Maklumat yang boleh memalukan institusi raja perlu dilindungi

Maklumat yang boleh memalukan institusi raja perlu dilindungi

TINDAKAN Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon perintah larangan bersuara sebagai langkah pencegahan yang bijaksana dan perlu dihormati oleh semua pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEGUAM Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, berkata di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Januari lalu, pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan pada 20 Januari depan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes Titah Adendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.

Prosiding berkenaan Titah Adendum yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta, akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pula berkata, pihaknya akan membantah permohonan perintah larangan itu dengan alasan perkara itu adalah kes yang membabitkan kepentingan awam selain telah dibincangkan secara meluas termasuk di peringkat Parlimen.

Ada juga yang menyebut rakyat tidak wajar dihalang untuk membincangkan isu berkaitan Titah Adendum kerana kebebasan bersuara adalah hak rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Saranan ini tidak pelik bila ia dikeluarkan oleh sama ada peguam Najib atau peguam bebas lain.

Bagaimanapun, banyak pihak terkejut bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sendiri berkata pada pandangan peribadi beliau tidak sepatutnya dibuat perintah larangan kerana ia akan menjadi dokumen awam dan kerana Parlimen akan bersidang pada bulan depan. Semua ini pastinya akan dibangkitkan semula.

Tindakan untuk memohon perintah larangan bersuara dalam kes berkaitan Titah Adendum sebenarnya adalah langkah wajar dan selaras dengan dasar kerajaan, terutama dalam memelihara institusi diraja serta menangani isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Tuduhan bahawa AGC cuba menyekat kebebasan bersuara pula adalah tidak berasas. Sebaliknya, AGC bertindak demi memastikan sensitiviti maklumat yang melibatkan institusi diraja tidak disalahgunakan atau disensasikan di ruang awam.

Tindakan ini penting untuk melindungi maklumat-maklumat yang boleh mencetuskan perpecahan sosial atau memalukan institusi diraja, khususnya apabila ia melibatkan perkara-perkara yang belum diuji di mahkamah.

KEBEBASAN BERSUARA & PRINSIP KEHAKIMAN
Isu ini berbeza dengan kes SRC International Sdn. Bhd. kerana perbicaraan adalah terbuka untuk memastikan keadilan dan ketelusan, seperti yang dinyatakan oleh Hakim Datuk Mohd. Nazlan Ghazali dalam penghakimannya pada 2018 (Najib lwn.PP (2018) MLRHU 1456). Dalam kes tersebut, Mohd. Nazlan menekankan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mohd. Nazlan turut menyatakan mahkamah di Malaysia mengamalkan sistem keadilan yang terbuka, tetapi prinsip keterbukaan ini harus diseimbangkan dengan perlindungan terhadap maklumat sensitif.

Kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga membawa implikasi buruk terhadap keselamatan awam atau keharmonian sosial.

Begitupun, penting untuk difahami kes Titah Adendum ini melibatkan maklumat sensitif berkaitan institusi diraja. Berbeza dengan kes SRC yang wajar didedahkan kepada umum untuk memastikan keadilan.

Kes ini melibatkan isu-isu yang boleh mencemarkan imej institusi diraja jika disensasikan atau diperdebatkan secara tidak bertanggungjawab di ruang awam.

Maklumat-maklumat yang akan dikemukakan di mahkamah dalam kes ini mengandungi perkara yang sensitif, termasuk berkaitan dengan institusi diraja.

Pendedahan tanpa kawalan boleh menyebabkan salah faham, fitnah dan polemik yang tidak wajar dalam masyarakat. AGC bertindak dengan memastikan maklumat ini dilindungi demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara.

Azalina mempunyai pandangan sendiri mengenai isu ini namun pada saya tindakan AGC selaras dengan dasar kerajaan dalam menangani isu 3R.  Sebenarmya AGC mempunyai peranan besar di bawah Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan Peguam Negara bertanggungjawab untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri mengenai perkara undang-undang.

Tindakan AGC selaras dengan kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Walaupun Azalina bercakap bagi dirinya, pandangan secara terbuka ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan terhadap usaha kerajaan untuk memelihara martabat institusi diraja. Kritikan terbuka seperti ini juga boleh disalah tafsir oleh pihak-pihak yang berkepentingan, sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Pada saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam reformasi institusi, polisi keterbukaan kerajaan perlu diseimbangkan dengan usaha untuk melindungi kepentingan negara khususnya perkara yang berkaitan dengan prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Sekatan terhadap perbincangan umum tentang Titah Adendum adalah satu contoh keseimbangan yang perlu dicapai.

BOLEH CETUS KETEGANGAN
Isu berkaitan raja, agama dan kaum adalah sangat sensitif di Malaysia. Sejarah telah membuktikan sebarang polemik yang menyentuh isu-isu ini boleh mencetuskan ketegangan yang berpanjangan.

Oleh itu, tindakan AGC untuk memohon perintah larangan bersuara adalah langkah pencegahan yang bijaksana dan perlu dihormati oleh semua pihak.

Tujuan utama permohonan ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi untuk memastikan keharmonian dan kestabilan negara terpelihara.

Institusi diraja adalah simbol perpaduan negara dan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej institusi ini perlu dielakkan. Jelas di sini yang AGC bertindak dalam kerangka undang-undang dan kepentingan awam.

Tindakan memohon larangan bersuara bukan bertujuan untuk menutup mulut rakyat, tetapi untuk memastikan isu sensitif tidak menjadi polemik yang boleh mencemarkan institusi diraja dan mengganggu keharmonian negara.

Semua pihak, termasuk anggota Jemaah Menteri, perlu memahami keutamaan ini dan menyokong usaha AGC demi kebaikan negara. –UTUSAN

PROFESOR Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ialah Ketua Kluster Perundangan, Governans dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×