Capaikah politik piawaian tinggi 2025? - Utusan Malaysia

Capaikah politik piawaian tinggi 2025?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengharungi Tahun Baharu 2025 ini, politik Malaysia wajar beranjak berubah ke arah piawaian tinggi.

Mengejar sasaran ini, tulang pentadbiran parti-parti politik jangan lagi disusun secara materialistik. Lupuskan segera sistem yang masih amalkan cara purba

Ini terutama melibatkan pemilihan menentukan siapa barisan pemimpin yang bakal mengisi peringkat kanan (senior). Usah lagi dikekalkan kaedah undian lama iaitu sistem chai yang cincai boncai. Hasilnya – berkecai.

Dalam percaturan strategi parti, meskipun X (dulunya dikenali Twitter) ‘dikhabarkan’ suatu platform untuk mereka yang agak berpendidikan dan berpemikiran tinggi, beringatlah jangan sesekali dilupakan TikTok

Dengan banyak tiang negara yang perlu diperbetulkan, pengendalian isu, persepsi dan kontroversi perlu cermat. Soal menstruktur semula subsidi dan usaha merejam rasuah sehingga ke lubang cacing, umpama ‘Rom tidak dibina dalam sehari’.

IMPAK TIKTOK
Dan apabila sesuatu itu dimuat naik ke TikTok, anda apa lagi ahli politik ‘senantiasa berada dalam bahaya’.

TikTok ibarat platform segalanya berita – yang baik, lagi banyak buruk tidak sesuai ditonton. Sepanjang Ramadan dan awal Aidilfitri 2024 sahaja mencatatkan 5.9 bilion tontonan di TikTok. Sejak Julai 2024, TikTok kini mempunyai lebih 1.58 bilion pengguna dan adalah platform media sosial kelima dengan jumlah pengguna paling banyak.

Beringat! pengundi kita khususnya dari kalangan Melayu tetap gemarkan gosip dan kontroversi. Sebab itu ada parti politik yang licik, cerdik memanipulasi isu tertentu dan ligat mainkan sentimen.

Usaha membetulkan yang biasa, biasakan yang betul apa yang tidak kena dalam negara ini perlu diteruskan. Sama ada mengendalikan percaturan politik dan daya fikir rakyat Malaysia, kedua-duanya ini saling berkait.

Ambil contoh isu pendidikan. Mengapa ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enggan sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi; pelajar sekolah menengah khuatir ke jurusan sains dan tidak minat sains dan matematik.

Adakah kerana guru-guru yang dihasilkan dari lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau universiti ‘lebih kurang sahaja’ sehingga menghasilkan anak murid dan pelajar yang tidak bagus. Tidak minat subjek-subjek kritikal dan tidak dipandu ke saluran yang betul. Hal ini perlu dirungkaikan. Dan jika begitu kisahnya, tepatlah bunyi pepatah lama: Bila guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Situasi setengah juta lepasan SPM enggan lagi menyahut cabaran menerokai ilmu aras tinggi dan kira-kira 30,000 orang sebelum ini, ditambah 10,000 orang lagi yang terbaharu ponteng ambil SPM 2024, mesti dihentikan segera melalui perancangan teliti pendidikan dan latihan sumber manusia yang agresif.

Semua ini kerja kerajaan untuk tanganinya. Kalau asyik berpolitik sepanjang masa Malaysia ini bagaimana hak-hak dan kepentingan rakyat mahu diselesaikan oleh semua hampir 30 kementerian kerajaan?

PENANGAN MB
Apabila ada parti politik berkempen untuk menang pilihan raya asyik mencanangkan pasal Islam dan orang Melayu telah tergugat, ia menunjukkan tidak ada usaha untuk memajukan negeri masing-masing.

Rakyat patut bertanya apa yang telah dibuat oleh menteri-menteri besar di pantai timur, pantai barat, utara dan selatan. Berkali gandakah kemajuan negeri-negeri itu berbanding pentadbiran lepas?

Di Terengganu, Samsuri buat apa selama ini? Di Kedah, Sanusi khabarnya berjaya? Berapa banyak pelaburan telah Amirudin dan Aminuddin bawa ke Selangor dan Negeri Sembilan? Chow Kon Yeow di Pulau Pinang lebih sukses kah dari Lim Guan Eng menguruskan Pulau Pinang?

Akhirnya usaha-usaha memperbetulkan struktur-struktur negara ini bergantung kepada anak-anak muda. Di universiti, kita perlukan mereka memiliki kekuatan minda yang kreatif dan kritikal untuk kembali meletakkan asas dan landasan negara yang sudah jauh tersasar ini.

Semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk pastikan Malaysia 2025 yang pantas, pulih dan mengaum kembali. Politik dalaman yang berkecamuk dan isu-isu geopolitik serta pencerobohan pendatang asing tanpa izin di Laut China Selatan dan Selat Melaka yang turut bergelora perlukan fikiran kritis, tepat dan matang menanganinya.

Untuk tujuan ini, para menteri, timbalannya berserta penasihat-penasihat – keseluruhannya lebih 70 orang perlu ada misi, tekad dan daya saing tinggi.

KRISIS
Empat krisis Malaysia perlu ditempuh hari ini. Krisis kesihatan, ekonomi, alam sekitar dan keempat tentu sekali politik. Semua bercampur baur sekali. Tahun 2025 sangat mencabar. Kalau tiada strategi ampuh, nescaya tidak banyak yang kita boleh pertahankan.

Ada orang politik apabila ditunjukkan balak-balak di negeri tertentu selepas banjir atau dibadai kepala air, ada sahaja jawabnya. Bila muncul satu isu, ramai yang stailnya populis, tembak satu, okey semua konon. Harus elak berulang tindak tanduk sebegitu tahun ini.

Bila satu isu rakyat diangkat, mesti ada penerusan. Apa hendak dibuat dan bagaimana caranya. Bukan mengkritik melulu, tetapi bantu kerajaan bahawa ada cara penyelesaian lebih baik.

Menempuh 2025 serba getir ini, para menteri dan pegawai kerajaan bukan sahaja perlu cekap dan kreatif, tetapi harus mahir kendalikan isu-isu serantau dan antarabangsa.
Kalau politik itu dianggap satu ‘industri’, pengusahanya perlu lakukan perubahan drastik.

Tidak wajar lagi bergerak cara lama – konvensional. Tidak perlu lagi mengejar keahlian hingga berjuta orang. Tidak menjamin kemenangan parti. Cipta terlalu banyak kategori jawatan dan ribuan penyandang, tetapi kos berbelanja untuk parti sahaja cecah berjuta ringgit.

Jangan lagi berpolitik cara lama seperti lima tahun kebelakangan yang bukan lagi soal betul salah. Tetapi soal siapa akan naik, siapa perlu turun. Sebab itu habis punah-ranah jadinya politik orang Melayu kita ini.

Parti-parti politik yang masih berlegar di dalamnya orang lama, cara kerja konvensional dan enggan berubah, tidak akan ke mana. Berdikit dikit, barangkali setakat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lenyap terus.

Bukankah sudah dapat iktibar dari penangan 1.4 juta pengundi berumur 18 hingga 20 tahun dalam PRU15 tempoh hari? Tidak itu sahaja, tidak terjangkau impaknya dari 4.6 juta pengundi lingkungan 21-29 tahun. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN