TVET pemangkin transformasi sosioekonomi kaum India

TVET pemangkin transformasi sosioekonomi kaum India

PENDIDIKAN dan kemahiran profesional dapat membantu warga India bukan sahaja terkeluar daripada putaran kemiskinan malah dapat mengikis imej kaum India sebagai kaum ‘buruh’ yang diwarisi sejak zaman penjajahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UCAPAN Tan Sri SA.Vigneswaran, Presiden MIC dalam majlis sambutan hari jadinya yang ke 59 baru-baru ini menguatkan semangat perjuangan pemimpin-pemimpin yang hadir dari akar umbi seluruh negara. Majlis sambutan hari jadi tersebut berlangsung di Dewan Netaji, Kuala Lumpur. Hampir 1,000 orang yang terdiri daripada ketua bahagian serta ketua cawangan MIC dan NGO hadir ke majlis sambutan tersebut untuk mengucapkan selamat hari jadi kepada Vigneswaran. Sebilangan besar penyertaan dalam majlis hari jadi tersebut jelas menunjukkan kepimpinan SA.Vigneswaran semakin diterima malah disokong secara sepadu oleh ahli-ahli MIC dan pemimpin-pemimpin NGO yang mewakili kaum India.

Menyingkap kata-kata Tun Dr. Ismail, bekas timbalan perdana menteri, pernah menganggap MIC hidup segan mati tidak mahu susulan pilihan raya umum (PRU) pada tahun 1969. Kedudukan yang sama berulang timbul susulan PRU14 pada tahun 2018 ketika Vigneswaran ambil alih kepimpinan parti MIC. Kepimpinan Barisan Nasional (BN) melihat MIC sebagai parti yang kononnya sudah hilang taring dalam medan politik negara kerana calon-calon MIC semakin tersungkur dalam pilihan raya sejak PRU12.

Namun, sejak Vigneswaran ambil alih kepimpinan MIC, secara umumnya sokongan kaum India dikesan kembali menyokong MIC. Meskipun hampir semua calon MIC yang bertanding bagi merebut sembilan kerusi Parlimen dalam PRU15, kecuali calon yang bertanding bagi kawasan Parlimen Tapah, kalah kepada calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), MIC didakwa hilang sokongan kaum India. Calon-calon MIC gagal memenangi kerusi yang bertanding kerana faktor majoriti pengundi di kawasan mereka bertanding terdiri daripada pengundi Melayu. Nasib MIC turut dialami oleh parti-parti komponen BN yang lain termasuk UMNO.

Pada PRU13. BN dikesan menerima 62 peratus sokongan pengundi Melayu. Sokongan pengundi Melayu kepada BN merosot pada PRU14 kepada 43 peratus dan kepada 33 peratus pada PRU15. Sebaliknya, PN memperoleh sokongan 54 peratus pengundi Melayu. Peralihan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu telah menyebabkan BN tumbang dan hilang kuasa pentadbiran negara ini. Malah, akhir-akhir ini prestasi BN bukan sahaja merosot dalam pilihan raya malah sebahagian besar pengundi Melayu mengalih sokongan mereka kepada parti bukan BN termasuk DAP. Kawasan-kawasan majoriti Melayu di luar bandar juga ditembusi oleh parti-parti bukan UMNO atau BN dengan jayanya.

Meskipun wakil MIC tidak diberi peluang menyertai kerajaan perpaduan atau pun Kerajaan Madani selaku parti komponen utama BN yang sama-sama menubuhkan BN dengan UMNO, kepimpinan Vigneswaran tidak putus asa atau lemah semangat untuk meneruskan agenda pembangunan sosioekonomi kaum India. Beliau berpendapat pendidikan dan kemahiran profesional dapat membantu warga India bukan sahaja terkeluar daripada putaran kemiskinan malah dapat mengikis imej kaum India sebagai kaum ‘buruh’ yang diwarisi sejak zaman penjajahan.

Dalam usaha mencapai hasrat transformasi sosioekonomi tersebut, Vigneswaran, meskipun tidak menyertai kerajaan Madani, didapati meneruskan impiannya dengan menumpukan perhatiannya kepada penyediaan peluang pendidikan tinggi dalam bidang profesional kepada anak-anak orang India melalui Maju Institute Of Educational Development (MIED) yang diasaskan oleh Tun S. Samy Vellu, Presiden MIC ketujuh, pada tahun 1984 sebagai sebuah organisasi swasta pendidikan yang bukan bermatlamatkan keuntungan.

MIED kini mentadbir Universiti AIMST, sebuah universiti perubatan dan Kolej Tafe, sebuah kolej teknik yang kelulusannya diiktiraf oleh kerajaan. Sejak Vigneswaran mengambil alih kepimpinan MIC dan MIED, berjuta-juta ringgit telah disediakan sebagai pinjaman dan biasiswa untuk pelajar-pelajar India, terutamanya daripada golongan B40, untuk melanjutkan pendidikan tinggi dalam negeri dan luar negeri. Menurut laporanya, MIED telah menyalurkan lebih RM17 juta pada tahun 2023 untuk 550 pelajar dan lebih RM19 juta bagi kepentingan 652 pelajar pada tahun 2024. Bantuan ini adalah untuk pelajar mengikuti kursus profesional seperti perubatan, farmasi, perubatan pergigian, teknologi maklumat, kejuruteraan, perakaunan, perniagaan dan lain-lain.

Sementara itu, Vigneswaran mengumumkan dalam majlis sambutan hari jadi beliau baru-baru ini bahawa MIC melalui MIED akan membuka sebuah kolej baharu di Kuala Lumpur bagi memfokuskan kepada pendidikan teknikal iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mulai tahun 2025.

Langkah menyediakan anak-anak orang India dalam bidang teknikal adalah sebagai satu usaha menghadapi cabaran dan gelombang revolusi 4.0 yang kian melanda dunia termasuk Malaysia. Malaysia yang menyedari kepentingan TVET telah mempertanggungjawabkan kepada tujuh kementerian untuk melaksanakan pelbagai program latihan TVET dengan peruntukkan RM6.7 bilion pada tahun 2024 dan RM7.5 bilion pada 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Madani untuk menyelia pelaksanaan dalam menjayakan program TVET di Malaysia. Pelbagai program latihan TVET dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk program GiatMara dengan peruntukan RM50 juta dan program Anak Angkat ILKA dengan geran padanan RM50 juta yang dikendalikan oleh Proton di Melaka.

Persoalannya, apakah anak-anak kaum India dapat menikmati kemudahan-kemudahan latihan yang disediakan oleh peruntukan kerajaan seperti tersebut? Apakah kerajaan Madani akan berganding bahu dengan MIC dalam menjayakan agenda transformasi kaum India yang boleh dianggap sebagai antara satu dasar inklusif seperti terbayang dalam agenda kerajaan Madani? – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial-politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN