Kembali ke Malaysia menyiarkan bahan wawancara kisah Natrah

Kembali ke Malaysia menyiarkan bahan wawancara kisah Natrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah lebih dua minggu di Amsterdam, Den Haag, Bergen Op Zoom Belanda dan akhir sekali seminggu di London dan Bangor, Wales, United Kingdom saya balik ke Kuala Lumpur untuk menulis kisah Natrah.

Saya kembali ke Kuala Lumpur pada pertengahan Disember 1988. Saya kembali ke ibu pejabat majalah Dewan Masyarakat yang saya wakili iaitu DBP. Pada tahun 80-an itu, belum ada komputer, belum ada laptop jauh sekali telefon tangan atau pun media sosial yang datang bersamanya. Yang ada barangkali hanya permulaan telegrafic transfer.

Saya bekerja dengan membawa perakam suara mini dengan pita suara yang mini – itu pun sudah dikira sangat canggih pada masa itu. Saya bekerja dengan kamera SLR Nikon dengan fokus lensa yang panjang sedikit.

Ini memang kerja one man show – tiada lebihan belanja untuk membawa seorang lagi jurugambar bersama saya. Nasib saya baik kerana kemahiran itu dipelajari semasa belajar subjek photo communication di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dan subjek menaip dengan mesin taip manual! Zaman ini pelajar komunikasi akan skip subjek ini setelah laptop mengambil alih.
Sampai di pejabat semua bahan wawancara di dalam pita suara akan didengar dan ditranskrip ke dalam bentuk tulisan oleh kelompok pekerja jurutaip. Kemudian saya akan hantar filem dalam bentuk gulungan untuk dicuci oleh studio. Mana-mana gambar yang terhasil dalam kualiti fokus yang baikkan dipilih oleh editor bagi tulisan yang mengiringi gambar tersebut.

DEWAN MASYARAKAT CIPTA SEJARAH BARU
Kemudian saya berjumpa dengan bos Johan Jaafar (sekarang Tan Sri) untuk berbincang tentang apa perolehan saya dan kerja seterusnya. Dalam masa sama pihak promosi dan pemasaran DBP menguruskant entang promosi dalam surat khabar dan di televisyen.
Iklan besar-besaran secara mingguan bermula Januari 1989 mula tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Iklan itu memuatkan muka saya (terpaksalah jual muka walaupun tidak suka)) dan pencarian Natrah dengan ayat-ayat penuh “rangsangan memaksa” daripada boss JJ. Iklan inilah yang menjadikan majalah Dewan Masyarakat dicari oleh peminat seluruh negara.

Tidak pernah ada iklan gempar seumpama ini pernah dibuat oleh DBP sebelum ini. Dewan Masyarakat mencipta sejarah baharu! Majalah Dewan keluar daripada zon selesa kepada cabaran baru.
Penyelidikan panjang berbentuk investigative reporting dan wawancara daripada pelbagai sudut subjek. Setiap ketua Editor hanya akan memberi arahan – hanya kreativiti wartawan beserta rezeki dari ketentuan takdir yang akan memberikan kelainan dan keistimewaan hasil akhir penulisan. ​​

KEPUTUSAN UNTUK KE AMERIKA SYARIKAT (AS)
Saya memberitahukan kepada boss JJ bahawa Natrah tiada di Belanda. Sekiranya mahu mewawancara beliau, saya terpaksa ke Amerika Syarika (AS). Bukan itu sahaja DBP terpaksa membiayai perbelanjaan dua anak perempuannya Marlies dan Carolien. Ini permintaan Natrah bila anaknya menelefon beliau di AS. Boss JJ terus setuju “Kita tiada pilihan.”
Untuk mendapatkan Natrah di AS, saya tidak tahu pun bahawa beliau terpaksa ‘berperang’ dengan pengurusan tertinggi DBP apabila bahagian majalah membentangkan perbelanjaan penerbangan, makan dan tempat tinggal saya bersama dua anak Natrah ke AS selama tujuh hari akan melebihi RM100,000.

Untuk zaman itu, wartawan majalah atau akhbar tidak akan keluar negeri mencari bahan atas biaya penerbit tersebut. Kalau adapun mengikut rombongan kerajaan atau Perdana Menteri dengan biaya khas media daripada kerajaan. Zaman itu belum ada tajaan-tajaan daripada mana-mana syarikat pun. Apa yang saya tempuhi ini menjadikan banyak mulut ternganga dan menimbulkan rasa cemburu wartawan lain – sama ada dalam kalangan kawan sendiri atau wartawan luar.
Menghitung
hari ke Lake Tahoe, Nevada, US

Saya menyudahkan semua wawancara dan gambar-gambar yang mengiringinya untuk dua bulan – Mac dan April 1989. Wawancara dengan keluarga Natrah – bekas suami dan lapan daripada 10 anak-anaknya, wawancara dengan Vermeulen, kisah video The Time Just Stoods Still dan wawancara dengan Dr. Tom Eames Hughes.
Saya siapkan juga surat-surat Natrah (yang direka polis) dan surat Mansor Adabi yang ditemukan dalam fail Vermeulen di Arkib Bergen Op Zoom. Surat-surat itu berdiri sendiri untuk satu bulan sekiranya saya lambat balik dari AS.

Untuk zaman itu yang tiada telefon tangan, tiada e-mel, tiada kemudahan mengirim balik tulisan kita, maka wartawan terpaksa balik ke ibu pejabat memberikan bahan. Zaman sekarang semua itu adalah sejarah. WhatsApp web, Telegram dan e-mel telah mempercepatkan penyaluran bahan. Dunia semakin pantas, mudah dan canggih tapi hati manusia tetap sama – ada jahat ada baik.
Saya akan berdepan dengan cabaran ini bila bertemu dengan Natrah. Walaupun saya seolah-olah telah lama mengenali Natrah – dari pelbagai fasa hidupnya – dari budak, isteri orang, beranak 10, bercerai, kahwin lagi dan berpindah ke AS.

Namun saya tidak pasti bagaimana tanggapan beliau terhadap saya. Yang saya boleh teka trauma Natrah paling dahsyat adalah semasa beliau ditempatkan di gereja Singapura sebelum dibawa balik ke Belanda. Kita lihat bagaimana nanti.
# Minggu depan: Perjalanan ke Lake Tahoe, Nevada, AS

Puan Sri Fatini Yaacob ialah bekas Wartawan majalah DBP yang mewawancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989). Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN