KONFLIK antara Palestin dan Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah genap satu tahun. Tidak ada tanda-tanda yang konflik dan peperangan ini akan berakhir dalam masa terdekat. Tindakan Israel yang dilakukan ke atas Palestin yang telah mengorbankan lebih 40,500 orang, terutamanya kanak-kanak, wanita dan orang tua adalah suatu yang tidak menyalahi peraturan pada mata kuasa-kuasa besar utama.
Bermula pada akhir September hingga awal Oktober 2024, konflik ini semakin melebar dengan serangan ke atas Hezbollah di Lubnan dan pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hasan Nasrallah. Akibat daripada perkembangan dan tindakan yang dilakukan oleh Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa besar pro-Israel, Iran telah melancarkan lebih 180 peluru berpandu menyerang Israel. Peluru berpandu yang digunakan pada 1 Oktober 2024 jauh lebih canggih berbanding dengan yang digunakan pada April lalu.
Apakah serangan Iran ke atas Israel pada 1 Oktober ini wajar? Apakah tindakan dan keputusan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat pro-Israel yang lain? Adakah tindakan serangan Iran pada 1 Oktober ini membawa kepada satu kestabilan dan menjadi penyelesaian pada konflik di antara Palestin-Israel yang telah lama berlaku? Apakah penyelesaian yang mungkin boleh berlaku dan dilakukan dalam jangka panjang bagi membina kestabilan di rantau Timur Tengah dan dunia?
Apakah serangan Iran ke atas Israel pada 1 Oktober ini wajar? Secara logiknya tindakan Iran ke atas pertahanan Israel adalah wajar dengan apa yang telah dilakukan oleh Israel ke atas Iran. Israel telah banyak kali melakukan provokasi dan tindakan kejam bagi mengheret Iran ke dalam kancah konflik secara langsung. Israel terlibat dalam pembunuhan Presiden Iran dan pembunuhan pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh. Paling terkini yang mempunyai kaitan langsung adalah pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hasan Nasrallah di Lubnan. Tindakan Iran dengan melancarkan lebih 180 peluru berpandu canggih ke atas pertahanan Israel adalah suatu yang wajar dengan apa yang berlaku dan apa yang telah dilakukan oleh Israel dan negara-negara Barat pro-Israel.
Kekuatan yang dimiliki Iran perlu digunakan dan ditunjukkan kepada Israel dan negara-negara Barat pro-Israel. Iran sebenarnya telah lama memajukan senjata nuklear dan peluru berpandu yang canggih, seawal berlakunya revolusi Islam Iran pada Februari 1979. Kerjasama Iran dengan Soviet Union/Russia dalam teknologi senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh dan sederhana telah lama bermula. Iran telah memiliki beratus pusat teknologi senjata nuklear bawah tanah yang sukar dikesan oleh radar kawalan perisikan kuasa besar AS. Kekuatan teknologi senjata dan peluru berpandu Iran ini sudah sampai masa dan sudah sesuai untuk digunakan. Kekuatan teknologi pertahanan yang dimiliki oleh Iran ada baiknya digunakan dalam suasana sekarang.
Apakah tindakan dan keputusan AS dan negara-negara Barat pro-Israel yang lain ke atas serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober ini? Negara-negara Barat yang pro-Israel seperti United Kingdom, Perancis dan Jerman mengecam tindakan serangan Iran ke atas Israel ini. Apatah lagi AS dengan cara terbuka memberi sokongan dan akan membantu Israel. Sekali sahaja tindakan Iran menyerang Israel telah dikecam oleh negara Barat pro-Israel. Berpuluh ribu rakyat Palestin dibunuh, bangunan dan harta benda dimusnahkan tidak pernah dikecam. Di manakah keadilan dan hak asasi manusia yang kononnya diperjuangkan oleh AS dan kuasa besar Barat? Butakah mata mereka dan tulikah telinga mereka dengan apa yang berlaku di Palestin? Majlis Keselamatan PBB sudah tidak lagi berfungsi bagi membina keselamatan dan kestabilan dunia.
Kuasa veto telah disalah gunakan demi “kepentingan berpihak” bukan lagi bagi keselamatan dunia serta matlamat utama penubuhan PBB. Matlamat dan prinsip penubuhan PBB seperti yang dinyatakan dalam Artikel 1 dan Artikel 2 Piagam PBB sudah jauh ditinggalkan. Artikel 2 (4) sudah lama mati dalam pemikiran kuasa besar utama. Chapter VI iaitu Artikel 33 hingga 38 Piagam PBB sudah tidak dijadikan asas dalam penyelesaian konflik. Begitu juga dengan apa yang terkandung dalam Chapter VII iaitu Artikel 39 hingga 51 juga telah lama diketepikan. Peraturan dan peruntukan dalam Piagam PBB itu hanya cantik pada kertas, tetapi jauh terpelanting daripada sudut amalannya. Apa yang dilakukan adalah demi “kepentingan berpihak” dan bukan kepada matlamat penubuhan dan prinsip asal yang digariskan oleh PBB.
Adakah tindakan serangan Iran pada 1 Oktober ini membawa kepada satu kestabilan dan menjadi penyelesaian kepada konflik di antara Palestin-Israel serta konflik Timur-Tengah yang telah lama berlaku? Tindakan serangan peluru berpandu Iran ini boleh membawa kepada satu penyelesaian dan membawa kestabilan jika semua pihak melihat daripada sudut positif. Ia juga boleh membawa kepada satu peperangan yang lebih besar daripada satu sudut lain. Kuasa besar utama memainkan peranan penting dalam hal ini. Jika serangan balas dilakukan ke atas Iran, akan memungkinkan kepada satu peperangan yang lebih besar.
Ia mungkin akan melibatkan kuasa-kuasa besar lain yang memihak kepada Iran, paling mungkin adalah Russia dan China. Negara-negara Islam lain juga mungkin akan terlibat. Jika semua kuasa besar telah terlibat dengan terbuka, konflik besar dunia akan berlaku. Ini sepatutnya dielakkan kerana jika ini berlaku kesan buruk yang berskala besar akan berlaku, ekonomi dan sosial seluruh dunia akan terbantut. Peperangan tidak akan membawa kemenangan kepada mana-mana pihak. Kedua-kedua pihak akan mendapat kesan buruk, sama ada pihak yang menang atau pihak yang kalah.
Apakah penyelesaian yang mungkin boleh berlaku dan dilakukan dalam jangka panjang bagi membina kestabilan di rantau Timur Tengah dan dunia amnya? Perspektif liberalisme yang meletakkan organisasi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa telah gagal membina keamanan dan kestabilan (dengan apa yang berlaku dalam konflik Palestin-Israel dan Timur Tengah). Undang-undang antarabangsa tidak membawa apa-apa makna tanpa peranan negara yang mempunyai kuasa melaksanakan undang-undang dan organisasi antarabangsa yang benar-benar berfungsi. Struktur PBB yang ada sekarang tidak mungkin boleh berubah.
Artikel 108 Piagam PBB telah menyekat sebarang perubahan pada struktur kuasa dan Majlis Keselamatan yang ada. Kestabilan kuasa (balance of power) antara dua pihak perlu wujud. Sekarang pihak Israel dan kuasa-kuasa besar yang pro-Israel mempunyai kuasa ketenteraan yang kuat, manakala pihak Palestin yang pro-Palestin relatifnya lemah. Tindakan yang dilakukan oleh Israel (selama satu tahun lebih sejak 7 Oktober 2023) tidak ada pembendungan oleh pihak yang menyokong Palestin.
Kekuatan (khususnya ketenteraan) pihak yang menyokong Palestin harus dibentuk. Negara-negara yang mempunyai kekuatan teknologi tentera dan pertahanan yang canggih dan maju seperti Iran perlu diperbanyakkan. Negara-negara Islam khususnya perlu memajukan teknologi tentera dan pertahanan (bukan semata untuk tujuan berperang) tetapi dalam membina kekuatan dan imbangan kestabilan kuasa. Apabila kestabilan dua pihak terbentuk, kestabilan akan lebih mungkin terbina. Pendekatan realisme lebih menepati realiti, kerana liberalisme berasaskan organisasi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa ternyata tidak benar-benar berkesan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Fellow Kanan, Institut Kajian Borneo, Universiti Malaysia Sabah.










