaja yang mungkin akan mengenakan terma yang kurang kompetitif. Apabila persaingan dikekang oleh birokrasi, pengguna akhirnya menanggung akibat dalam bentuk pilihan yang lebih sempit, yuran tersembunyi dan kurang inovasi.

Sehingga Disember 2024, terdapat 12 pembiaya BNPL, termasuk empat daripadanya adalah patuh syariah. Di mana terdapat tiga pembiaya utama iaitu Spaylater (Shopee), Paylaterby Grab dan Atome yang mendominasi lebih daripada 95 peratus pasaran pengguna aktif, jumlah dan nilai transaksi. Kurang daripada empat peratus dikongsi oleh penyedia lain. Situasi ini menunjukkan pasaran BNPL di Malaysia sudahpun sangat tertumpu. Justeru, sebarang peraturan yang membebankan penyedia kecil hanya akan mengukuhkan dominasi pihak besar dan menyukarkan kemunculan pesaing baharu. Bagi pengguna, ini bermakna tawaran yang lebih terhad, kurang fleksibiliti dan risiko penetapan terma yang tidak memihak kepada mereka.

Dalam pelaksanaan undang-undang seperti ini, kita perlu berhati-hati daripada meniru bulat-bulat kerangka sektor perbankan tradisional. Contohnya, di Eropah, Artikel 10 dalam peraturan kredit pengguna mewajibkan pemberi kredit menyediakan maklumat prakontrak yang sangat terperinci berdasarkan borang Standard European Consumer Credit Information. Hal ini termasuk jenis dan tempoh kredit, syarat pengeluaran, butiran hubungan lengkap, dan kos keseluruhan. Di atas kertas mungkin kelihatan telus, tetapi dalam praktiknya telah mewujudkan halangan buatan terhadap akses dan persaingan serta meningkatkan risiko terhadap keselamatan data peribadi.

Sebaliknya tumpuan wajar diberikan kepada ketulusan maklumat yang praktikal dan mesra pengguna, bukan semata-mata ketepatan teknikal yang sukar difahami. Apa yang lebih penting adalah memastikan pengguna tahu berapa yang perlu dibayar, bila, dan apakah akibat jika berlaku kelewatan. Ini boleh dilakukan melalui paparan yang ringkas, pemberitahuan automatik dalam aplikasi dan susun atur maklumat yang mudah dibaca.

Ketelusan juga boleh dicapai melalui pendekatan inovatif seperti penilaian risiko automatik dalam aplikasi, sistem pemantauan perbelanjaan, atau ganjaran untuk pembayaran tepat masa. Inisiatif seperti ini membantu pengguna mengurus perbelanjaan mereka dengan lebih bertanggungjawab tanpa memerlukan campur tangan yang membebankan dari luar.

Pendidikan kewangan juga perlu dilihat sebagai pelengkap utama kepada ketelusan. Pengguna perlu dibekalkan dengan alat dan maklumat untuk membuat keputusan sendiri, bukan dilindungi secara berlebihan sehingga kehilangan autonomi. Peraturan BNPL sepatutnya menjadi alat yang memperkasakan, bukan memperdayakan.

Dalam konteks ekonomi digital yang semakin terbuka, BNPL penting dalam merangsang penggunaan dan memperluas peluang sasaran kepada peniaga kecil serta usahawan tempatan. Tetapi sekiranya terlalu banyak sekatan dikenakan, peluang dan nilai ekonomi ini akan hilang dan pengguna juga turut rugi.

BNPL ialah satu bentuk inovasi kewangan yang tidak harus ditolak mentah-mentah mahupun dikawal secara berlebihan. Apa yang diperlukan ialah pendekatan dasar inovatif yang mengutamakan ketelusan, kefahaman pengguna dan ruang untuk inovasi. Bukannya tumpuan kepada pematuhan teknikal semata-mata. Dengan ini barulah kita boleh membina sistem kewangan yang dinamik, adil dan benar-benar berpihak kepada pengguna. – UTUSAN

TARMIZI ANUWAR ialah anggota Sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN