Tegas, terbuka menjurus jalan penyelesaian

Tegas, terbuka menjurus jalan penyelesaian

RAKYAT Malaysia tentu lega dan menghargai kenyataan tegas Anwar Ibrahim beberapa hari lalu tentang tiada kompromi dalam soal Islam, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Bertu­turlah perkara yang benar, ber­tindaklah mengikut lunas yang betul!”. Itu antara ungkapan jelas untuk menemui jalan penyelesaian ketika menghadapi sebarang kemelut atau permasalahan.

Sesuatu isu itu jangan dibiarkan berlalu tanpa tindakan dan penyelesaian kerana ia boleh mendorong kesilapan sama boleh pihak-pihak. Yang pasti isu-isu yang berbangkit itu sudah mampu melukakan hati, mengguris perasaan atau melibatkan kerosakan.

Bagi sesetengah pelaku atau pencetus polemik negatif atau kontroversi, mereka menganggap, melakukan salah atau keterlanjuran itu hanya semudah boleh memohon ampun dan maaf beberapa hari kemudian tanpa berfikir kesan buruk yang boleh menjejas harmoni, perpaduan dan kestabilan.

Dalam kebanyakan kes yang berbangkit, masyarakat sukar menerima alasan sama ada pencetus sesuatu yang bersifat kontroversi itu sebenarnya ‘jahil etika’ atau bertindak secara sengaja.

Malah ada yang mempersoalkan kredibiliti seseorang yang bergelar tokoh atau pemimpin yang sanggup mengungkit hal-hal yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan keistimewaan raja-raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu termasuk bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Berpuluh dekad sebelum ini pun rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang budaya dapat hidup dalam suasana damai maju makmur.

Rakyat Malaysia tentu lega dan menghargai kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lalu tentang tiada kompromi dalam soal Islam, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu. Beliau berkata, kerajaan Madani tidak akan sama sekali berkompromi dalam soal Islam, kedudukan raja-raja Melayu, hak keistimewaan Melayu dan bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Berucap di Majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) 2024 di ibu negara, Perdana Menteri menyeru semua pihak bergerak secara bersama dan senada dalam melaksanakan dasar-dasar bagi mengangkat ekonomi Melayu dan bumiputera secara telus.

Dalam satu majlis lain di Putrajaya, Anwar menzahirkan lagi sikap tegasnya dengan menyelar sikap segelintir pemimpin yang suka memainkan sentimen perkauman dan agama untuk menarik perhatian umum serta menyifatkan mereka sebagai golongan dangkal dan bankrap idea. Golongan ini katanya, turut mencerminkan fikiran sempit dan berniat untuk menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Mengenai isu papan-papan tanda yang tidak mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, masyarakat umumnya menjunjung kasih atas ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan mana-mana papan tanda yang tidak menggunakan bahasa Melayu diturunkan serta-merta. Ketegasan baginda perlu dicontohi di negeri-negeri lain jika isu seumpama itu berbangkit.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula terpanggil menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertegas memastikan papan-papan tanda menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada, berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang dimantapkan pula dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, menyebabkan tidak berlaku pilihan untuk tidak menggunakan bahasa rasmi persekutuan itu pada papan tanda atau dalam urusan rasmi di negara ini.

Rata-rata rakyat Malaysia menolak sebarang dakwaan kononnya penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda boleh menjejaskan minat pelancong asing datang ke negara ini. Negara lain juga menggunakan bahasa ibunda di papan-papan tanda, namun gamitan pelancong tidak pula terjejas atau mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan para pelancong. Contoh terdekat adalah di Thailand.

MAHU LIHAT BN KEMBALI
Sementara itu dalam aspek politik, sudah ada trend atau kecenderungan baharu apabila ramai menunjuk minat untuk mengembalikan dominasi pemerintahan negara sama seperti enam dekad dahulu. Diringkaskan cerita, ramai yang ingin melihat Barisan Nasional (BN) kembali menerajui pemerintahan dengan UMNO menjadi pengemudi utama.

Isyarat terkini diperlihatkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Kelantan dan Mahkota di Johor baru-baru ini.

Susulan itu, ramai yang memuji sikap terbuka dan tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyuarakan teguran kepada BN supaya membuang empat penyakit sekiranya mahu komponen itu kembali kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Empat penyakit itu adalah khayal, pelupa, enggan buat perubahan (inertia) dan sombong.

Malah, banyak lagi subjek atau isu-isu yang menuntut tindakan tegas, serius dan terbuka bagi mengelak keadaan menjadi ‘parah’ sehingga boleh mengancam keselamatan negara, melibatkan kerugian, menggugat keharmonian mahupun kestabilan atau mungkin boleh mencetus sengketa kaum dan agama.

Ini termasuk isu-isu provokasi sensitif seperti agama dan kaum, kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), rasuah dan penyelewengan di semua sektor, pencerobohan haram ke atas tanah-tanah milik kerajaan, isu dadah serta vape dalam kalangan remaja dan lain-lain.

Tindakan tegas Majlis Angkatan Tentera (MAT) menamatkan pengajian lima pegawai kadet dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit dalam tiga kes buli di universiti berkenan sehingga mengenakan bayaran ganti rugi perlu dijadikan pengajaran kepada institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membendung isu buli yang kerap berulang.Sementara itu, elok benar kerajaan berusaha mengadakan kempen ‘Kita Gempur’ iaitu suatu langkah untuk membina gerakan massa dalam menangani ketirisan barang kawalan dan bersubsidi.-UTUSAN

Membendung, mencegah sudah pasti lebih baik dari dibiar merebak sehingga tidak diketemui lagi jalan penyelesaian.

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN