TRAGEDI letupan paip gas yang menggegarkan Putra Heights baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan rumah dan harta benda, bahkan turut menjejaskan emosi dan psikologi ramai penduduk yang terlibat. Jeritan dan tangisan mangsa masih terngiang, walaupun bara api telah lama padam. Dalam diam, trauma terus membalut hati dan fikiran mereka yang terselamat – satu bentuk luka yang tidak kelihatan oleh mata kasar.
Dalam psikologi, trauma merujuk kepada tindak balas emosi yang timbul akibat pengalaman yang amat mengejutkan, menakutkan, menyakitkan atau menyayat hati seperti kemalangan, bencana, keganasan, ataupun kehilangan. Ia bukan sekadar ‘takut biasa’, tetapi membabitkan gangguan mendalam terhadap rasa selamat dan kawalan diri seseorang.
Trauma berlaku apabila otak dan tubuh gagal memproses kejadian yang dialami. Otak menyimpan memori itu dalam bentuk yang tidak selesai, dan boleh diaktifkan kembali oleh bunyi, bau, atau suasana tertentu. Jika tidak ditangani, ia boleh berkembang menjadi Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD).
Mangsa yang terkesan akan mengalami beberapa simptom trauma termasuklah gangguan pemikiran iaitu tanpa semena-mereka mengalami imbasan kembali (flashback), mimpi ngeri, tekanan psikologi dan tindakbalas fisiologi seperti berpeluh, menggeletar dan keletihan; mengelak rangsangan berkaitan trauma termasuk berfikir dan berada di tempat trauma, mudah lupa, mengasing diri dan hilang minat; masalah mood seperti paranoid, emosi terhad, hilang minat, cepat marah serta bangkitan hiper yang menyebabkan individu terlibat mengalami kesukaran untuk tidur, mudah marah, sukar fokus, terlalu berhati-hati dan mudah terkejut.
Jika kesemua simptom utama itu mengganggu mangsa lebih sebulan sehingga tidak dapat berfungsi dengan baik dalam konteks pengurusan diri, hubungan keluarga dan sosial, pekerjaan serta sumbangan kepada masyarakat maka mereka berisiko mengalami PTSD. Mangsa letupan, terutama kanak-kanak dan warga emas, amat terdedah kepada kesan psikologi yang serius.
Ramai dilaporkan mengalami keresahan melampau, gangguan tidur seperti mimpi buruk atau tidak lena dan tingkah laku agresif atau terlalu pendiam, hypervigilance, iaitu rasa takut berlebihan dan sentiasa berjaga-jaga dan kehilangan minat terhadap kehidupan seharian. Gangguan ini mengganggu kehidupan harian mereka – daripada aspek belajar, bekerja, hingga berhubung dengan ahli keluarga.
Simptom-Simptom Trauma Yang Dikesan
Hasil pemerhatian dan sesi sokongan psikologi yang dijalankan di pusat pemindahan mangsa mendapati beberapa simptom berulang, antaranya:
Kanak-kanak menangis tanpa sebab, atau kembali kencing malam.
Remaja menjadi pendiam, marah, atau menolak untuk berbicara tentang tragedi.
Mangsa dewasa pula mengalami kilas balik (flashback) apabila terdengar bunyi siren atau melihat asap.
Ada juga yang menjadi takut kepada warna atau cahaya yang mengingatkan mereka kepada kejadian.
Ini semua adalah reaksi emosi normal bagi seseorang mengalami trauma, namun jika berlarutan tanpa rawatan, ia boleh membawa kepada kemurungan atau gangguan mental jangka panjang.
Reaksi Emosi Selepas Tragedi
Mangsa biasanya melalui pelbagai perasaan yang bercampur-baur. Antaranya:
Rasa bersalah, kerana mereka terselamat sedangkan jiran atau kenalan mereka tidak.
Marah, sama ada kepada pihak berkuasa, keadaan, atau diri sendiri.
Hilang arah, khususnya bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.
Kesedihan melampau, yang boleh menjurus kepada kemurungan klinikal.
Emosi ini sebahagian daripada proses ‘grief’ atau penyesuaian terhadap kehilangan, dan perlu dikenali serta ditangani dengan penuh empati.
Cara Berdaya Tindak Dengan Trauma
Proses pemulihan dari trauma memerlukan kekuatan dalaman dan sokongan persekitaran. Antara langkah yang boleh diambil:
Akui perasaan yang timbul. Jangan nafikan emosi seperti takut, sedih atau marah – ia reaksi normal.
Berkongsi cerita. Luahkan kepada ahli keluarga, sahabat atau kaunselor.
Elakkan mengasingkan diri. Sertai komuniti, aktiviti sukarela atau program sokongan.
Jaga kesihatan tubuh. Tidur mencukupi, pemakanan sihat dan senaman ringan bantu kestabilan emosi.
Dapatkan bantuan profesional. Psikologi klinikal, kaunselor dan pakar psikiatri boleh membantu membimbing proses pemulihan.
Yang paling penting, usah menanggungnya sendirian. Trauma adalah penyakit yang boleh dirawat. Ramai yang menyangka, ‘biar masa menyembuhkan segalanya’. Malangnya, bagi trauma psikologi, masa sahaja tidak mencukupi.
Sokongan berterusan dan sistematik amat diperlukan. Mereka juga seharusnya dapat akses kepada pakar-pakar profesyen menolong seperti kaunselor, psikologis dan psikiatris bagi mengurangkan bebanan pemikiran dan emosi bagi menjaga kesihatan mental agar secara fizikal mereka berupaya melahirkan tingkah laku yang positif.
Pihak kerajaan, NGO, dan institusi pendidikan harus berganding bahu menyediakan pusat pemulihan psikososial pasca-bencana, latihan kecemasan mental untuk petugas barisan hadapan dan kempen kesedaran awam tentang kepentingan sokongan emosi.
Komuniti pula boleh memainkan peranan dengan menjadi pendengar yang baik, memudahkan akses kepada bantuan dan tidak menstigma mereka yang mengalami gangguan emosi.
Letupan Putra Heights bukan sahaja meruntuhkan struktur bangunan, tetapi turut meruntuhkan kestabilan emosi ramai insan. Kita mungkin melihat mereka berjalan seperti biasa – namun dalam jiwa, ada luka yang belum sembuh.
Sebagai masyarakat prihatin, marilah kita bantu memulihkan mereka dengan penuh belas ihsan. Trauma yang tidak kelihatan, jika tidak dirawat, boleh menjadi racun yang perlahan-lahan memusnahkan harapan hidup.
Sudah tiba masanya kita mengiktiraf kesihatan mental sebagai satu keutamaan, dan memberi ruang kepada mangsa untuk pulih – bukan sahaja dari luka fizikal, tetapi juga luka jiwa.
Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali ialah Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia