Kos lawatan ke luar negara pelaburan kecil, tapi hasilnya besar

Kos lawatan ke luar negara hanya pelaburan kecil, tapi hasilnya besar

KRITIKAN terhadap lawatan luar negara wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu sebagai pelaburan strategik untuk manfaat jangka panjang kepada negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, terus memperkukuhkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa melalui penglibatan aktif dan diplomasi berani.

Walaupun terdapat kritikan dalam negara yang mempertikaikan kekerapan beliau ke luar negara dan kos yang dikatakan tinggi, impak positif daripada usaha beliau di pentas global jauh mengatasi kecaman tersebut.

Kehadiran beliau di forum-forum utama antarabangsa, seperti Sidang Kemuncak G20 baru-baru ini, memberikan peluang kepada Malaysia untuk memainkan peranan strategik dalam isu-isu global yang penting.

Selepas hampir sedekad sejak Malaysia kali terakhir hadir di Sidang Kemuncak G20 di Turkiye sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015, Anwar sekali lagi membawa semula suara negara ke forum berprestij itu.

Dengan membawa isu kelaparan, kemiskinan dan ketidaksamaan ekonomi ke perhatian pemimpin dunia, Anwar berjaya menunjukkan bahawa Malaysia bukan sekadar pemerhati tetapi pemain aktif dalam mencorak masa depan global.

Antara cadangan utama beliau adalah penstrukturan semula sistem kewangan global di mana beliau menekankan perlunya keadilan dalam pengagihan sumber untuk membantu negara membangun menghadapi cabaran ekonomi.

Selain itu ialah isu Palestin di mana dengan tegas Anwar menyeru di hadapan pemimpin-pemimpin terkemuka dunia mengenai perlunya gencatan senjata di Gaza serta menekankan keperluan keadilan sejagat dalam menangani penindasan terhadap rakyat Palestin.

Keberanian beliau memperjuangkan isu-isu ini mencerminkan pemimpin yang bukan sahaja memikirkan kepentingan nasional tetapi juga keadilan sejagat.

Mengukuhkan Kedudukan Malaysia melalui Reformasi Global
Anwar juga turut mengetengahkan keperluan reformasi dalam institusi global seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan G20.

Beliau mengkritik ketidakseimbangan kuasa yang diberikan kepada negara-negara veto yang sering meminggirkan suara negara membangun.

Cadangan beliau termasuk tadbir urus global yang lebih inklusif dengan memberikan ruang kepada negara kecil untuk menyumbang dalam proses membuat keputusan global.

Selain itu ialah seruan supaya fokus diberikan kepada cabaran sejagat di mana isu-isu seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan teknologi dijadikan keutamaan untuk kerjasama global yang lebih berkesan.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar bercadang menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai model kestabilan dan inovasi. Beliau menyeru supaya diadakan integrasi ekonomi serantau melalui pengukuhan kerjasama ekonomi antara negara ASEAN untuk mencipta peluang pelaburan dan perdagangan yang lebih besar.

Begitu juga dengan peranan aktif di peringkat global di mana ASEAN bukan sahaja bertindak sebagai blok ekonomi tetapi juga sebagai pembawa suara yang tegas dalam isu hak asasi manusia dan keselamatan serantau.

Usaha-usaha ini akan membawa manfaat langsung kepada Malaysia, khususnya dalam meningkatkan pelaburan asing dan memperkukuh hubungan diplomatik.

Kritikan Kos dan Justifikasi Kewajaran
Kritikan mengenai kos lawatan antarabangsa Anwar sering dilontarkan tanpa mengambil kira manfaat strategik yang diperoleh. Lawatan beliau seperti ke Sidang Kemuncak G20 serta beberapa negara mutakhir lain seperti China, Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil dan Republik Korea sebenarnya membuka peluang yang besar kepada Malaysia.

Pertama ialah peningkatan pelaburan asing di mana pertemuan dengan pemimpin dan pelabur antarabangsa akan dapat menarik pelaburan yang membawa pulangan besar kepada ekonomi Malaysia.

Dari sudut diplomasi pula, kehadiran beliau di negara-negara luar juga memperkukuh hubungan dua hala dan menjadikan Malaysia lebih relevan di pentas global.

Kos yang dikeluarkan adalah pelaburan kecil berbanding potensi hasil yang boleh dicapai melalui pelaburan asing yang bakal terhasil serta hubungan diplomatik yang kukuh.

Kepimpinan Berani

Selain itu, Anwar juga menunjukkan bahawa kepimpinan berkesan memerlukan keberanian untuk membuat keputusan yang sukar tetapi penting. Sebagai seorang Muslim, beliau menjadikan nilai keadilan sebagai asas kepimpinannya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” (Riwayat Ahmad)

Nilai ini jelas terpancar dalam setiap langkah diplomasi yang diambil, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Melalui penglibatan aktif Anwar di pentas antarabangsa, Malaysia kini bukan sahaja dihormati tetapi juga menjadi contoh kepimpinan global yang berprinsip dan progresif.

Kritikan terhadap lawatan luar negara beliau wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu sebagai pelaburan strategik untuk manfaat jangka panjang kepada negara.

Pemimpin yang berjiwa besar seperti Anwar memahami bahawa keberhasilan sebenar bukan diukur melalui pujian jangka pendek, tetapi melalui impak berterusan yang membawa kebaikan kepada rakyat dan dunia.

Dengan langkah-langkah ini, beliau telah membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi suara yang penting dalam mencorak masa depan dunia yang lebih adil dan sejahtera. – UTUSAN

NURULAINI Zamhury ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN