Hentikan gejala buli di UPNM

Hentikan gejala buli di UPNM

PENYELESAIAN terhadap masalah buli di UPNM memerlukan perubahan struktur pentadbiran dan pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan pegawai kadet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA masa dahulu, sebelum dan selepas kemerdekaan, istilah “buli” hampir tidak pernah didengar. Ia bukan sebahagian daripada kamus percakapan masyarakat kerana budaya dan pendekatan pendidikan yang sangat tegas baik di sekolah mahupun di rumah oleh ibu bapa. Walau bagaimanapun, cara pendidikan seperti ini kini dianggap tidak relevan dengan zaman moden.

Namun, baru-baru ini, negara digemparkan dengan dua lagi kes buli serius di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), sayap latihan ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kedua-dua kes melibatkan pegawai kadet tahun satu menjadi mangsa kepada pegawai kadet senior, iaitu kes menekap seterika panas hingga menyebabkan kecederaan serius, dan kes keretakan tulang rusuk akibat tindakan agresif kadet senior.

Seperti dijelaskan oleh Menteri Pertahanan, kejadian ini berlaku pada waktu malam selepas sesi roll call, ketika semua pegawai kadet berada di bawah pengawasan ALK, bukan UPNM.

Mengapa kes buli ini berlaku?
Persoalan besar yang perlu dicari jawapan adalah kenapa hanya akhir-akhir ini, iaitu sejak tujuh hingga 10 tahun yang silam, kes buli yang amat serius dan di luar batasan kemanusiaan itu berlaku dan tidak sebelumnya padahal UPNM sendiri setelah tertubuh sekitar 16 tahun lalu pada 2006 ataupun 29 tahun sejak Akademi Tentera Malaysia atau ATMA ditubuhkan pada 1995 yang ijazahnya sewaktu ia mula berdiri dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ia semacam ada kaitan dengan perubahan struktur pengurusan para mahasiswa itu sendiri serta hubungan yang dikatakan oleh sesetengah pihak ‘tidak serasi’ di antara pucuk pimpinan akademik yang diterajui oleh seorang pegawai tinggi tentera berpangkat Leftenan Jeneral selaku Naib Canselor dengan Komandan ALK berpangkat Brigadier Jeneral yang tidak diletakkan di bawah dan bertanggungjawab kepada Naib Canselor dari segi tatakelola para pegawai pegawai kadetnya.

Bermula pukul 5.00 petang sehingga pukul 8.00 pagi esoknya pula, mereka berada di bawah pengawasan ALK yang mengikut tata kelola ketenteraan, dan mereka ini wajib dan diperlukan menghadiri lima kali roll call setiap hari yang dianggap oleh para kadet amat meletihkan bukan sekadar fizikal tetapi dari segi minda. Sesudah perbarisan kelolaan pegawai ALK, para kadet tahun pertama ini dilepaskan pula ke dalam tangan para kadet senior yang sebilangan kecil, mungkin satu peratus saja, yang mempunyai kecenderungan untuk membuli.

Apa yang menarik, gejala buli seperti ini tidak berlaku dalam kalangan pelajar awam mahupun ahli Pasukan Tentera Simpanan (ROTU). Ahli ROTU juga menjalani latihan ketenteraan, tetapi persekitaran mereka lebih menyerupai suasana universiti biasa yang mementingkan pembangunan holistik.

Sebagai seorang tenaga pengajar berpengalaman, penulis mendapati perbezaan ketara dalam perilaku antara pegawai kadet dan pelajar awam. Sebahagian besar pegawai kadet sering kelihatan letih, malah ramai yang mengakui bahawa sesi roll call harian tidak memberi manfaat kecuali keletihan semata-mata. Hal ini menjejaskan tumpuan mereka dalam kuliah, menyebabkan mereka ketinggalan berbanding rakan sebaya yang lebih cergas dan produktif.

Tambahan pula, kawalan yang terlalu ketat ke atas jadual harian pegawai kadet menghalang mereka untuk menyertai aktiviti kokurikulum seperti debat, drama, muzik, atau sukan, yang sangat penting untuk mengasah bakat serta membentuk kemahiran insaniah (soft skills) yang diperlukan untuk menjadi pemimpin intelektual berkarakter.

Cadangan Penambahbaikan
Pertama ialah penyelarasan sistem pentadbiran. Pegawai kadet seharusnya diletakkan sepenuhnya di bawah pengawasan Naib Canselor sepanjang hari kerja biasa (Isnin hingga Jumaat). Penglibatan ALK hanya diperlukan pada hujung minggu atau semasa cuti panjang untuk aktiviti ketenteraan intensif. Ini akan memastikan mereka mempunyai lebih banyak masa untuk aktiviti kokurikulum yang boleh membangunkan potensi bakat dan kepimpinan.

Sistem roll call harian pada waktu malam perlu dimansuhkan kerana ia membuka ruang kepada kemungkinan buli oleh kadet senior. Ini juga akan memberi peluang kepada kadet untuk berehat secukupnya dan mengelakkan keletihan kronik.

Kedua ialah penyatuan pengurusan ALK dan UPNM. Komandan ALK harus dilantik sebagai ahli Senat Universiti secara ex-officio dan bertanggungjawab terus kepada Naib Canselor. Ini akan menyelaraskan hala tuju antara ALK dan UPNM, sekaligus memastikan integrasi visi yang lebih baik.

Jurulatih yang dihantar ke ALK perlu dipilih daripada kalangan pegawai terbaik yang dapat menyumbang kepada pembangunan pegawai tentera berminda kelas pertama dan berkarakter tinggi.

Walaupun cabaran ini wujud, kejayaan UPNM dalam menerbitkan karya penyelidikan berkualiti dalam bidang pertahanan tidak boleh dinafikan. Dalam kalangan 159 institusi pertahanan global, UPNM menduduki tangga ke-12, melebihi universiti tersohor seperti Cranfield University di United Kingdom. Pencapaian ini menunjukkan potensi besar UPNM untuk terus unggul jika isu-isu pentadbiran dan tata kelola dapat ditangani dengan baik.

Penyelesaian terhadap masalah buli di UPNM memerlukan perubahan struktur pentadbiran dan pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan pegawai kadet. Dengan penyelarasan yang baik antara pihak pengurusan UPNM dan ALK, cita-cita melahirkan Intellectual Leaders of Character dan Officers and Gentlemen bukanlah satu impian yang mustahil. UPNM mesti menjadi institusi yang tidak hanya melahirkan pegawai tentera yang cekap, tetapi juga pemimpin berkarakter yang dihormati di peringkat global. – UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN