PEJUANG kawalan tembakau negara amat bersyukur apabila Akta Kawalan Produk Merokok Demi kesihatan Awam atau Akta 852 akhirnya dikuatkuasakan mulai 1 Oktober 2024.
Walaupun diakui sendiri Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni wujudnya pengaruh industri tembakau sehingga gugurnya Generasi Penamat daripada akta tersebut sebelum ini, sekurang-kurangnya kelompangan kawalan produk rokok elektronik atau vape kini dapat ditangani secara lebih komprehensif.
1 April 2023 terpahat dalam lipatan sejarah kawalan tembakau negara apabila nikotin dalam cecair dan gel rokok elektronik dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 tanpa wujudnya sebarang akta dan peraturan terlebih dahulu, demi duti eksais 40 sen yang dikenakan bagi setiap mililiter (ml) produk rokok elektronik bernikotin.
Hal ini jelas lebih menguntungkan industri vape yang sebenarnya indah khabar dari rupa.
Mereka menyatakan nilai industri vape adalah puluhan bilion ringgit dan akan menyumbang lebih RM2 bilion kepada kutipan cukai kerajaan.
Begitu juga dinyatakan sebahagian kutipan cukai nikotin akan disalurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan serta usaha pendidikan, pencegahan dan rawatan ketagihan nikotin.
Malang sekali, dilaporkan hanya RM58.55 juta dikutip sehingga 2024, tersasar jauh daripada yang digembar-gemburkan pemain industri vape. Bagaimana pula janji untuk memberi sebahagian daripada kutipan cukai tersebut kepada KKM? Itupun masih kabur kerana seluruh jumlah kutipan tersebut dimasukan ke dana yang disatukan.
Peruntukan lebih tinggi amat diperlukan KKM untuk menguatkuasakan Akta 852 selain daripada meningkatkan pendidikan dan kesedaran rakyat betapa perlunya kedua-dua epidemik tembakau dan vape ditangani dengan lebih tuntas.
Walaupun peratus perokok konvensional berumur sekurang-kurangnya 15 tahun dilaporkan menurun sedikit daripada 21.3 peratus pada 2019 kepada 19 peratus pada 2023, namun bilangan mereka masih kekal sekitar 4.8 juta orang. Lebih menakutkan adalah data penghisap rokok elektronik. Peratus dan bilangan mereka naik mencanak daripada 3.2 peratus pada 2016 kepada 4.9 peratus (2019), selaras dengan bilangan 600,000 kepada 1.1 juta orang.
Data terkini mendapati peratus tersebut terus meningkat kepada 5.8 peratus pada 2023 menjadikan seramai 1.4 juta penagih nikotin melalui rokok elektronik. Sepertimana kutipan cukai rokok konvensional yang tidak cukup untuk menanggung kos rawatan pelbagai penyakit yang diakibatkannya, hal sama dilihat berlaku dengan rokok elektronik. Pelbagai masalah kesihatan serius selain daripada penyakit pernafasan, terkini risiko penyakit jantung dan kanser.
Malangnya, timbul pula pejuang rokok elektronik di Malaysia bertopengkan konsep pengurangan kemudaratan yang mahu rokok elektronik diindikasikan KKM untuk merawat perokok konvensional. Saranan ini berdasarkan pelbagai kajian yang mendapati perokok konvensional berjaya berhenti dengan menggunakan rokok elektronik.
Namun, perkara penting yang sering tidak dinyatakan dengan jelas adalah majoriti perokok konvensional yang beralih kepada rokok elektronik kekal menghisap vape sedangkan mereka yang dirawat dengan ubat berhenti merokok tidak lagi menggunakan sebarang bentuk nikotin selepas tempoh rawatan sekitar tiga bulan.
Hal ini berkait rapat dengan mekanisme ketagihan nikotin yang dihantar ke otak jauh lebih cepat dan dalam kuantiti yang tinggi melalui rokok elektronik dan konvensional, berbanding produk terapi gantian nikotin yang diluluskan KKM. Sayugia diingatkan rokok konvensional dan rokok elektronik adalah haram berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam pada 1995 dan 2015.
Amat pelik apabila produk haram mahu digunakan untuk rawatan berhenti merokok sedangkan ubat yang berkualiti, selamat lagi berkesan sedia wujud. Alasan kekurangan dana untuk membekalkan rawatan percuma kepada perokok boleh ditangani dengan meningkatkan duti eksais produk tembakau, terutamanya rokok konvensional yang masih rendah (46 peratus) dan tidak mengalami kenaikan cukai melalui belanjawan negara selepas 2015.
Tambahan pula, selaku ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebabkan kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab mengawal tembakau dengan meningkatkan harga rokok melalui kaedah pencukaian.
Hal sama perlu dikenakan kepada rokok elektronik jika sasaran menurunkan prevalen perokok kepada 15 peratus pada 2025 dan seterusnya kurang daripada 5 peratus menjelang 2045 ingin dicapai.
MENANGGUK DI AIR KERUH
Industi rokok sering menggunakan alasan lambakan rokok seludup untuk menggesa kerajaan mengekalkan harga rokok, tetapi dalam masa sama mereka pula menaikkan harga beberapa kali semenjak 2015. Ini jelas menunjukkan masalah rokok seludup bukan sekadar faktor harga kerana pihak berwajib seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu menjaga ketirisan sempadan daripada kemasukan rokok seludup terutamanya daripada negara jiran.
Selain daripada kawalan harga, strategi kawalan tembakau lain yang terbukti berkesan mengurangkan bilangan perokok adalah peluasan kawasan bebas rokok.
Akta 852 memasukkan premis tambahan larangan menghisap rokok dan vape, termasuk kedai dobi. Hal ini penting untuk melindungi bukan perokok daripada terdedah kepada asap mahupun wap yang berbahaya, terutamanya kepada wanita dan kanak-kanak. Namun diharapkan tempat-tempat merokok termasuk di lapangan terbang akan dilenyapkan terus dalam masa terdekat.
Kebelakangan ini pihak industri vape menggunakan peluang menaja pelbagai aktiviti sukan, hiburan mahupun ekspo disebabkan tiadanya peraturan. Pastinya mereka akan terus mencuba menangguk di air keruh termasuk berselindung di sebalik aktiviti sosial korporat (CSR) yang sebenarnya hanya untuk mempromosi produk mereka kepada golongan sasaran utama iaitu kanak-kanak dan remaja.
Malaysia sepatutnya telah lama melaksanakan perkara ini kerana menjadi tempat terakhir produk rokok dipamerkan dan digunakan industri sebagai satu bentuk pengiklanan terbuka kepada semua, termasuk kanak-kanak.
Lebih 50 buah negara melaksanakan larangan pameran ini, termasuk negara jiran kita seperti Singapura dan Thailand. Suara-suara sumbang yang menentang seperti persatuan kedai makan sebenarnya menjadi jurucakap industri kerana punca pendapatan utama perniagaan makanan bukan daripada penjualan rokok.
Amat menyedihkan jika pemilik dan pengusaha kedai makan beragama Islam masih mahu menjual produk tembakau. Premis mereka sepatutnya tidak layak mendapat sijil perakuan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) apabila turut menjual rokok atau vape.
Selain langkah ini, diharapkan agar kaedah pembungkusan piawai produk tembakau akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Sehubungan dengan ini, amaran kesihatan bergambar yang baharu perlu dikemaskini sekerap mungkin dan selewat-lewatnya setiap dua tahun sekali.
Diharapkan dengan penguatkuasaan efektif Akta 852 tanpa pengaruh dan campur tangan industri tembakau mahupun vape, Malaysia bakal mencapai sasaran negara bebas tembakau menjelang 2045.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed ialah Profesor Amalan Farmasi, Kuliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.










