Jasa besar anak jati Brickfields kepada dunia korporat negara

Jasa besar anak jati Brickfields kepada dunia korporat negara

ANANDA KRISHNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 29 Julai 1985, majalah mingguan terkemuka Newsweek mendedahkan bagaimana seorang rakyat Malaysia bernama Tan Sri Tatparanandam Ananda Krishnan merupakan antara individu penting yang membantu menjayakan konsert popular Live Aid yang dibarisi penyanyi seperti Queen, David Bowie, Elton John, Madonna, Led Zeppelin, Mick Jagger dan Bob Dylan.

Walaupun beliau hanya aktif dalam bidang minyak petroleum ketika itu, Ananda yang berusia 47 tahun memasang satu impian besar iaitu membuat siaran langsung untuk kejohanan sukan dan program-program seni hiburan di serata dunia.

Segala-galanya bermula apabila beliau terbaca kisah Bob Geldof yang membentuk sekumpulan penyanyi untuk menyanyikan sebuah lagu iaitu Do They Know It’s Christmas/Feed The World dan hasil jualan lagu tersebut akan disalurkan untuk tabung dana kebuluran.

Ananda kemudian berhubung dengan Geldof dan membantunya membayar kos perbelanjaan untuk menghasilkan lagu tersebut. Melalui bantuan tersebut, Geldof memberitahu Ananda bahawa beliau berhasrat untuk mengumpul beberapa penyanyi rock terhebat dunia untuk membuat persembahan dalam sebuah konsert amal peringkat antarabangsa.

Ketika itu, Ananda baru sahaja menubuhkan sebuah syarikat bernama Worldwide Sports and Entertainment bersama-sama dengan Michael Mitchell, salah seorang individu yang menjayakan Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Beliau kemudian memperkenalkan Mitchell kepada Geldof dan melabur beberapa juta ringgit untuk menganjurkan konsert Live Aid. Ini disahkan sendiri oleh produser konsert itu, Harvey Goldsmith.

Sebanyak AS$3.7 juta dibelanjakan untuk konsert tersebut di AS dan AS$400,000 untuk konsert di London, United Kingdom (UK). Perbelanjaan itu akan dibayar balik menerusi penjualan hak penyiaran dan hasil derma dari badan-badan korporat.

Ada beberapa stesen televisyen yang agak skeptikal untuk mengadakan konsert ini, tetapi bagi Ananda, beliau menyifatkan terdapat permintaan tinggi untuk menyaksikan konsert secara langsung, bukan sahaja dari pandangan para penonton malah para pengiklan yang mencari cara baharu untuk memasarkan produk mereka.

Hasilnya, penganjuran konsert Live Aid ini merupakan satu kejayaan besar, memberikan impak dan kesan mendalam buat penonton di seluruh dunia sehingga ke hari ini. Ia menjadi inspirasi buat Ananda untuk terus menceburi bidang penyiaran di masa akan datang.

Beliau lahir pada 1 April 1938 di Brickfields, Kuala Lumpur ketika negara masih lagi di bawah pentadbiran British Malaya. Beliau membesar dan bersekolah di Sekolah Tamil Vivekananda sebelum melanjutkan persekolahan peringkat menengah di Victoria Institution.

Ananda pada mulanya menerima ijazah sarjana dalam bidang sains politik di Universiti Melbourne sebelum meraih sarjana dalam pentadbiran perniagaan (MBA) di universiti berprestij dunia, Sekolah Perniagaan Havard pada 1964, pada usia 26 tahun.

Beliau memulakan kariernya dalam bidang perniagaan bersama sebuah firma perundingan, yang membuka laluan kepadanya untuk menceburi sektor lain, terutamanya sektor cari gali minyak, yang akhirnya memberikan keuntungan besar kepadanya.

Selepas kejayaan konsert Live Aid, beliau turut mencari peluang untuk mengembangkan industri penyiaran di negaranya sendiri. Ketika itu, yang wujud hanya Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dikendalikan di bawah Jabatan Penyiaran. Pada Jun 1984, stesen televisyen swasta pertama negara, TV3 dilancarkan dan diasaskan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selepas memperoleh lesen dari kerajaan untuk beroperasi.

Peluang untuk Ananda akhirnya tiba pada 1992 apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu mahu menghentikan monopoli kerajaan dalam sektor perkhidmatan komunikasi dengan menubuhkan syarikat swasta.

Syarikat ini dinamakan Binariang Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh Ananda pada 1993 bagi mewujudkan sistem komunikasi satelit pertama di negara ini menerusi dua buah satelit di bawah projek Malaysia East Asia Satellite (MEASAT). Tahun yang sama, syarikat telekomunikasi, Maxis turut ditubuhkan. Maxis kemudian menjadi antara syarikat telekomunikasi terbesar di negara ini.

MEASAT membuka jalan kepada perkhidmatan komunikasi telefon dan data yang lebih stabil ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Ia juga menyumbang kepada pertumbuhan rangkaian komputer, dan penciptaan perkhidmatan televisyen satelit terus-ke-rumah (DTH) yang dikenali sebagai Astro pada 1996.

Astro menyumbang kepada ribuan peluang pekerjaan dan membantu mengembangkan lagi industri penyiaran, seni dan hiburan tempatan serta menyiarkan ratusan stesen televisyen dari seluruh dunia dalam pelbagai bentuk, berita, drama, filem, muzik, dokumentari dan yang paling penting adalah siaran langsung kejohanan sukan sekali gus menjadikan Astro dominan dalam industri penyiaran di negara ini. Impian Ananda selama ini akhirnya tercapai.

Pada April 2024, namanya tersenarai dalam 50 individu terkaya Malaysia di Forbes dengan nilainya dianggarkan sebanyak AS$4.8 bilion atau kira-kira lebih RM17 bilion.

Ia boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan besar buat dirinya sebelum beliau meninggal dunia pada November 2024 di usia 86 tahun. 

Beliau sebenarnya bukan sahaja merealisasikan impiannya malah impian semua rakyat Malaysia. Jasa dan sumbangan beliau kepada negara akan sentiasa dihargai dan disanjungi sampai bila-bila.

Takziah buat seisi keluarga dan semoga tabah menghadapi dugaan ini.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN