Pendekatan Malaysia dalam isu keselamatan negara Eropah

Pendekatan Malaysia dalam isu keselamatan negara-negara Eropah

PENDIRIAN Malaysia untuk kekal bebas dan berkecuali dalam Perang Ukraine-Russia pada 2022-2025 bertepatan dan relevan kerana ia tidak menjejaskan hubungan antara negara dan hubungan Malaysia dengan kuasa besar serta negara Eropah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 1 April lalu, kerajaan Poland dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani kontrak perjanjian kelengkapan pertahanan bernilai hampir AS$2 bilion (RM8.9 bilion) untuk mendapatkan kelengkapan sistem peluru berpandu permukaan bumi ke udara (SAM) Patriot.

Poland merupakan negara Eropah Timur yang dahulunya dipengaruhi pengaruh komunis muncul sebagai negara terpenting dalam mempromosikan keahlian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kepada negara bekas jajahan Kesatuan Soviet di Eropah Timur selepas runtuhnya Soviet pada 1991.

Kuasa besar AS dan Britain melihat Poland sebagai negara yang penting dalam strategi containment (pembendungan) AS terhadap pengaruh Russia di Eropah seperti mana yang dilakukan AS ke atas China di Asia Pasifik.

Perkembangan terbaharu dasar luar dan dasar pertahanan Poland dan Eropah Timur menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dasar luar semasa Malaysia terhadap Poland dan negara pakatan NATO. Senario ini penting kepada Malaysia untuk sentiasa menganalisa dan mencorakkan dasar luar khususnya berkaitan dengan kepentingan Malaysia dengan negara Eropah Timur, Russia dan negara anggota NATO yang lain agar kita tidak tersalah langkah dalam merencanakan dasar luar mahupun mengimbangi hubungan Malaysia dengan negara kuasa besar.

Poland adalah negara yang bertuah apabila AS bersedia menjual dan menyediakan peluru berpandu dan sistem kelengkapan pertahanan Patriot. Ia merupakan aset strategik AS yang ditempatkan di luar sempadan negara itu.

Keberkesanan sistem peluru berpandu Patriot dalam menangkis serangan musuh dapat dilihat dengan kejayaan tentera Ukraine menembak jatuh peluru berpandu hipersonik Kinzhal milik Russia dengan menggunakan sistem pertahanan udara Patriot pada 9 Mei 2023.

Senjata strategik ini turut digunakan Arab Saudi dan Iraq sebagai pertahanan udara daripada ancaman Iran dan Houthi Yaman. Antara negara yang menggunakan peluru berpandu dan sistem pertahanan udara Patriot ini adalah Romania, Taiwan, Greece, Israel, Jerman, Belanda, Jepun, Arab Saudi, Kuwait, Sepanyol dan beberapa negara lain.

Malah, dasar pentadbiran AS di bawah Donald Trump membantu dan bersedia membuat penghantaran sokongan logistik untuk sistem Patriot termasuk komponen sokongan teknikal serta latihan kepada Poland.

Senario ini dapat dilihat dengan kesediaan Poland pada tahun lalu apabila memperuntukkan perbelanjaan pertahanan sebanyak 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 4.7 peratus pada tahun ini.

Susulan tindakan Russia menyerang Ukraine pada 2022, ia mempengaruhi negara bekas Kesatuan Soviet untuk menilai dan meningkatkan kekuatan ketenteraan bagi menjamin keselamatan negara masing-masing khususnya Poland menjadi ‘tulang belakang’ dalam mempromosikan NATO dalam kalangan negara Eropah Timur.

Pengaruh Poland dalam NATO juga dapat dilihat dengan tindakan Perdana Menterinya, Donald Tusk yang menggesa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk membantu menjayakan proses damai Ukraine-Russia pada 12 Mac lalu di Ankara.

Umumnya Malaysia memiliki jasa dalam politik, ekonomi, keselamatan serta hubungan baik dengan negara Eropah Barat dan Timur. Keputusan Malaysia untuk berdiri dengan pendirian neutral dan berkecuali dalam dasar luar Malaysia semenjak 1970-an sehingga 2025 dalam isu keselamatan membabitkan konflik bersenjata antara kuasa besar adalah kekal relevan dan bertepatan.

Ini kerana semenjak era awal 1990-an, perubahan dasar luar Malaysia yang bersifat berkecuali membolehkan negara ini tidak terjebak dalam persaingan kuasa besar di samping dapat mengimbangi pengaruh kuasa besar khususnya AS dan Russia dalam sistem antarabangsa.

Sebelum 1991, orientasi sistem pertahanan negara banyak dipengaruhi AS dan United Kingdom (UK), namun hasil daripada amalan dasar berkecuali membolehkan Malaysia mempelbagaikan perolehan aset pertahanan negara daripada pelbagai negara sumber.

Selepas 1991, Malaysia dapat membeli dan memiliki pelbagai kelengkapan pertahanan seperti FA-18 Hornet daripada AS, pesawat Hawk100/200 daripada Britain, MiG-29 dan Sukhoi 30 daripada Russia dan pelbagai kelengkapan lain seperti kereta perisai ACV-300 Adnan Turki, kapal selam Scorpene daripada Perancis, kereta Kebal Utama (MBT) PT91M Pendekar daripada Poland, sistem peluru berpandu anti kereta kebal Baktar-Shikan dari Pakistan, Sistem Pelancar Roket Pelbagai (MLRS) ASTROS II daripada Brazil dan sebagainya. Ini adalah hasil daripada amalan dasar luar yang fleksibel dan praktikal bagi Malaysia sebagai negara dunia membangun dan kecil.

Tindakan Malaysia yang mengamalkan dasar berkecuali ini membolehkan Malaysia dihormati dan dilantik sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2015-2016, 1999-2000, 1989-1990 dan 1965-1966. Malah, dasar berkecuali Malaysia turut diiktiraf apabila dilantik sebagai negara Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 2003.

Pendirian Malaysia untuk kekal bebas dan berkecuali dalam Perang Ukraine-Russia pada 2022-2025 bertepatan dan relevan kerana ia tidak menjejaskan hubungan antara negara dan hubungan Malaysia dengan kuasa besar serta negara Eropah.

Pendirian Malaysia untuk kekal dengan prinsip neutral dan berkecuali dalam isu Perang Ukraine-Russia pada 2022 diterima dan dihormati oleh Poland. Ini dapat dilihat dengan kenyataan Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski pada 3 September 2024 menyatakan Poland menghormati pendirian Malaysia dan ASEAN yang teguh dengan sikap neutral dan tidak memihak kepada mana-mana negara dalam isu perang antara Russia dan Ukraine.

Malah, Poland turut menyatakan setiap negara berhak mengambil dasar yang bersesuaian dengan kepentingan negara masing-masing.

Poland dan Malaysia telah menjalinkan hubungan dua hala yang kukuh sejak 1970-an dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan pendidikan. Hubungan baik Malaysia-Poland dapat dilihat dengan peningkatan jumlah dagangan dua hala yang mana antara Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak 14.7 peratus kepada RM3.05 bilion berbanding RM2.66 bilion bagi tempoh sama pada 2023.

Malah, pendirian Malaysia tidak bertentangan kerana terdapat negara Kesatuan Eropah (EU) yang bersifat berkecuali dalam Perang Ukraine-Russia seperti Ireland, Austria dan sebagainya.

Pendirian Malaysia yang bersifat berkecuali ini dapat diperkukuhkan lagi hubungan antara Poland dan Malaysia berikutan Poland akan menjadi Presiden dalam Majlis Kesatuan Eropah manakala Malaysia pula akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini. Ia akan menjadi platform yang baik dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan negara EU. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohamad Faisol Keling ialah Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya