HUBUNGAN rapat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, telah sedia diketahui umum.
Dari masa ke semasa Anwar seringkali memaklumkan dalam media sosialnya mengenai panggilan telefon yang beliau terima daripada Erdogan.
Antaranya ialah pada 25 April 2023 dalam mana mereka membincangkan isu-isu hubungan dua hala Malaysia-Turkiye, isu-isu antarabangsa termasuk perkembangan krisis politik di Tunisia selain perkembangan terkini mengenai pergolakan di Sudan.
Pada 31 Mei 2023, Anwar menzahirkan tahniah di atas kemenangan Erdogan sebagai Presiden Turkiye selain bersetuju untuk mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye serta mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih baik dan lancar.
Pada 10 Oktober 2023 pula, Anwar dan Erdogan mengadakan perbincangan mengenai perkembangan terkini melibatkan Palestin dan Israel.
Ini diikuti oleh lawatan kerja dua hari Anwar ke Türkiye pada 22 dan 23 Oktober 2023 serta pertemuan dengan Erdogan untuk antara lainnya membincangkan isu Palestin dan Israel.
Pada 17 Jun 2024, Anwar dan Erdogan turut senada untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan khususnya di Gaza malah mereka juga mengulangi komitmen dalam mengukuhkan kerjasama dalam pertahanan, ekonomi, budaya, perdagangan, pelaburan antara kedua-dua negara.
Paling mutakhir, Erdogan membuat lawatan rasmi ke Malaysia pada 10 dan 11 Februari lalu yang telah mengukuhkan lagi hubungan strategik dan diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam lawatan rasmi ini, banyak peristiwa yang secara simbolik dan substantifnya mencerminkan keakraban hubungan peribadi Anwar dan Erdogan serta Malaysia dan Turkiye.
Erdogan telah menghadiahkan kereta elektrik buatan Turkiye iaitu TOGG kepada negara di mana ini mencerminkan komitmen tegas kedua-dua negara untuk tangkas meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang di lapangan teknologi, inovasi dan automotif.
Malaysia, melalui Universiti Malaya, pula telah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa kepada Erdoğan dalam Majlis Konvokesyen Khas sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada diplomasi global dan rundingan antarabangsa.
Turkiye, sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN sejak 2017, memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN melalui Rangka Kerjasama Praktikal ASEAN-Türkiye (2024-2028) manakala dengan Malaysia sudah wujud peningkatan tahap hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.
Pada 2024 Turkiye merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar di kalangan negara Asia Barat di mana jumlah perdagangan antara Malaysia dan Türkiye direkodkan pada RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) pada 2024.
Lebih signifikan lagi, sewaktu berada di Malaysia, Erdogan membuat satu pengumuman penting mengenai hasrat Türkiye untuk menggandakan perdagangannya dengan Malaysia kepada AS$10 bilion selepas melepasi paras AS$5 bilion pada 2024.
Anwar dan Erdogan juga menyaksikan pertukaran 11 perjanjian persefahaman (MoU) di antara dua negara melibatkan kementerian dan agensi merangkumi beberapa bidang kritikal, antaranya perubahan tenaga; pengurusan bencana; hubungan diplomatik; penerokaan Artik dan Antartika; pertahanan; sistem komunikasi; pengurusan bandar pintar, trafik dan keselamatan; perlindungan pengguna; perolehan aset; dan kerjasama pengurusan media.
Kepentingan Malaysia terzahir bila Erdogan menuntut Israel untuk membayar segala pampasan atas kerosakan dan kemusnahan kesan perang lebih 15 bulan di Gaza berjumlah AS$100 bilion dalam syarahan umumnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Erdogan juga berkongsi pandangan Anwar dengan menegaskan kita memerlukan susunan global baharu untuk menyelesaikan masalah kita di mana moto ‘dunia lebih besar daripada lima (negara veto) sudah menjadi salah satu simbol pencarian untuk sebuah aturan dunia baharu ini.
Anwar secara terbuka menyatakan penghormatan dan penghargaan terhadap kepimpinan Erdogan, terutamanya dalam membangunkan negara dan memperkukuhkan suara dunia Islam. Dalam ucapannya semasa lawatan rasmi Erdogan, beliau menekankan bagaimana Erdogan telah memimpin Türkiye melalui era transformasi yang luar biasa, mengembalikan maruah negara dan menjadikannya sebagai pemain utama di pentas global.
Selain itu, Anwar turut menegaskan bahawa hubungan peribadinya dengan Erdogan telah terbina atas dasar persaudaraan dan solidariti sejati. Turkiye telah menunjukkan sokongan kepada beliau dalam saat-saat sukar, yang menjadikan hubungan antara kedua-dua pemimpin ini lebih mendalam dan penuh makna.
Turkiye di bawah kepimpinan Erdogan telah memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek hubungan antarabangsa. Antara peranan utamanya adalah sebagai mediator dan kuasa diplomatik di mana ia telah memainkan peranan sebagai perantara dalam konflik di Timur Tengah dan Eropah, menjadi perantara dalam rundingan damai serta penyelesaian konflik.
Kejayaan Turkiye dalam membangunkan teknologi ketenteraan seperti dron Bayraktar serta kenderaan elektrik TOGG telah meningkatkan kedudukannya sebagai kuasa besar teknologi. Penguasaan dalam bidang aeroangkasa dan kecerdasan buatan pula menunjukkan komitmen Turkiye dalam mencipta masa depan yang lebih maju.
Turkiye juga merupakan antara negara yang paling vokal dalam membela hak rakyat Palestin serta menentang penjajahan Israel. Pendekatan Erdogan yang berani dalam memperjuangkan keadilan sejagat menjadikan Turkiye sebagai model kepimpinan Islam moden.
Dalam isu Gaza dan sokongan kepada Palestin ini, Turkiye telah menjadi negara yang paling aktif dalam menyokong Gaza dengan menghantar lebih 100 kapal bantuan kemanusiaan. Semua ini selari dengan hasrat Malaysia yang turut vokal dan berikrar untuk terus menyokong pembinaan semula Gaza melalui inisiatif bersama dengan Jepun dan negara-negara lain.
Impak besar keakraban antara Anwar dan Erdogan terserlah dalam lawatan rasmi Erdogan ke Malaysia. Hubungan erat mereka telah mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, teknologi, pertahanan serta isu-isu antarabangsa, membuktikan komitmen bersama dalam memperkasakan hubungan dua hala demi kepentingan bersama. – UTUSAN
NURULAINI Zamhury ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.










