Literatur telah menunjukkan liberalisasi perdagangan secara umum meningkatkan kesejahteraan ekonomi keseluruhan dan memperbaiki keadaan masyarakat. Sejak zaman Ricardo pada abad ke-19, apabila teori dan konsep kelebihan komparatif diperkenalkan ahli ekonomi British, David Ricardo, banyak terdapat bukti manfaat daripada perdagangan bebas. Dikatakan liberalisasi perdagangan membuka pasaran dan mempromosikan eksport melalui mekanisme ‘semulajadi’ kelebihan komparatif.
Kesan liberalisasi perdagangan terhadap sektor pertanian adalah diketahui umum. Ini melibatkan pengurangan berterusan dalam subsidi pertanian, pengurangan halangan perdagangan baik tarif dan bukan tarif, yang mengakibatkan peningkatan pergerakan output (barang dan perkhidmatan) dan input terutama modal, penurunan harga komoditi dan ekonomi pertanian didorong pasaran.
Namun, sejak Januari 2018, berlaku perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China dengan masing-masing meningkatkan tarif pada produk dagangan. Ia bermula apabila AS mengemukakan permintaan untuk perundingan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dengan kebimbangan bahawa China melanggar hak harta intelek.
Isu ini semakin runcing dengan pengenalan ‘tarif timbal balik’ oleh AS yang merujuk kepada satu siri duti import yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump, pada 2 April lalu, semasa apa yang disebutnya sebagai ‘Hari Pembebasan’. Tarif biasanya digunakan sebagai langkah perlindungan menyokong pengeluar tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan domestik.
Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24 peratus dari AS sebagai sebahagian daripada dasar perdagangan yang menyasarkan negara di mana AS mempunyai defisit perdagangan besar. Negara ASEAN lain juga terjejas, dengan dikenakan tarif 46 peratus, 49 peratus, 37 peratus, 32 peratus, dan 18 peratus masing-masing ke atas Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, dan Filipina. Import barangan dari Singapura hanya dikenakan 10 peratus.
Berdasarkan nilai eksport 2024, produk utama yang dieksport ke AS adalah elektronik dan elektrik (lebih RM50 bilion), mesin dan peralatan (kira-kira RM27 bilion), mesin perubatan dan bahagian optik (sekitar RM17.5 bilion), produk getah (sekitar RM7.6 bilion), dan perabot, papan tanda pencahayaan dan bahan binaan prafabrikasi (kira-kira RM7 bilion).
Tarif import, yang dikenakan ke atas barangandiimport, sering kali menyebabkan peningkatan kos kepada syarikat pengimport dalam negara. Syarikat ini biasanya memindahkan kos tambahan kepada pengguna melalui kenaikan harga, yang akhirnya meningkatkan perbelanjaan pengguna domestik.
Apakah kesan tarif timbal balik AS terhadap pertanian Malaysia? AS merupakan pasaran eksport terbesar bagi produk getah Malaysia, menyumbang 31.4 peratus daripada jumlah eksport produk getah pada 2024, dengan nilai RM3.43 bilion. Produk utama termasuk sarung tangan perubatan, kateter, dan benang lateks.
Alternatif kepada getah asli adalah getah tiruan, iaitu hasil sampingan industri minyak. Apabila harga minyak meningkat, kos pengeluaran getah tiruan juga meningkat, mendorong pengeluar mencari alternatif lebih murah seperti getah asli. Sebaliknya, apabila harga minyak turun, getah tiruan jadi lebih kos-efektif, berpotensi mengurangkan permintaan getah asli. Kajian menunjukkan permintaan terhadap getah asli tidak elastik, bermakna kenaikan harga mempunyai kesan minimum terhadap eksport.
Pasaran minyak sawit Malaysia di AS agak kecil. Pada 2024, Malaysia mengeksport 191,000 tan minyak sawit ke AS, hanya sekitar 10 peratus daripada import minyak sawit AS dan 1.1 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia.
Walaupun pasaran ini kecil, tarif yang dikenakan akan meningkatkan kos minyak sawit bagi pengguna akhir di AS. Kenaikan harga akibat tarif ini berkemungkinan mendorong pengeluar makanan dan pengguna di AS menggantikan minyak sawit dengan alternatif domestik yang kompetitif dari segi harga, seperti minyak kacang soya,
Tarif import AS berpotensi memberi kesan berbeza terhadap produk pertanian negara. Produk getah mungkin kurang terjejas disebabkan permintaan tidak elastik dan keperluan khusus dalam sektor perubatan. Sebaliknya, eksport minyak sawit mungkin menghadapi cabaran disebabkan permintaan elastik dan kemungkinan peralihan kepada alternatif lain oleh pengguna di AS.
Secara teori, kesan negatif terhadap sektor pertanian Malaysia termasuk pengurangan daya saing, penurunan jumlah eksport, perlambatan pertumbuhan ekonomi, gangguan rantaian bekalan, dan potensi mencetuskan tindakan balas perdagangan. Namun, kadar tarif Malaysia yang lebih rendah memberikan sedikit kelebihan berbanding Indonesia dan Thailand, yang masing-masing menghadapi tarif sebanyak 32 peratus dan 36 peratus.
Untuk mengurangkan kesan tarif timbal balik ini ke atas eksport pertanian Malaysia, negara ini boleh mempertimbangkan strategi-strategi berikut: Mempelbagaikan Pasaran Eksport – Mengurangkan kebergantungan pada pasaran AS dengan memperluas hubungan perdagangan dengan negara lain dapat membantu mengimbangi kerugian. Memperkuat hubungan dengan rakan dagangan sedia ada dan teroka pasaran baru adalah penting.
Meningkatkan Daya Saing Produk – Malaysia perlu meningkatkan kelebihan daya saing dalam pasaran global. Industri harus meningkatkan kecekapan pengeluaran melalui teknologi penjimatan tenaga kerja dan penambahan tanah. Kemajuan dalam mekanisasi pokok telah agak perlahan. Dengan kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos buruh, inovasi dalam bidang ini perlu dipertingkatkan.
Memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada – Menggunakan kerangka seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan FTA ASEAN-China dapat memudahkan akses ke pasaran alternatif dengan tarif dan halangan perdagangan lebih rendah. Kerajaan juga disarankan mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah dan mempertimbangkan untuk rundingan FTA dengan AS bagi mengurangkan impak tarif.
Memperkukuh rantaian bekalan domestik – Mengurangkan rantaian bekalan tempatan yang kukuh dapat mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan ketahanan terhadap gangguan perdagangan luar. Ini melibatkan sokongan kepada industri tempatan dan pengurangan kebergantungan pada input yang diimport.
Mengadakan rundingan diplomatik – Menggunakan saluran diplomatik merundingkan pengurangan atau pengecualian tarif boleh memberi manfaat. Menekankan kepentingan bersama dan potensi pertumbuhan ekonomi kolaboratif mungkin membantu mencapai perjanjian yang menguntungkan.
Dengan melaksanakan strategi ini, Malaysia berupaya meminimumkan kesan negatif tarif AS terhadap pertanian serta memperkukuh asas ekonomi lebih berdaya tahan dan pelbagai.
Prof. Datuk Dr. Nasir Shamsudin ialah Felo Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM)