Celik teknologi jangan buta etika

Celik teknologi jangan buta etika

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendidik pelajar agar melihat kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar alat teknikal, tetapi sebahagian daripada persekitaran tamadun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia didorong teknologi kecerdasan buatan (AI), institusi pendidikan tinggi berdepan cabaran yang luar biasa dalam membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang secara intelektual, malah utuh dari segi akhlak, spiritual dan tanggungjawab sosial.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebagai institusi berteraskan integrasi ilmu wahyu dan insaniyah, berada di barisan hadapan dalam mengemudi pembangunan pelajar dengan berpandukan pendekatan Tauhidik serta prinsip Malaysia Madani.

Pendekatan ini melihat ilmu sebagai amanah menjadi asas kepada usaha UIAM dalam menangani cabaran pembangunan pelajar, khususnya dalam mengekalkan keseimbangan antara pencapaian intelek dengan pembinaan sahsiah. Dalam era AI, maklumat berada di hujung jari dan proses pembelajaran menjadi lebih pantas. Namun, dalam keselesaan itu tersembunyi cabaran. Pelajar terdedah kepada budaya ‘jalan pintas’ seperti plagiat, kebergantungan kepada mesin untuk menjawab tugasan dan hilangnya nilai usaha serta kesungguhan.

UIAM memastikan pensyarah lebih pintar daripada mesin, kerana kecerdasan semula jadi manusia sepatutnya lebih tinggi daripada AI. UIAM menekankan ilmu bukan sekadar alat untuk kejayaan dunia, tetapi amanah yang perlu dituntut dengan adab dan integriti serta ilmu yang berhikmah. Nilai seperti kejujuran, tanggungjawab dan ihsan diterapkan melalui kursus-kursus kokurikulum seperti kepimpinan, pengurusan keluarga dan aktiviti usrah.

Aktiviti-aktiviti ini menjadi medan pengukuhan nilai, pembinaan karaktor, melazimi akhlak serta adab secara Islamik, menyemai rasa tanggungjawab terhadap ilmu, masyarakat dan diri sendiri.

Pembangunan pelajar tidak bersifat terasing, tetapi disusun dalam ekosistem tarbiah yang merangkumi aspek ruhiyyah, aqliyyah, jasadiyyah, sosial dan emosi yang menyeluruh agar setiap pelajar memahami peranan mereka sebagai abdillah (hamba Allah) dan khalifah (pemimpin) dalam membina ummah.

Kemajuan teknologi AI memperlihatkan konflik antara deep learning (pembelajaran bermakna) dan deepfake.

UIAM memilih untuk memperkukuh nilai tanggungjawab ilmu dan ketulenan maklumat agar pelajar bukan sahaja menuntut ilmu, tetapi juga berakhlak dalam menyebar dan menggunakannya.

Tanggungjawab ilmu menuntut kejujuran, amanah dan penggunaan ilmu untuk kebaikan masyarakat, bukan kepentingan peribadi. Pelajar perlu teliti dan bertanggungjawab dalam menapis maklumat di era ledakan data. UIAM menekankan budaya ilmu yang berteraskan ketulusan niat dan keikhlasan, bukan semata-mata pencapaian akademik, dalam membentuk pelajar menjadi anggota masyarakat yang berintegriti.

Dengan kefahaman ini, UIAM mendidik pelajar melihat AI bukan sekadar alat teknikal, tetapi sebahagian daripada persekitaran tamadun. Maka, setiap penggunaan teknologi perlu dipandu adab terhadap ilmu, nilai keadilan dan kesedaran tentang kesan sosialnya.

Hanya melalui pendekatan berteraskan nilai wahyu dan Pemikiran Tauhidik, pelajar mampu menyumbang kepada tamadun madani yang sebenar. UIAM menegaskan ilmu perlu dilihat sebagai amanah yang bertanggungjawab, bukan alat manipulasi, terutamanya dalam era pasca-kebenaran.

CABARAN
Antara cabaran ketara ialah ketidakseimbangan emosi akibat gaya hidup pantas yang didorong AI, menyebabkan keletihan emosi dan rasa terasing dalam kalangan pelajar. UIAM menangani isu ini dengan menerapkan prinsip kesejahteraan dan ihsan melalui kursus asas kaunseling, usrah maya dan sesi sokongan rohani rakan sebaya bagi mengukuhkan kesejahteraan emosi pelajar.

Cabaran etika digital juga penting dalam era AI. Ramai pelajar celik teknologi tetapi tidak semua memahami batasan etika dalam penggunaannya. Kemudahan akses kepada maklumat dan keupayaan mencipta kandungan digital tidak semestinya diiringi dengan kesedaran moral dan adab terhadap ilmu serta implikasi sosialnya.

Justeru, UIAM menekankan nilai hormat dan keyakinan sebagai asas dalam membina budaya digital yang sihat dan bertanggungjawab. Pelbagai inisiatif seperti bengkel kesedaran digital, kursus pencipta kandungan serta kempen advokasi siber beretika dilaksanakan bagi membimbing pelajar menjadi pengguna dan pencipta kandungan yang beretika dan beramanah.

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, dalam kerangka peradaban Islam, kecerdasan manusia tidak hanya tertumpu kepada kecerdasan semula jadi (NI) bersumber daripada akal tetapi merangkumi AI yang dicipta untuk meniru kemampuan manusia, serta kecerdasan Kenabian (PI).
Dalam pandangan ini, PI dikaitkan dengan kecerdasan para nabi, suatu bentuk pemahaman, hikmah dan panduan yang meletakkan kebenaran, keadilan dan kesucian sebagai asas tindakan dan seharusnya menjadi rujukan dan panduan kita.

Dalam konteks pembangunan pelajar, penggunaan AI perlu dinilai dari aspek akhlak dan kesan terhadap insaniyah, bukan sekadar kecekapan.

UIAM menekankan pendidikan digital berteraskan nilai kenabian yang meletakkan ilmu sebagai amanah, menjaga kemuliaan insan dan memastikan teknologi tidak menenggelamkan fitrah serta tujuan sebenar kehidupan manusia. Menjadikan ilmu sebagai amanah dan teknologi selaras dengan fitrah manusia, sekali gus membezakan pendekatan UIAM yang mencerdaskan minda, menyucikan niat serta menyantuni peradaban.

Keterangkuman turut menjadi cabaran. Tidak semua pelajar mempunyai akses teknologi yang sama. UIAM mengambil langkah proaktif seperti pemberian peranti, latihan literasi digital dan galakan bawa peranti sendiri (BYOD) untuk merapatkan jurang digital dan memastikan kesaksamaan pembelajaran.

Sebagai usaha membina ekosistem pendidikan menyeluruh, UIAM melaksanakan pembangunan pelajar secara holistik dan strategik melalui pelbagai program seperti latihan kepimpinan, kursus kokurikulum, dan mentorship. Program ini mengasah kemahiran insaniah dan menyemai nilai-nilai halifah, amanah, iqra’ serta rahmatan lil-‘alamin (KhAIR), membentuk pelajar menjadi graduan berilmu, berakhlak, dan berperanan sebagai pembina ummah.

Pelbagai modul dan platform seperti program kepimpinan pelajar, latihan berstruktur bersama fasilitator dan tenaga pengajar, dan kursus kokurikulum berkredit yang digerakkan di bawah Pusat Kokurikulum Berkredit (CCC). Dengan pendekatan ini, pelajar bukan sahaja dibentuk untuk menjadi graduan berilmu, tetapi juga individu yang sedar peranan mereka sebagai pembina ummah yang berakhlak, berkepimpinan dan berwawasan.

Akhir sekali cabaran terbesar dalam mengurus Pembangunan Pelajar berdasarkan kerangka madani di era AI ialah menyatukan semua komponen pembangunan pelajar meliputi akademik, sosial, kerohanian dan digital di dalam satu kerangka nilai yang menyeluruh.

Namun, penerapan konsep KhAIR dalam kurikulum dan budaya kampus, menjadikan pelajar sebagai agen rahmat selain pembawa hikmah ke seluruh pelusuk dunia.

UIAM komited melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga beradab, amanah dan menyumbang kepada ummah. Generasi rahmatan lil-‘alamin ini akan terus membawa sinar ilmu, adab dan hikmah dalam dunia yang kian mencabar.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin ialah Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

SHAHRIZAD Sa-idul Haj ialah Pengarah Pusat Kokurikulum Berkredit, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya