Krisis membaca di dunia Arab

Krisis membaca di dunia Arab

BANGSA Arab berdepan dengan masalah kecetekan dan kerendahan nilai tamadun ilmu ekoran kerapnya berdepan dengan peperangan dan krisis kemanusiaan (AFP). – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hendak bercakap mengenai keadaan pembacaan buku di dunia Arab pada waktu ini seperti tidak wajar. Amerika Syarikat sedang berusaha hendak mengambil Gaza.

Rakyat Palestin di Tebing Barat ditekan, ditindas, ditangkap, didera dan dibunuh oleh Israel. Mereka juga menakluk wilayah Lubnan dan Syria tanpa sebarang halangan.

Tetapi perang Zionis terhadap Palestin bukan saja di tanah kediaman mereka. Penyokong mereka turut menyerang Palestin di dunia maya dalam bidang daya pembacaan. Sambil menyatakan bahawa orang Yahudi adalah cerdik, mereka mendakwa orang Palestin tidak berpendidikan dan buta huruf.

Tentulah tidak sama antara keadaan warga Israel dengan Palestin. Negara Israel wujud dan terlindung serta dibantu oleh dunia Barat. Maka memang benar Israel dapat mencapai kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.

Berbanding dengan Palestin. Wilayah Gaza sememangnya hancur luluh dan Tebing Barat tidak berfungsi sebagai negara merdeka. Tentera Israel sentiasa menekan kehidupan seharian. Malah baru-baru ini pasukan Israel menyerbu kedai buku terkenal Educational Bookshop di Baitulmaqdis Timur. menangkap pemiliknya dan merampas buku-buku.

Sungguh pun begitu, dalam satu tinjauan, kadar celik huruf warga Palestin, baik lelaki mahu pun perempuan mencecah lebih 95 peratus. Warga Palestin adalah berpendidikan dan mempunyai kadar pembacaan yang setaraf dengan orang Arab lain seperti Lubnan dan Mesir. Namun ketinggian kadar celik huruf walaupun meningkatkan ruang kadar membaca buku, tetapi ia bukan kemestian.

Kempen pihak penyokong Israel bukan saja ditujukan kepada warga Palestin tetapi juga pada orang Arab. Mereka selalu membandingkan kecerdasan orang Yahudi dengan Arab. Kata mereka, banyak pemenang Hadiah Nobel sains dalam kalangan orang Yahudi.

Kedudukan intelektual orang Yahudi berkait rapat dengan sejarah tamadun Barat. Mereka adalah sebahagian daripada dunia Barat walaupun dipencilkan dan ditekan oleh orang Eropah. Namun dalam tertekan itu mereka mengukir ruang yang dibenarlan dalam bidang kewangan, akademik dan kesusasteraan.

Sememangnya daripada tradisi. orang Yahudi mempunyai hubungan rapat dengan kerja-kerja pembacaan berasaskan kitab agama mereka. Sebelum munculnya tamadun Barat moden, orang

Yahudi turut aktif dalam peradaban Islam. Maka muncullah tokoh cendekiawan mereka di masa pemerintahan Khalifah Umayah, Abasiah dan Usmaniah baik di Kordova, Baghdad mahu pun Istanbul.

Beberapa bulan lalu ada hantaran You Tube yang bertajuk Arab Reading Crisis atau Krisis Membaca di Dunia Arab. Ia menampilkan Laporan Pembangunan Manusia yang diterbitkan oleh

Pertubuhan Bangsa-bangsa (PBB). Laporan yang diterbitkan beberapa tahun lalu menyiarkan hasil tinjauan kadar pembacaan buku oleh orang Arab. Maka rumusannya ialah orang Arab kurang membaca, iaitu kadarnya lebih rendah berbanding warga dunia Barat.

Maka dipersoalkan mengapakah orang Arab kurang membaca berbanding Barat. Sedangkan orang Arab beragama Islam dan ayat pertama Al-Quran adalah “iqra” iaitu membaca. Kemudian dipersoalkan juga adakah fenomena kurang minat membaca ini adalah disebabkan agama. Maknanya agama Islam hanya menggalakkan membaca al-Quran dan buku-buku agama tetapi bukan buku lain seperti seperti sastera.

Bagaimana pula orang Islam yang bukan Arab seperti Turki, Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia. Ternyata semua negara-negara Islam didapati kurang membaca buku berbanding dunia Barat.

Sebenarnya, Zaman Keemasan Islam yang merujuk pada pemerintahan Abasiah dan Umayah menunjukkan bahawa umat Islam ketika itu aktif dalam membaca dan menulis. Pada masa itu

Eropah berada pada zaman kegelapan. Tetapi tentulah yang aktif membaca dan menulis adalah segelintir iaiti para ulama.

Konsep tabiat membaca buku pada zaman moden hanya timbul ketika mula tamadun Eropah mencipta alat cetak bergerak dan menghasilkan banyak buku. Ia merupakan sebahagian daripada

Zaman Pencerahan, Revolusi Sains dan Industri. Di bahagian lain dunia termasuk dunia Islam tidak melalui zaman itu. Ketika zaman imperialisme Barat, mereka pula tidak membawa budaya ini kepada penduduk-penduduk tanah jajahan. Hanya selepas kemerdekaan, barulah konsep celik huruf secara meluas dan tabiat membaca buku diperkenalkan kemudian di negara-negara baru merdeka. Tetapi sehingga ini dunia bukan Barat kecuali mungkin seperti China,, Jepun dan Korea Selatan masih ketinggalan.

Perkataan “iqra” dalam al-Quran diterjemahkan sebagai “bacalah” dalam bahasa Melayu dan “read” atau “recite” dalam bahasa Inggeris. “Baca” membawa maksud “memahami”. Ia tidak semestinya bermaksud “memahami” daripada tulisan. Contohnya “membaca mimik wajah” atau “membaca bahasa badan. “Iqra” dalam bahasa Inggeris lebih tepat bermaksud ”recite” iaitu mengucap sesuatu ungkapan. Ketika di gua Hira, malaikat Jibril tidaklah membawa buku atau tulisan untuk Nabi baca. Sebaliknya hanya menyuruh Nabi ulang apa yang dikatakan. Iaitu “ucap” .

Orang Melayu menyebut “mengaji al-Quran” dan bukan “membaca al-Quran. Dalam bahasa Arab disebut “tilawah”. Perkataan “mengaji” datang daripada perkataan “kaji” . Tetapi ketika mengaji al-Quran. orang Melayu bukan saja tidak “kaji” tetapi hanya membaca tanpa faham ayat. Untuk mengaji dengan faham ayat, maka disebut “tadabur”. Tetapi al-Quran adalah kitab suci yang kompleks. Ia memerlukan “tafsir” dengan ilmu para ulama.

Tetapi untuk umat Islam memahami dunia, sebahagian besar daripadanya perlu mempunyai tabiat membaca buku dunia sekurang-kurangnya setanding dengan pihak Barat, termasuk Yahudi.

Andai kata pada tahun 1930-an dan 1940-an, orang Arab dan umat Islam rajn membaca buku setanding dengan dunia Barat, mereka mungkin sedar niat dan rancangan Zionis terhadap Palestin. Jika perkara itu berlaku mungkin muncul gerakan nasional Palestin yang dapat menghalang kedatangan orang Yahudi yang lari dari Jerman. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN