KERAJAAN dilaporkan menerima 44,559,514 permohonan kerja dalam perkhidmatan awam sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019 sehingga 2023 melalui tiga agensi utama pihak berkuasa melantik (PBM). Ini satu data yang cukup menarik untuk diteliti terutamanya menggambarkan perkhidmatan awam terus menjadi pilihan utama para pencari kerja yang yakin dengan pelbagai kemudahan menarik yang ditawarkan khususnya dalam konteks gaji, pencen dan masa depan yang lebih terjamin.
Data pemohon dalam kalangan bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain etnik mencatatkan bilangan permohonan sebanyak 18 peratus. Memandangkan kadar permohonan kelompok ini masih rendah, sudah tiba masanya untuk kita memperhebatkan inisiatif bagi menarik lebih ramai golongan belia dari kalangan masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan juga orang kurang upaya (OKU) untuk menyertai perkhidmatan awam.
Daripada 1,302,429 penjawat awam (tidak termasuk PDRM dan ATM) yang sedang berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan sehingga 31 Disember lalu menunjukkan hanya 13.2 peratus terdiri daripada bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain kaum. Meskipun peratusan lantikan kelompok ini sangat tinggi misalnya Orang Asli (54 peratus), bumiputera Sabah dan Sarawak (45 peratus), namun jurang masih wujud disebabkan bilangan pemohon dari kelompok ini sangat rendah.
Mengikut data setakat 30 September lalu, SPA telah menerima 4,805 permohonan daripada calon OKU berbanding 1.13 juta keseluruhan permohonan di mana 44 OKU dilantik berbanding jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 13,491 orang. Daripada jumlah dilantik itu, mereka terdiri daripada 39 OKU kurang upaya fizikal, kurang upaya pendengaran (tiga) serta masing-masing seorang kategori kurang upaya mental dan kurang upaya penglihatan.
Ironinya, tidak wujud sebarang peminggiran mana-mana kaum atau kelompok dalam proses pengambilan pegawai untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Justeru, inisiatif untuk mempromosi dan menggalakkan penyertaan golongan ini perlu terus diperhebatkan, walaupun ada sasaran atau peruntukan kuota satu peratus untuk OKU namun kita masih belum dapat mencapainya.
Kita percaya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, peluang pekerjaan yang sangat terhad selain berlaku pula penambahbaikan yang menarik dalam sistem saraan perkhidmatan awam melalui Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember pastinya semua orang mahu sertai perkhidmatan awam terutamanya masyarakat Orang Asli dan OKU.
Oleh itu, pendekatan untuk menarik minat mereka perlu berubah dan perlu meneliti secara serius segala kekangan yang mungkin menjadi penghalang kepada mereka memohon untuk menyertai perkhidmatan awam. Paling penting promosi dan hebahan maklumat tentang pendaftaran, permohonan dan kekosongan jawatan perlu dipastikan sampai ke pengetahuan mereka.
Antara isu yang perlu diteliti ialah, misalnya secara lazimnya kita sedar masyarakat Orang Asli menetap di kawasan luar bandar dan berhadapan dengan masalah capaian talian internet, maka adakah ini menjadi antara punca utama mereka sukar untuk mengakses kepada maklumat yang kebiasaannya disalurkan secara dalam talian. Tuntasnya mereka mudah ketinggalan seterusnya boleh terpinggir dan terlepas peluang. Begitu juga dengan kalangan bumiputera Sabah dan Sarawak yang berada di pedalaman serta luar bandar.
Tatkala kita berharap capaian internet di kawasan luar bandar akan terus dipergiatkan, perkara ini perlu ditangani dengan segera dan pihak berkuasa perlu memastikan segala maklumat yang hendak dihebahkan sampai kepada semua golongan sasaran.
Bagi menangani isu ini, dicadangkan budaya turun padang mendekati golongan ini diperhebatkan dan dilaksanakan secara berkala atau bermusim khususnya ketika pengambilan baharu hendak dibuat.
Ironinya kita tahu mereka menetap di mana, maka boleh diaturkan sesi penerangan kepada belia mereka sekali gus dibuka kaunter pendaftaran permohonan, malah sesi temuduga juga boleh dilaksanakan di tempat mereka sendiri bagi mengurangkan beban dan kesukaran untuk mereka keluar ke kawasan bandar besar. Pendekatan ini dilihat lebih wajar, praktikal dan boleh dilaksanakan.
Dicadangkan juga promosi dilaksanakan di peringkat sekolah menengah di kawasan atau perkampungan masyarakat Orang Asli dengan kerjasama pihak sekolah agar lebih berstruktur dan mudah untuk salurkan maklumat yang hendak disampaikan.
Program berskala besar seperti Karnival Kerjaya Madani Orang Asli dan OKU yang boleh menghimpunkan golongan ini wajar diperluaskan dan dilaksanakan secara berjadual di seluruh negara khususnya kawasan luar bandar.
Golongan OKU juga wajar disantuni dan didekati secara berhemah bagi meningkatkan keyakinan dan semangat mereka untuk menyertai perkhidmatan awam. Perlu ada inisiatif untuk menyedarkan mereka betapa kerajaan menyediakan peluang untuk mengangkat martabat dan membela kebajikan golongan ini melalui peluang pekerjaan di sektor awam.
Kita khuatir mungkin masih ada dari kalangan OKU yang kurang yakin untuk berdikari terutamanya takut para majikan sukar untuk menerima kekurangan mereka. Justeru, perlu yakinkan hak mereka sentiasa terbela dan perkhidmatan awam sangat mengalu-alukan penyertaan mereka.
Antara usaha lain yang perlu diperkasakan ialah memantapkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melaksanakan integrasi maklumat calon OKU yang berdaftar dengan JKM dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9).
Inisiatif yang telah diwujudkan oleh SPA khusus untuk calon OKU seperti memberi pengecualian menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) berbanding calon lain, kelonggaran syarat dasar One Step Lower yang mana calon OKU boleh memohon jawatan gred lebih rendah daripada kelayakan akademik dimiliki wajar disebarluaskan kepada semua golongan sasaran. Kita khuatir maklumat dan kemudahan seperti ini tidak sampai sepenuhnya ke pengetahuan golongan belia OKU.
Jelas sekali masih banyak yang perlu dan boleh dilakukan untuk menarik minat bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan OKU menyertai perkhidmatan awam kerana kita tidak mahu kelompok ini terlepas peluang yang akhirnya akan memberi kesan berpanjangan kepada kehidupan sosial mereka.
Kita perlu sedarkan mereka bahawa penyertaan dalam perkhidmatan awam akan membuka laluan terbaik untuk berdikari, memajukan diri dan keluarga sekali gus keluar dari pelbagai kesempitan hidup. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia.










