MAJLIS Profesor Negara (MPN) yang menganggap setiap profesor khasnya dan ahli akademik amnya sebagai ahlinya bukan sesekali mana-mana lanjutan entiti pendidikan tinggi.
Apatah lagi sebagai universiti raya yang ahlinya secara eksklusif datang dari segenap institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di negara ini.
Ini kerana visi dan misinya berbeza sekali. MPN tidak mengangkat kegiatan ilmiah wajib di universiti, iaitu pengajaran, penyelidikan dan penerbitan sebagai urusan utama lagi mestinya.
Sebaliknya, MPN adalah badan pemikir yang digembleng daripada segala kepakaran ilmu yang ada di negara ini.
Sebagai pemikir, khususnya gerakan ahli akademik yang memiliki daya cendekia tinggi, MPN merupakan kelompok cendekiawan negara yang bukan sahaja selalu memikir secara mendalam, juga dengan serius tentang semua perkara berkenaan negara ini.
Sehubungan ini, semua kegiatan MPN menjurus kepada menghabiskan masanya untuk menyediakan semacam kertas putih, iaitu yang mengandungi maklumat penuh untuk menangani permasalahan yang dihadapi negara.
Ia dilakukan dengan MPN mengadakan siri perbincangan meja bulat dengan semua pihak berkepentingan.
Dengan ini, saranan daripada MPN adalah yang sangat berwibawa. Ini kerana ia dilakukan oleh penganalisis pakar untuk memahami sesuatu perkara, sama ada bagi menyelesaikan permasalahan tertentu atau membuat sesuatu keputusan.
Selain bertindak sebagai badan pemikir negara, MPN juga giat terlibat dalam intelektualisme awam, iaitu perkongsian ilmu dengan masyarakat umum.
Dalam hal ini, MPN secara kolektif bertungkus lumus untuk memastikan masyarakat umum setelah memperoleh ilmu yang dikongsikan oleh ahlinya, mampu membuat keputusan yang lebih bernas.
Ini penting dalam mereka memahami untuk ikut mempromosikan kebaikan bagi masyarakat itu sendiri.
Dalam hal ini, MPN sesungguhnya amat komited untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat umum, setelah ilmu itu dibikin ahlinya di universiti.
Ini dilakukan MPN dengan selalu mengetengahkan ahlinya sebagai intelek awam, iaitu ahli akademik yang mahir dalam sesuatu bidang ilmu dan sanggup pula mengulas ehwal semasa negara dengan penuh kejujuran dari sudut kepakarannya.
Dengan kata lain, MPN selalu berbicara, baik dalam bentuk tulisan mahupun lisan untuk khalayak yang jauh lebih besar. Ini berbeza dengan universiti yang hanya berwacana untuk komuniti akademik sahaja.
Dengan ini, MPN melalui intelek awamnya menyebarkan gagasan tertentu, sama ada yang selari dengan pemerintah atau yang sebaliknya.
Ini antaranya dilakukan melalui media agar ia bukan sahaja sampai kepada masyarakat terbanyak. Juga membantu mereka memahami sesuatu perkara itu dengan lebih baik.
Sebenarnya melalui intelektualisme awam itu, MPN ikut melakukan advokasi awam, khususnya tentang dasar awam.
Advokasi awam adalah proses untuk mempengaruhi pihak yang membuat keputusan, khususnya pemerintah.
Dalam pada ini, MPN bukan sahaja menyokong, tetapi membantah dasar awam tertentu.
Dengan ini, walaupun MPN didanai pemerintah, ia bebas dari segi pengaruhnya.
Inilah sebaik-baiknya badan yang mewakili masyarakat umum agar kepentingan mereka selalu terjaga.
Ia antaranya dilakukan MPN dengan mengajukan opsyen alternatif kepada dasar awam kontroversial yang digubal oleh pemerintah.
Melalui advokasi awam, MPN tidak dapat dinafikan telah banyak menyumbang kepada kewujudan pelbagai dasar awam untuk negara ini.
Ini antaranya kerana input daripada ahli akademik bukan sahaja penting untuk membangkit kesedaran. Juga bagi merealisasikan sesuatu usaha pemerintah itu.
Dengan kegiatan sebegini yang agak khusus untuk keberadaannya, MPN sesungguhnya adalah penting untuk terus membekalkan perkhidmatannya yang profesional.
Di samping ini, MPN terus mengadvokasi dasar awam negara, secara gerakan kolektif yang terarah melalui sekretariatnya yang mangkus.
Oleh itu, ia yang ditubuhkan belasan tahun dahulu ke arah memenuhi matlamat awam itu hendaklah terus digembleng potensinya yang sangat banyak itu.
Ini harus dilakukan dengan mengekalkan status MPN yang sedia ada untuk selanjutnya aktif lagi tekun dalam merealisasi pelbagai prakarsa dan tiwikarma pemerintah.
Dengan sifat MPN yang amat istimewa itu, ia sepatutnya lantas wujud sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai keputusan tepat yang dibuat sebelum ini.
Ini kerana peranannya bukan lagi bersifat pendidikan semata-mata, waima yang tinggi.
Oleh itu, peranan sekali gusnya sebagai pemikir negara, intelek awam serta advokat awam tidak boleh lagi mengikat MPN sebagai badan pendidik kepada dunia akademik semata-mata dan selama-lamanya.
Pun begitu, ia perlu bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas dasar ahli akademik adalah tanggungan KPT.
Sebenarnya relevansi MPN jelas sekali. Oleh itu, ia harus terus wujud untuk membantu pemerintah dalam memangkin urus tadbir negara.
Ini dilakukannya dengan penggemblengan ahlinya melalui pangkalan data yang amat lengkap, yang ikut meliputi pakar pelbagai bidang dari beberapa negara lain.
Selanjutnya, MPN juga akan terus memastikan masyarakat umum selalu memperoleh segala pengetahuan dalam segenap bidang ilmu daripada ahlinya.
Ini dilakukan MPN menerusi semua kegiatan intelektualisme awam dan advokasi awamnya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










