PADA 10 November lalu, buat pertama kalinya dalam sejarah seorang Perdana Menteri Malaysia diberi penghormatan berucap di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir yang merupakan antara universiti terulung dalam bidang pengajian Islam.
Sebagai seorang negarawan, pemikir dan pemimpin, kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas yang begitu berprestij ini menggambarkan keupayaan Malaysia untuk menyuarakan pandangan intelektual serta menyumbang secara bermakna kepada isu-isu kritikal umat Islam.
Seperti diungkapkan Anwar, “Untuk berbicara di dewan yang penuh kemuliaan di Universiti Al-Azhar adalah antara penghormatan yang paling jarang dan berharga dalam kehidupan seorang Muslim.”
Sebagai seorang pemimpin intelektual, Anwar membawa pandangan yang mendalam mengenai hubungan antara material dan spiritual dalam Islam, satu aspek yang sering diketepikan dalam wacana moden.
Ucapannya di Al-Azhar bukan sahaja menyingkap kepentingan pendidikan dan inovasi teknologi tetapi juga menyeru kepada integrasi moral dan etika dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Islam. Menurut Anwar, pendidikan haruslah menjadi tempat yang mana pemikiran kritikal digandingkan dengan kompas moral yang kukuh.
Beliau menekankan betapa pentingnya bagi institusi pendidikan Islam untuk melahirkan generasi pemimpin yang memiliki kebijaksanaan intelektual dan akhlak luhur, supaya dapat mengarahkan ummah kepada kemajuan lebih holistik.
Ucapan beliau adalah satu seruan yang mengingatkan umat Islam bahawa nilai intelek tidak seharusnya terpisah daripada nilai moral, malah kedua-duanya perlu bergerak seiring untuk menjamin pembangunan masyarakat yang berkualiti.
PERPADUAN UMMAH & TRANSFORMASI SOSIAL EKONOMI
Dalam era globalisasi dan pasca moden yang penuh dengan cabaran dan perubahan pesat, ucapan Anwar menggariskan keperluan mendesak bagi umat Islam untuk bersedia menghadapi perubahan dunia dengan daya tahan dan inovasi.
Anwar menyeru agar dunia Islam tidak sekadar mengikut arus perubahan atau berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Sebaliknya, beliau menggesa ummah untuk meneroka jalan-jalan baharu dalam sains dan teknologi agar mampu bersaing di pentas global.
Menurut beliau, perubahan-perubahan ini menuntut lebih daripada sekadar penyesuaian atau peniruan bahkan menuntut ketahanan, pandangan ke hadapan dan visi yang berlandaskan asas akhlak yang kukuh.
Beliau turut menekankan keperluan pelaburan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta keselamatan siber sebagai langkah penting bagi membina masa depan yang lebih stabil dan berdaya saing.
Dengan pelaburan yang mantap dalam bidang-bidang ini, Anwar yakin bahawa umat Islam akan mampu mengatasi jurang pembangunan dengan dunia Barat serta menjadi penggerak utama dalam penyelesaian isu-isu mendesak seperti kesihatan, alam sekitar dan keselamatan digital.
ISLAMOFOBIA
Salah satu gagasan penting dalam ucapan Anwar adalah penekanannya terhadap usaha memerangi Islamofobia. Dalam ucapannya, beliau mengajak umat Islam untuk mengatasi cabaran ini dengan ilmu pengetahuan, kesabaran dan kasih sayang.
Islamofobia, menurut beliau, adalah satu bentuk kejahilan yang berakar umbi dan memerlukan respon yang bijaksana dan penuh empati. Dengan penuh hikmah, Anwar menekankan bahawa Islam mengajar umatnya untuk membalas kebencian dengan kebaikan, sepertimana Firman Allah dalam Surah Fussilat, ayat 34, “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
Seruan ini bukan sahaja menunjukkan wawasan Anwar yang mendalam tentang pendekatan Islam dalam menanggapi cabaran, tetapi juga memperlihatkan usaha beliau untuk menggalakkan dialog antara agama dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif.
Pendekatan ini memperlihatkan satu visi Islam yang progresif dan mendamaikan, dengan umat Islam bukan sahaja berusaha menangkis stereotaip negatif tetapi juga memberi sumbangan positif kepada dunia melalui sikap terbuka, ilmu pengetahuan dan kemanusiaan.
VISI MASA DEPAN UMMAH LEBIH BERSATU & INKLUSIF
Ucapan ini tidak sekadar memberikan dorongan untuk perubahan sosial dan ekonomi, tetapi juga menekankan peri pentingnya keperluan untuk kerjasama berskala besar dalam kalangan umat Islam. Bagi Anwar, perpaduan tidak bermakna keseragaman mutlak, sebaliknya ia adalah tentang mencari titik persamaan yang dapat menyatukan masyarakat Islam yang pelbagai untuk mencapai matlamat bersama.
“Apabila kita bercakap tentang perpaduan Muslim, kita tidak bermaksud keseragaman dan kita juga tidak membayangkan dunia di mana semua negara Muslim bergerak dalam keselarasan sempurna,” kata Anwar.
Kenyataan ini memperlihatkan sikap terbuka Anwar terhadap kepelbagaian dalam Islam serta pemahaman beliau bahawa perpaduan yang sebenar terletak pada komitmen kolektif untuk keamanan, keadilan dan kemakmuran bersama. Beliau menyeru umat Islam untuk berusaha bersama-sama dalam membina dunia yang lebih adil dan berdaya saing dengan menghormati perbezaan budaya serta pandangan dalam kalangan masyarakat Islam.
Ucapan Anwar juga bukan sekadar ucapan rasmi malah merupakan satu deklarasi yang mempunyai impak besar terhadap arah tuju dunia Islam. Ia mencerminkan ketinggian intelektual beliau serta keyakinan yang teguh dalam usaha membina ummah yang berilmu, beretika dan bersatu.
Dalam mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru umat Islam agar terus berusaha dengan sabar dan tabah dalam mengejar visi ini, dengan berkata, “Bersama-sama, marilah kita berusaha untuk menjadikan visi ini satu kenyataan untuk diri kita sendiri, untuk komuniti kita dan untuk generasi yang akan datang.”
Kehadiran Anwar di Universiti Al-Azhar dan ucapannya ini merupakan lambang kekuatan Malaysia sebagai penyumbang aktif serta kedudukan beliau sebagai figura penting dalam perbincangan global dunia Islam serta membuka peluang kepada transformasi sosial dan ekonomi yang lebih inklusif dan progresif.
Visi beliau untuk perpaduan, keadilan dan kemajuan sejagat mencerminkan harapan tinggi untuk dunia Islam pada masa depan dan peranan Malaysia dalam menjadikan harapan itu suatu kenyataan.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zaid Ahmad ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).










