SAMBUTAN Jubli Emas Barisan Nasional (BN) menarik perhatian rakyat Malaysia terutamanya masyarakat India kerana sebahagian besar komuniti berkenaan didapati menyertai MIC dan menyokong BN sejak gagasan itu ditubuhkan pada 1973 sebagai pengganti kepada parti Perikatan.
Parti Perikatan pula adalah gabungan antara parti UMNO, MCA dan MIC yang diasaskan sebelum merdeka sekitar 1952. MIC menyertai Perikatan pada 1954. Perikatan merupakan gabungan parti-parti politik mewakili sebahagian besar orang Melayu, Cina dan India yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan negara.
Sekiranya mengimbas kembali liku-liku perjalanan politik negara, BN di tubuhkan oleh Tun Abdul Razak Hussein yang mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan Malaysia daripada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Asas menubuhkan gagasan BN adalah untuk mengatasi masalah polarisasi kaum kesan permainan politik. Malah, Peristiwa 13 Mei atau rusuhan kaum yang berlaku pada 1969 dilaporkan akibat permainan dan perselisihan politik antara pelbagai parti yang mewakili kepentingan sesuatu kaum tertentu.
Memandangkan stabiliti politik bukan sahaja asas utama bagi pembangunan Malaysia malah menjadi elemen penting yang mampu menarik pelabur asing bagi membantu proses pembangunan negara, maka tercetus idea dalam pemikiran Abdul Razak untuk menggabungkan parti-parti utama dalam negara ketika itu yang sering bermusuhan malah bertanding satu sama lain, seperti parti Perikatan (UMNO, MCA, MIC), Pas, Parti Progresif Penduduk, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) dan lain-lain dalam satu gagasan politik, iaitu BN.
Tujuan gabungan ini adalah untuk mengelakkan negara terjerumus dalam kancah krisis politik kerana perbezaan dan perdebatan politik (politiking) semata-mata yang bukan sahaja mampu menggugat perpaduan rakyat malah kestabilan politik.
Meskipun BN dianggotai hampir 14 parti politik pada awalnya, pergolakan politik dan prestasi dalam pilihan raya umum (PRU) terutamanya PRU14 dan PRU15 menyebabkan BN kini hanya disertai oleh empat parti politik iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
MCA dan MIC merupakan parti yang setia dengan perjuangan BN terutamanya MIC sejak BN ditubuhkan. Malah kebanyakan calon-calon BN menang dalam pilihan raya dengan sokongan hebat orang India serta MIC.
Namun, akhir-akhir ini, BN didakwa memandang lekeh terhadap peranan MIC dalam menjayakan BN dalam pilihan raya. Pandangan serong kononya MIC hanya menang satu kerusi parlimen sahaja didakwa menyebabkan wakil parti yang mewakili kaum India itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani yang ditubuhkan pada PRU15.
Persoalannya, apakah faktor MIC yang merupakan rakan setia sejak menyertai gagasan Perikatan sebelum merdeka dan Gagasan BN sejak 1973 diabaikan dalam pertimbangan dan pelantikan jawatan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan? Sebaliknya, masyarakat India masih ingat kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang menubuhkan kerajaan dahulu melantik seorang pemimpin daripada MIC sebagai menteri Kabinet.
Keputusan Kerajaan PN melantik seorang calon daripada MIC sebagai anggota Kabinet menggambarkan PN lebih menepati tradisi politik yang diamalkan dalam negara sejak pelantikan Kabinet pertama yang ditubuhkan pada 1955 sehingga PRU14. Malah langkah PN melantik seorang calon daripada MIC yang mewakili sebahagian besar komuniti Tamil lebih terserlah konsep konsosional (kongsi kuasa) yang merupakan tunjang malah amalan kerajaan-kerajaan yang terbentuk di Malaysia sejak merdeka.
Selain itu, Konvensyen BN yang diadakan baru-baru ini lebih mengutamakan perbincangan dan sumbangsaran (brainstorming) melibatkan beberapa profesor daripada universiti tempatan bagi membantu persediaan dalam menghadapi PRU16.
Pemimpin-pemimpin parti komponen turut diminta menyuarakan pandangan mewakili parti mereka, kepimpinan serta Pelan Tindakan Strategik BN dalam menghadapi PRU16.
Sehubungan ini, ucapan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, yang mewakili presiden MIC menarik perhatian para peserta konvensyen. Beliau berterus terang dalam menyenaraikan kelemahan-kelemahan lalu dalam tatacara pengurusan BN.
Ucapan beliau menimbulkan tanggapan kononnya kepimpinan BN mengabaikan prinsip konsensus dalam mengambil keputusan akhir BN, terutamanya dalam menghadapi pilihan raya.
Selain itu, beliau juga dengan tegas menggesa BN tidak meneruskan formula hanya parti penyandang dibenarkan untuk terus bertanding di kerusi yang dimenangi dalam PRU16. MIC tolak secara total formula ini.
Dalam pada itu, timbul tanggapan dalam kalangan kepimpinan BN kononnya parti–parti politik yang dirujuk sebagai Friends of BN, yang mendakwa mewakili kaum India, boleh mengantikan MIC dalam meraih sokongan pengundi India kepada BN. Tanggapan ini menyebabkan pemimpin-pemimpin parti tersebut diberi peluang untuk bertanding mewakili BN dalam PRU15.
Sebagai contoh empat calon BN yang bertanding dalam PRU15 adalah terdiri daripada presiden Makkal Sakti, presiden Parti Barisan Kemajuan India (IPF), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan presiden Kongress India Muslim Malaysia (KIMMA). Keempat-empat calon daripada Friends of BN terjunam malah ada yang hilang deposit. Ini jelas menunjukkan pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum kurang menyokong parti-parti berkenaan.
BN HARUS BUANG PERSEPSI
Apapun kepimpinan BN harus tinggalkan persepsi kononya MIC adalah sebuah parti yang lemah dan kurang mampu meraih sokongan orang India pasca PRU12.
Persepsi sedemikian adalah satu ilusi semata-mata dan tidak benar. Sebaliknya MIC dibawah kepimpinan Tan Sri SA. Vigneswaran pada dewasa ini menjadi antara parti komponen yang terkuat dalam medan politik negara.
Justeru itu, pandangan dan buah fikiran kepimpinan MIC harus diambil kira dalam menjenamakan serta meremajakan kekuatan BN bagi menghadapi PRU16.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik.










