KERAJAAN Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan komitmen tinggi untuk membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif yang bersifat inklusif dan holistik.
Salah satu manifestasi kesungguhan ini adalah melalui Program Kampung Angkat Madani 2024 Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang, pada 6 Julai lalu. Keunikan program ini adalah penglibatan pelbagai jabatan dan pihak mentransformasikan kampung mengikut kepakaran masing-masing. Pemilihan kampung pula berdasarkan tempat ketua jabatan dilahirkan, dibesarkan atau mana-mana kampung yang sesuai.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan melengkapkan kemudahan asas di kampung-kampung terpilih. Ia membabitkan peruntukan RM100 juta kepada sebanyak 42 buah kampung terpilih di seluruh negara yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus.
Program ini mencerminkan pendekatan whole of government yang bersepadu, selari dengan prinsip madani yang menitikberatkan nilai kesejahteraan, daya cipta dan ihsan.
Dari sudut kesejahteraan, ia membina komuniti yang sihat dan sejahtera dari segi ekonomi, sosial dan mental.
Dari segi daya cipta, ia melaksanakan pendekatan baharu dalam pembangunan komuniti.
Bagi ihsan pula, ia mendekati rakyat dengan empati, mendengar dan menyelesaikan masalah mereka secara berkesan.
Program ini tidak terhad kepada pembangunan fizikal seperti penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas. Sebaliknya, ia turut melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan insan yang bertujuan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan penduduk.
Program Kampung Angkat bukan sahaja membawa perubahan kepada landskap fizikal komuniti, tetapi juga memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan benar-benar memahami keperluan mereka.
Pendekatan ini membuktikan sokongan tidak semestinya dalam bentuk material, tetapi melalui kehadiran dan empati, kerajaan dapat membina hubungan yang lebih erat dengan rakyat.
Salah satu lokasi di Kampung Pulau Aman, Pulau Pinang, yang menjadi Kampung Angkat Madani pertama disiapkan di dalam negara. Majlis penutupannya disempurnakan Ahad lalu oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Melalui program ini, bantuan yang diberikan adalah berbentuk fizikal dan bukan fizikal selama 28 minggu. Di Kampung Pulau Aman sebanyak 12 program fizikal dan 23 program bukan fizikal bernilai RM2.47 juta dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama rakan-rakan strategik di pelbagai peringkat.
Pendekatan whole of government dalam program ini bagi memastikan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk menyelaraskan sumber serta menyampaikan perkhidmatan yang berimpak tinggi. Kerjasama ini membolehkan pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani keperluan masyarakat.
Di Kampung Pulau Aman, JPA bergabung dengan pentadbiran kerajaan peringkat persekutuan seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Turut memberikan kerjasama ialah pentadbiran kerajaan peringkat negeri seperti Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Penglibatan pelbagai agensi ini berfokuskan keberhasilan yang mana setiap program dirancang untuk memberikan kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat, bukan sekadar penyelesaian sementara.
Lapan projek fizikal awal yang dilaksanakan di Kampung Pulau Aman ialah penggantian pontoon jeti Pulau Aman, pemasangan lampu solar di kawasan perkhemahan, pembaikan tandas awam di tapak perkhemahan, penaiktarafan pusat pengumpulan sampah di hujung pulau, pembaikpulihan longkang-longkang sedia ada, pembaikpulihan gelanggang permainan, penaiktarafan dan pembaikpulihan dewan serbaguna dan pelengkapan laluan denai mengelilingi Pulau Aman.
Setelah perbincangan diadakan dengan wakil penduduk Kampung Pulau Aman, empat projek fizikal lagi ditambah iaitu membaik pulih rumah jenazah, membaik pulih pagar perkuburan masjid, menaik taraf laluan jeti dan memasang mercu tanda Kampung Pulau Aman.
Selain itu, KPPA juga mengarahkan setiap bahagian di JPA untuk mengadakan 23 program bukan fizikal, termasuk program pendidikan bersama penduduk kampung serta pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman kerana tanpa pengisian berbentuk pendidikan sukar untuk memastikan kesinambungan program.
Antara program pendidikan yang JPA laksanakan bersama penduduk kampung adalah kelas bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kursus Pengurusan Inap Desa kepada pengusaha Inap Desa dan Program MyKP atau My Komuniti Perikanan yang diadakan bersama Jabatan Perikanan Malaysia.
Program pendidikan bersama pelajar-pelajar pula membabitkan Program Menyantuni Hasrat Membina Citra anjuran Bahagian Pengurusan Psikologi JPA dengan pelajar diajar teknik memprogram dan mengurus minda bagi membentuk peribadi yang baik dan membekalkan dua papan pintar kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman untuk kegunaan pembelajaran anak-anak.
Turut dirasmikan ialah satu tarikan pelancongan baharu Pulau Aman dinamakan Pintu Gerbang Denai Alam Aman yang merupakan laluan denai mengelilingi Pulau Aman sepanjang 3.5 kilometer (km) yang merangkumi cerun bukit dan beberapa kawasan yang mencabar. Laluan denai ini diwujudkan dengan tawaran khidmat dan kepakaran FRIM.
Selain daripada itu, produk-produk lain yang dikembangkan adalah batik, ikan kering, kerepek sukun, aiskrim dan belacan. Menariknya produk belacan Pulau Aman mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Mengikut KPPA, pembangunan di Pulau Aman akan dilaksanakan secara berterusan sehingga tahun 2027 melibatkan perancangan yang teliti bagi mencapai matlamat Malaysia Madani yang digagaskan oleh perdana menteri.
PRIHATIN MASALAH RAKYAT
Penglibatan pelbagai jabatan kerajaan menunjukkan keprihatinan dan empati kerajaan terhadap masalah rakyat sesuai dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang dilaungkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan bertepatan dengan nilai-nilai pegawai awam iaitu H.E.M.A.T.
Kesungguhan kerajaan melalui Program Kampung Angkat Madani mencerminkan usaha untuk membina sebuah negara yang inklusif, dinamik dan makmur.
Dengan mengoperasikan prinsip whole of government dan nilai madani secara strategik, inisiatif seperti ini berpotensi menjadi model pembangunan komuniti yang berkesan untuk masa depan.-UTUSAN
NURULAINI Zamhury ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.










