Hormati Islam sebagai agama persekutuan

Hormati Islam sebagai agama persekutuan

JAGA hubungan baik antara kaum dan pada masa yang sama hormati agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA hari yang lalu, satu lagi isu yang mendatangkan perasaan terkilan masyarakat Melayu berlaku lagi. Kali ini mengenai video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026 atau TMM2026 tidak mempamerkan elemen masjid. Walaupun ia hanya video pelancaran ringkas berdurasi 41 saat, adakah sukar untuk memasukkan elemen masjid di dalam video tersebut?

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, video montaj yang dikritik selepas tidak mempamerkan elemen masjid sebelum ini hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek dengan durasi 41 saat. Menurutnya, fokus utama video montaj berkenaan adalah untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif, justeru semua pihak diminta agar tidak mempolitikkan isu berkenaan.

Menteri tersebut juga menyatakan beliau berharap semua pihak memahami video pelancaran seperti ini tidak boleh terlalu panjang atau terperinci. Elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi TMM2026 yang lebih terperinci dalam masa terdekat.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan terang dan jelas memperuntukkan seperti berikut :-
(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Sewajarnya elemen masjid didahulukan di dalam montaj tersebut, tidak kiralah montaj ringkas atau tidak.

Alasan bahawa video pelancaran tidak boleh terlalu panjang atau terperinci hingga tidak boleh memasukkan elemen Islam adalah tidak boleh diterima akal sama sekali.

Lokasi yang mula dipaparkan ialah Petaling Street yang mana binaan yang ditunjukkan lebih kepada binaan Cina. Rumah-rumah ibadat lain seperti kuil Hindu di Batu Caves dan Gereja Christ Church di Melaka dipaparkan di dalam video montaj berkenaan.

Saya sempat menonton video berkenaan dan merasa kecewa dengan penjelasan menteri yang tidak peka ini. Di Malaysia, terlalu banyak masjid yang indah-indah seni binanya. Antaranya ialah Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan, Masjid Zahir di Alor Setar, Kedah, Masjid Terapung Tanjung Bungah di Georgetown, Pulau Pinang dan Masjid Kristal di Terengganu.

Tidak wajarlah seorang menteri memberi alasan yang tidak munasabah. Etnik Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 68.6 peratus, diikuti oleh etnik Cina sebanyak 23.4 peratus, India sebanyak 7.0 peratus dan lain-lain adalah sebanyak 1.0 peratus.

Menteri sepatutnya sedar perkara ini. Alasan Tiong King Sing terhadap fokus utama video montaj berkenaan adalah untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif adalah tidak boleh diterima sama sekali. Adakah dengan tidak menunjukkan imej masjid menjadikan video itu inklusif? Apa yang dicakapkan oleh menteri ini pun tidak difahami dimana inklusifnya kalau tidak dimasukkan gambar masjid.

Kita dilukakan dengan pelbagai isu seperti isu bendera terbalik di baju atlet, pertikaian mengenai tulisan jawi di papan-papan tanda dan kini montaj Tahun Melawat Malaysia 2026, tiada imej masjid dengan alasan montaj ringkas.

Apa yang saya atau seluruh rakyat Malaysia mengharapkan menteri dapat berpegang kepada perlembagaan dan menghormati perlembagaan. Menteri bertanggungjawab untuk menjaga hubungan baik antara kaum dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Kalau semua perkara ini kerap dilanggar ia memberi kesan yang tidak sihat. Islam adalah agama rasmi.

Sebarang bentuk promosi pelancongan di Malaysia tidak sewajarnya membelakangkan identiti.

Dalam laporan terbaru, video promosi TMM2026 akan dibuat semula. Dinyatakan juga bahawa video promosi TMM2026 yang mencetuskan kontroversi kerana tidak memasukkan elemen masjid akan dibuat semula dengan lebih terperinci mengikut zon bagi menampilkan keunikan dan tempat-tempat menarik setiap negeri. Dalam laporan tersebut juga menyatakan bahawa Tiong King Sing yang mengakui tidak berpuas hati dengan hasil akhir video itu ketika dilancarkan Selasa lalu, turut menegaskan video montaj berdurasi 41 saat yang dikritik itu bukan video rasmi TMM2026.

Jangan terlalu banyak test the water, bila berlaku kerosakan barulah hendak diperbetulkan semula. Samalah macam kisah bendera negara terbalik yang dipakai oleh pemain badminton dalam satu kejohanan antarabangsa. Bila sudah terpampang di seluruh dunia, menteri minta maaf dan semuanya selesai. Luka dihati tetap meninggalkan parut walaupun kemaafan mungkin diterima. Bukankah langkah terbaik ialah meneliti dahulu baru ditunjukkan?

Menterilah yang paling patut berpegang kepada rukun negara. Dalam isu-isu seperti ini rukun negara perlu termasuk dalam check list para menteri sebelum melakukan sesuatu.

Saya cuma hendak mengingatkan kita semua bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman damai di mana pelbagai kaum menghormati satu sama lain. Sudah sampai masanya menteri sebagai pemimpin negara memberi contoh yang baik kepada masyarakat dalam memegang dan menggenggam kuat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara agar anda lebih dihormati. – UTUSAN

MOHAMMAD Shahray Zulkifli ialah bekas peguam syarie yang berkhidmat di Brunei Darussalam selama 24 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN