Wajarkah koperasi peneroka melabur dalam pasaran saham?

Wajarkah koperasi peneroka melabur dalam pasaran saham?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2008, Akta Koperasi 502 membenarkan koperasi termasuk koperasi peneroka melabur dalam pasaran saham. Penyataan ini hanya satu baris, tetapi mampu menggoyahkan agensi raksasa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)  dan anak syarikatnya, FGV Holdings Berhad ke kancah kerugian setelah menyenaraikan saham FGV di Bursa pada Jun, 2012.

Felda mengambil masa 50 tahun untuk mencapai status agensi pekebun kecil paling gagah di dunia, namun hanya sehari penyenaraiaan anak syarikatnya di Bursa cukup memusnahkannya.

Tawaran Awal Awam (IPO) di Bursa, menghasilkan RM10.5 bilion tetapi keuntungan itu disalahguna sehingga membawa kerugian dan harga saham menurun.

Harga saham menurun secara sistematik daripada RM4.45 (2012) kepada RM1.24 hari ini 2024 (penurunan nilai sebanyak 72 peratus). Keuntungan Felda menurun sebanyak 590 peratus daripada antara RM2 bilion hingga RM5.8 bilion sebelum penyenaraian (2002-2012) kepada kerugian RM2 bilion hingga RM4.9 bilion pasca penyenaraian (2013-2017). Jumlah liabiliti meningkat daripada RM1.2 bilion (2017) kepada RM14.4 bilion (2017). Semantara peneroka juga turut menanggung rugi dengan kejatuhan ini kerana mengambil pinjaman dari Koperasi Permodalan Felda (KPF) untuk membeli saham ini.

Semua ini gara-gara polisi penswastaan pada 2011 melalui penyenaraian FGV di Bursa yang bertujuan menjadikannya entiti baharu dalam menguruskan ladang peneroka dan kegiatan hiliran. Untuk tujuan ini Felda menyerahkan pengurusan ladang komersial melalui Perjanjian Pajakan Tanah selama 99 tahun ke atas 350,773 hektar ladang dan semua entiti hiliran (termasuk kilang) kepada FGV. Felda akan dibayar hampir RM250 juta/tahun dan untung hasil ladang 15 peratus tahun. Namun FGV gagal melaksanakan sepenuhnya.

Faktor teknikal termasuk sentimen pasaran adalah pencatur utama yang menentukan harga. Michael Lewis dalam bukunya, The Big Short: Inside the Doomsday Machine (2010) merumuskan pasaran saham itu ibarat dunia haiwan liar dengan pemangsa seperti serigala sentiasa mencari peluang untuk membaham si lemah. Mengikutnya hanya yang kuat dan licik lagi pintar dapat bertahan.

Persoalannya, adakah wajar memperagakan nasib peneroka kecil yang kerdil yang hanya memiliki hanya 10 ekar tanah di persada Bursa?

Bukan setakat modal kecil, kemahiran mereka tidak mencukupi untuk bertarung dengan jaguh pelabur besar dan berpengalaman. Malahan FGV yang mewakili mereka turut tumpas dalam dalam pertarungan ini. Nyata memperjudikan nasib peneroka di pasaran saham adalah ibarat menyerahkan kambing kepada sang singa.

Fiasco ini menyerlahkan tiga citra utama:
– Penurunan harga saham adalah sistematik dipacu faktor struktur daninstitusi.
– Walaupun penswastaan bertujuan meningkatkan pendapatan peneroka, tetapi kedua-dua agensi menyalahgunakan keuntungan besar daripada penyenaraian sehingga menjejaskan kebajikan peneroka.
– Felda telah menyimpang dari asas kewujudannya.

Bukti hujah ini adalah seperti berikut:
– Tren harga kelapa sawit menurun berterusan menjejaskan nilai saham kerana kelapa sawit adalah komoditi entiti tersebut. Sepatutnya model unjuran canggih seperti ekonometrik dan teknikal boleh meramal kebarangkalian penurunan harga, tetapi tidak dibina. Kegagalan ini mengorbankan semua pelabur termasuk peneroka.
-Tidak seperti syarikat swasta, FGV perlu memenuhi tuntutan pemegang saham dan pihak berkepentingan khusus dan ini merumitkan pengurusan governansnya. Pemegang saham terdiri dari pelabur persendirian dan pihak berkepentingan termasuk ahli politik, Felda dan agensi awam. Oleh kerana syer peneroka hanya dua peratus bererti FGV memfokus kepada kepada kedua kategori pelanggan utamanya.

Pasca penyenaraian kedua-dua agensi melalui subsidiari diseliputi masalah governans berskala dan bernilai besar. Seperti yang dirumuskan oleh Ernst and Young, kedua-dua terlibat dengan pelbagai penyelewengan, korupsi dan pelaburan yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion. Dan pelaburan ini tiada kaitan langsung dengan kebajikan peneroka malah membawa padah hutang besar kepada peneroka apabila agensi berkenaan mengalami kerugian. Yang paling pahit, dana yang digunakan adalah dana awam.

Felda telah menyimpang daripada tujuan kewujudannya untuk memperkasakan peneroka melalui koperasi. Sebaliknya Felda berwawasan supaya peneroka dan koperasi beroperasi di bawah FGV yang kini telah bertukar arah dari anak syarikat kepada syarikat awam. Penurunan nilai saham berterusan membuktikan strategi ini diselaputi pelbagai masalah identiti, institusi dan struktur governans. Begitu juga sebagai sebuah syarikat, kewujudannya berkiblatkan pulangan kepada modal dan tidak pembangunan peneroka.

Fungsi pembangunan sosial tidak boleh diperagakan dalam pasaran saham kerana risko ketidaktentuan akan menghanguskan dana awam begitu saja. Pembangunan sosial melibatkan ruanglingkup yang lebih luas sepeti pembangunan kapasiti peneroka, kesejahteraan hidup, menyediakan laluan kepada generasi kedua dan ketiga, kelestarian sumber alam dan pembangunan yang seimbang.

Citra ini cukup membuktikan pasaran saham bukan tempat untuk memperkasakan peneroka. Walaupun jika FGV mendapat keuntungan besar, bukan sahaja peneroka akan menerima habuan yang kecil, tetapi untung yang tidak peroleh tidak mencukupi keperluan jangka masa panjang mereka terutama teknologi pengeluaran dan menangani perubahan cuaca dan ketidaktentuan.

SAHAM BUKAN UNTUK PENEROKA
Episod fiasco ini membuktikan bahawa pelaburan dalam saham bukan wahana atau platform yang wajar untuk peneroka. International Cooperative Alliance sendiri menyatakan bahawa fungsi koperasi adalah menjurus kepada kebajikan, kesejahteraan dan kemajuan ahli koperasi dan bukan melabur di pasaran saham.

KPF ditubuhkan dengan objektif yang murni iaitu untuk melabur bagi pihak peneroka. Rata-rata dalam dunia hanya beberapa koperasi sahaja yang melabur dalam bursa. Dan lazimnya pelaburan mereka menekankan kepada pelaburan beretika, kepentingan kepentingan komuniti dan bukan untuk memaksimumkan keuntungan. Begitu juga koperasi tidak beraspirasi untuk mendominasi pasaran saham tetapi untuk mencapai matlamat kewangan atau untuk faedah anggota.

Demi masa depan peneroka, pernah dicadangkan supaya Felda ‘kembali ke pangkal jalan’ meniti asas kewujudannya. Jika Felda berkembang melalui inovasi institusi (pelbagai subsidiari dan penyenaraian), maka Felda uga mampu kembali ke pangkal jalan dan memperkasakan fungsi asalnya.

Felda membina tapak asas melalui penubuhan koperasi peneroka. Ini permulaan yang bijak dan berwawasan. Jika memfokuskan kepada pemerkasasan koperasi ini mengikut landasan AMUL Cooperatives dan Fonterra, itu sudah memadai.

Felda tidak memerlukan subsidiari yang banyak dan sokongan dana besar dari kerajaan. AMUL tidak memiliki subsidiari tetapi pelbagai koperasi huluan dan hiliran yang dimiliki dan dipacu oleh anggota.

Jika laluan ini dipilih, ia tidak memerlukan dana besar-besaran tetapi pembangunan insan (peneroka) yang intensif daripada semua dimensi termasuk kemahiran, keusahawanan, pengetahuan, teknologi, aplikasi digital dan penerapan falsafah koperasi yang tulen serta jitu.-UTUSAN

PROFESOR Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad ialah Pemegang Kursi Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN