Syria: Pembebasan atau propaganda?

Syria: Pembebasan atau propaganda?

Syria: Pembebasan atau propaganda?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJATUHAN rejim Bashar Al-Assad menandakan pengakhiran kepada penindasan dan kezaliman di bawah pemerintahan Al-Assad. Buat berjuta-juta rakyat Syria, pembebasan kota Damsyik bukan sahaja kemenangan bagi gerakan revolusi rakyat tetapi ia permulaan kepada satu era baharu, era yang diisi dengan harapan, bebas dan keadilan. Peristiwa bersejarah ini bukan sahaja menginspirasikan rakyat Syria tetapi umat Islam seluruh dunia, di mana kejatuhan diktator yang mencengkam keadilan dan kedaulatan sesebuah negara telah memberi satu isyarat yang jelas bahawa kezaliman itu tidak akan bertahan walau dengan seribu satu tipu daya.

Setelah lebih satu dekad, rejim Assad telah menggunakan keganasan sebagai alat untuk mengawal Syria, setelah protes damai yang berlaku ketika Arab Spring 2011. Harga yang perlu dibayar bagi penentangan yang telah dilakukan ini adalah dengan nyawa rakyat Syria yang tidak bersalah sekitar 500,000 orang, kota-kota yang sebelumnya cantik bertukar menjadi padang jarak padang tekukur dan krisis kemanusiaan yang sangat teruk, di mana ia telah mengakibatkan sekitar 14 juta rakyat Syria menjadi pelarian.

Namun, Syria telah bebas dari pemerintahan kuku besi apabila gerakan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan Tentera Nasional Syria (SNA) berjaya menguasai pusat pemerintahan rejim Al-Assad. Kita juga tahu bahawa Bashar telah berjaya mendapat suaka politik di Russia dan ini menandakan legasi Al-Assad di Syria telah berakhir dan bermulalah satu cabaran baharu buat Syria. Perancangan yang telah dilakukan oleh gerakan rakyat ini sejak lima tahun yang lalu sebenarnya satu indikator bahawa masa adalah perkara yang sangat penting dalam setiap perancangan yang telah dilakukan.

Perang di Syria bermula sekitar tahun 2011, ketika Russia dan Iran menjadi semakin kuat dan mampu mencatur politik di rantau Asia Barat mengikut kehendak mereka. Pada masa yang sama, negara-negara Barat yang menjadi penyokong kepada penentang Bashar telah berdepan dengan pelbagai masalah dalaman yang menyebabkan bantuan tidak dapat difokuskan kepada gerakan penentang. Namun, kedua-kedua penaung Bashar iaitu Russia dan Iran telah menjadi lemah; Russia mash lagi terperangkap dengan konflik bersama Ukraine; Hezbollah yang merupakan proksi utama Iran baru sahaja selesai mengadakan gencatan senjata dengan Israel. Jika kita lihat, ini adalah masa terbaik untuk gerakan penentang merebut kembali wilayah yang dirampas daripada mereka dan menjatuhkan kediktatoran Bashar.

Turkiye juga antara negara yang menjadi aktor di sebalik penentangan yang berlaku terhadap rejim Bashar. Kita tahu bahawa kepimpinan Erdogan berhadapan tekanan untuk menangani puak Kurdi di sempadan Syria-Turki. Oleh itu, kejatuhan Bashar akan membolehkan Erdogan mencorak geopolitik Asia Barat. Turkiye masih lagi memegang impian mereka untuk mewujudkan Neo-Ottoman (Uthmaniyah Baharu) sekiranya mereka berjaya untuk menguasai Syria. Bagi Iran yang sudah lama membantu dan menyokong Bashar pula, 2024 adalah tahun bencana buat mereka setelah pelbagai isu yang telah melanda mereka bermula daripada kesyahidan Ismail Haniyeh di Tehran.

Rakyat Syria dan umat Islam di seluruh dunia perlu sedar bahawa dengan kejatuhan Bashar, ia bukanlah menandakan Syria akan terus aman damai. Sebahagian besar kawasan timur Syria masih berada di bawah pengaruh Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang digerakkan oleh puak Kurdi yang tidak mahu berada di bahawa pemerintahan orang Arab dan mahukan sebuah wilayah autonomi buat mereka. Di sebelah barat berhampiran Laut Mediteranean pula masih dikuasai oleh penyokong pro-Assad iaitu Syiah Nusayri dan pastinya mereka tidak akan duduk diam melihat pemimpin kesayangan mereka digulingkan. Hakikat yang perlu kita terima bahawa perpecahan di Syria masih lagi berlaku dan Syria akan benar-benar kuat sekiranya semua fraksi yang ada ketika ini mampu bersatu dan bersetuju untuk membina Syria yang lebih baik.

Konflik di Syria ini memang bukan isu pertembungan antara Sunni dan Syiah semata, tetapi ia adalah pertembungan antara rakyat dan pemerintah yang zalim (tidak kira sama ada mereka adalah Sunni, Syiah, Druze dan sebagainya). Campur tangan Iran dalam konflik di Syria menjadikan konflik ini seolah-oleh pertembungan sektarianisme Islam. Disebabkan campur tangan ini, ia telah memaksa Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi mengumumkan berakhirnya usaha untuk mendekatkan Sunni dan Syiah walhal beliau adalah pelopor kepada usaha ini.

Kita tidak boleh melihat isu di Syria hanya dengan satu neraca atau neraca yang kita mahukan. Syria adalah medan perang kuasa-kuasa besar yang ingin mencaturkan geopolitik dan pengaruh mereka di Asia Barat. Jalan pembebasannya masih lagi panjang dan tidak ada masa untuk kita terlalu bersuka ria. Setelah Bashar jatuh, Israel mula memasuki wilayah Syria setelah 50 tahun dan mengebom beberapa tempat di sekitar Damsyik. Amerika Syarikat (AS) pula mula mengatur proksi dalam memastikan peralihan kuasa ini akan memberi kelebihan buat mereka yang sudah lama bermusuh dengan Iran dan Russia secara geopolitik.

Ya, kita gembira kerana kediktatoran telah berjaya digulingkan. Rakyat Syria berhak untuk bergembira setelah dinafikan hak mereka sekian lama. Buat mereka yang mungkin melihat peristiwa ini akan memberi manfaat buat Israel, itu juga tidak berapa tepat dalam kita membaca politik di sana. Jangan menghina perjuangan rakyat Syria dengan menunggang nama ulama Syeikh Ramadan al-Bouti sedangkan banyak lagi ulama yang menyokong kepada perjuangan rakyat ini seperti Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni, Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Usamah al-Rifa’ie dan ramai lagi. Tidak mungkin semua ulama yang menyokong perjuangan rakyat ini sesat dan begitu naif dengan agenda AS dan sekutunya kerana mereka yang merasai pahit jerih agenda kolonialisme Barat. Berlaku adillah dalam membuat pertimbangan.

Syria adalah bumi perjuangan dan salah satu ‘pintu’ di antara dua dalam memastikan pembebasan Baitulmaqdis benar-benar tercapai. Ini telah dibukti sejak zaman Khalifah Umar Al-Khattab sehinggalah kepada Salahuddin Al-Ayyubi. Perjuangan di Syria baru sahaja bermula dan pastinya ia akan memakan masa yang agak panjang. Peranan kita pula adalah untuk terus membantu sedaya mampu, memperkasakan ilmu pengetahuan dan ekonomi supaya Malaysia pada satu hari nanti mampu untuk menjadi sebuah kuasa nasional yang menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan kuasa ummah. – UTUSAN

PENULIS ialah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN