Isu-isu sensitif: Bilakah resah akan berganti damai?

Isu-isu sensitif: Bilakah resah akan berganti damai?

KENAPA masih ada pihak yang bersikap melampau dan berani membangkitkan hal-hal yang ternyata tidak disenangi khususnya oleh orang Melayu, umat Islam?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai yang bangkit atau tampil secara serius menegur dan membantah setiap perlakuan yang ‘menjentik perasaan’ umat Melayu dalam hal-hal yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Barangkali, ramai yang kurang peka atau sengaja mengambil sikap ‘tidak perlu kisah’, lalu membuatkan banyak pihak semakin berani dan bertambah kerap bertindak ‘menduga reaksi umum’ atas isu-isu yang tidak digalakkan berlegar dalam masyarakat majmuk di Malaysia?

Tidak ada perubahan jika dilihat pada trend sikap pihak-pihak berkenaan. Malah, jelas mempamerkan bahawa mereka tetap tidak dapat menyembunyikan agenda untuk ‘menceroboh dan mengungkit’ kedaulatan dan hak-hak keistimewaan Melayu dan agama Islam di tanah air ini, meski pun segalanya sudah terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perbuatan yang seolah-olah ‘hari ini tersasul, esok meminta maaf’ nampaknya tidak mungkin tamat atau terhenti. Justeru, tindakan demikian perlu ditentang dengan serius kalau pun belum sampai ke tahap secara agresif. Tertanya-tanya pula…ke mana perginya peranan dan tindakan cendekiawan-cendekiawan Melayu? Ahli-ahli agama? Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu? Pihak-pihak yang kononnya menggelarkan diri mereka pejuang hak-hak asasi? Kenapa seolah-olah lesu?

Membiarkan hanya seorang dua individu atau satu dua NGO berhempas-pulas ‘mendepani’ segala kerenah berbangkit tentulah tidak wajar dan tidak adil. Sehingga ada yang melabelkan sebagai ‘lalat’ berbanding di sebelah satu lagi kononnya ‘singa’, yang cuba dilambangkan sebagai darjat dan nilai kekuatan yang tidak sama. Perlu ingat, ini bukan sekadar isu peribadi atau individu, tetapi boleh diseretkan kepada kaitan moral dan maruah bangsa secara umum.

Konteks yang diperkatakan ini berupa agenda kedaulatan bangsa dan agama, yang sudah pastinya menjadi tanggungjawab bersama menanganinya. Sejauh mana atau selama mana lagi istilah ‘toleransi’ boleh diguna-pakai? Persoalan ini perlu diberi jawapan tepat dan tegas.

Pendek kata, banyak persoalan timbul apabila kecenderungan yang kurang sihat ini kerap berulang. Kenapa masih ada pihak yang bersikap melampau dan berani membangkitkan hal-hal yang ternyata tidak disenangi khususnya oleh orang Melayu, umat Islam? Sedangkan Malaysia mahu dilihat aman, makmur, harmoni…Sering diungkap “cegah sebelum parah”. Jadi, bertindaklah secara wajar sebelum keadaan sudah berada di peringkat ‘hilang kawalan’.

Mana-mana isu yang ada kaitan dengan perundangan, ambillah tindakan tegas. Tentu tidak cukup hanya dengan tindakan meminta maaf sahaja. Tidak perlu terlalu mudah bagi mana-mana pemimpin khususnya dalam kalangan pemimpin Melayu terus menyeru agar ditamatkan isu tanpa diambil tindakan wajar yang boleh memberi amaran dan pengajaran yang jelas dan berkesan.

Survival bangsa dan kestabilan negara bukan untuk dinikmat sekadar sehari dua. Malaysia perlu kekal maju, progresif dan terjamin kemakmurannya. Jika lebih 60 tahun kemajuan dan kestabilan menjadi milik Malaysia, kenapa ada pihak mahu merobek atau memusnahkannya?

Peribahasa Melayu menyebut: “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Rakyat Malaysia tentu hadham dengan maksud tersirat mengenai peribahasa ini.

SegaIa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan wajib diterima, difahami dan dipatuhi semua pihak. Kehidupan bernegara tanpa bersandar pada undang-undang yang ada tentu menjadi pincang dan tiada ketentuan arah. Apapun kenyataan atau tindakan ada had dan batasannya. Diibarat kata…semua yang berbentuk jentera yang bergerak di daratan, udara dan lautan tentu ada teras kawalan tertentu. Jika tidak, segalanya akan musnah tidak menemui penghujung matlamat atau sasaran.

Institusi Raja-Raja Melayu adalah teras tunjang memayungi negara. Semua rakyat bergelar warganegara berada di bawah naungannya. Raja-raja bukan sekadar untuk menjaga hak dan kepentingan orang Melayu, malah untuk rakyat negara ini seluruhnya. Justeru, jika ada titah menegur mana-mana perlakuan atau tindakan yang tidak baik, semua pihak mestilah akur dan patuhi tanpa dipersoal.

Manakala, Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Statusnya dalam Perlembagaan Persekutuan jelas istimewa dan tersendiri. Urusan ehwal Islam berada di bawah naungan Raja-Raja Melayu. Kerajaan menubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai badan rasmi mengurus hal ehwal perjalanan syiar Islam di Malaysia. Selari dengan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan menubuhkan sebuah kementerian khusus mengenai ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh seorang menteri Kabinet.

Jadi, memang wajar dibantah sebarang kenyataan yang timbul jika tidak selari dengan ‘nilai-nilai kesucian agama itu’. Ini termasuklah isu penjualan arak di kawasan majoriti orang Melayu (Islam), isu pensijilan atau tanda halal-haram di kedai-kedai makan, unsur-unsur penghinaan kalimah Allah, penghinaan Nabi SAW. Juga, tidak perlu dipersoal tentang percetakan al-Quran atau misi bantuan ke Gaza, kerana semuanya boleh menyentuh sensiviti Islam.

Sementara, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera juga tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak dan identiti Melayu yang eksklusif termasuk dalam aspek pendidikan, kebudayaan, kesenian, bahasa Melayu tidak boleh diketepikan. Apa lagi berbaki makna wujudnya ‘keistimewaan Melayu’ jika semuanya mahu dilaksanakan mengikut ‘merit’ tanpa mengambil kira semangat keistimewaan Melayu yang dimaksudkan?

Benar, semua hal ini sudah dimaklumi semua. Cuma, apa yang berbangkit menjadi isu dan persoalan ialah sejauh mana semua pihak boleh menghayati dan menghormati ‘acuan asas’ (status quo) yang sedia ada?

Elak tersasar arah….hidup bercagar adat berpaksi peraturan. Kekalkan harmoni berpandu nilai, bersantun budi, berpijak kenyataan. – UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN