SETELAH seminggu menunggu, akhirnya kelmarin barulah Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kenyataan menolak memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.
Kenyataan ini mengecewakan sekali. Ia seolah-olah direka bagi menghalalkan penolakan ini dengan alasan-alasan kabur sedangkan komplen yang dibuat sebelum ini berkisar kepada isu-isu lain.
Alasan seperti beberapa syarat boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera adalah langsung tidak masuk akal. Semua kandungan MoU ini akan dibentang kepada rakyat, tidak logik kerajaan perpaduan mengemukakannya.
Begitu juga dengan alasan kononnya ia bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama yang terlalu kabur kerana tiada perincian.
Ia juga didakwa boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen yang juga tidak dihuraikan.
Sebenarnya tiada sebab untuk PN menolak MoU. PN sepatutnya berhenti berpolitik dan berunding secara berhemah tanpa perlu berdolak-dalik demi kepentingan rakyat. Jika ada perkara yang tidak puas hati mereka perlu berunding.
Penolakan terbuka ini membuktikan PN tidak ikhlas untuk menjaga kepentingan rakyat, kerana jika tidak mereka pasti akan meneruskan rundingan. Sebaliknya mereka mahu menggunakannya sebagai isu politik semata.
Syarat sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen ke-15 tidak sepatutnya menjadi isu kepada PN kerana Pakatan Harapan (PH) dalam MoU 2021 dulu pun dikehendaki memberi sokongan kepada kerajaan sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan. Begitu juga dengan keperluan untuk Ahli Parlimen mengisytiharkan harta, yang tidak sepatutnya menjadi masalah melainkan jika ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh PN.
Kedua-dua perkara asas yang mereka komplen ini sebaliknya tidak disentuh oleh Hamzah, menunjukkan kenyataan medianya hanya mahu menutup isu sebenar.
Pihak yang tidak bersetuju dengan MoU tidak mengambil kira realiti politik dan pentadbiran kedua-dua kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai dinamik dan konteks yang sangat berbeza.
Pertama ialah dari sudut perbezaan struktur dan keperluan sokongan antara kerajaan perpaduan dan kerajaan Keluarga Malaysia. Kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Ismail Sabri adalah sebuah kerajaan berkelebihan beberapa kerusi yang tidak stabil, dan bergantung kepada sokongan Ahli-Ahli Parlimen PH untuk kekal berkuasa.
Ini menyebabkan Ismail Sabri perlu berbuat apa sahaja untuk memastikan beliau memperolehi sokongan dari blok pembangkang ketika itu. Oleh itu, pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen PH oleh kerajaan Ismail Sabri bukanlah suatu pilihan atau diasaskan kepada idealisme tetapi adalah satu keperluan untuk memastikan kelangsungan kerajaannya.
Sebaliknya, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar adalah sebuah kerajaan yang stabil dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Parlimen di Parlimen. Ini bermakna kerajaan perpaduan tidak memerlukan sokongan Ahli Parlimen PN.
Sebaliknya, Ahli Parlimen PN yang memerlukan kerjasama dan bantuan daripada kerajaan perpaduan untuk terus relevan dan berfungsi dengan efektif. Dalam erti kata lain, kini Ahli Parlimen PN yang bergantung harap kepada kerajaan perpaduan. Oleh itu mereka sepatutnya akur sahaja kepada cadangan obligasi kedua-dua pihak untuk kebaikan semua.
Keduanya, kerajaan Anwar bukan sekadar PH dan memerlukan konsensus gabungan politik kerana ia adalah gabungan beberapa pakatan politik termasuk PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Oleh itu, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan perpaduan tidak boleh hanya berlandaskan kepada Manifesto PRU15 PH semata-mata. Sebarang pelaksanaan manifesto mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan memerlukan konsensus semua pihak dalam gabungan ini.
Manifesto PH juga bukanlah satu-satunya dokumen yang mengikat kerajaan perpaduan kerana dasar-dasar perlu diselaraskan dengan pandangan dan keperluan setiap komponen gabungan. Oleh itu, mengaitkan MoU peruntukan pembangkang dengan Manifesto PRU15 PH adalah sesuatu yang tidak betul.
PN sendiri dalam manifestonya semasa PRU 15 dan semasa PRN lalu banyak membuat janji manis tetapi banyak yang tidak dilaksanakan khususnya di negeri-negerinya. Waktu PN menguasai Kerajaan Persekutuan antara tahun 2020 ke tahun 2021 pun tidak ada reformasi yang dibuat.
Sudah diputuskan dalam satu kes mahkamah bahawa perlaksanaan Manifesto PRU adalah tidak wajib. Pada tahun 2013, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sesuatu manifesto PRU bukan sebuah dokumen yang mengikat di sisi undang-undang.
Dalam kes ini, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto PRU 12 Pakatan Rakyat.
Oleh itu, mengkritik kerajaan perpaduan atas alasan tidak menunaikan janji Manifesto PRU15 PH tanpa mempertimbangkan konteks gabungan kerajaan perpaduan serta sifat Manifesto PRU yang tidak mengikat di sisi undang-undang adalah sesuatu yang tidak adil.
Dalam kerajaan perpaduan, keputusan penting dibuat melalui konsensus rasmi yang tercapai antara wakil tertinggi parti-parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan, bukan melalui pendapat individu Ahli Parlimen.
Kritikan terhadap syarat-syarat untuk peruntukan kepada Ahli Parlimen PN menunjukkan kekurangan pemahaman terhadap keperluan dasar kerajaan untuk mengutamakan stabiliti dan kelangsungan.
Kerajaan perpaduan perlu memastikan bahawa peruntukan yang disalurkan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan dijadikan alat politik oleh pihak pembangkang untuk meraih sokongan atau menentang kerajaan. Keutamaan ini selari dengan usaha kerajaan untuk membina negara yang lebih stabil dan sejahtera.
Kritikan yang menyatakan bahawa kerajaan perpaduan menyongsang Manifesto PH adalah tidak berasas dan tidak mengambil kira realiti politik semasa. Kerajaan perlu dilihat sebagai entiti yang bekerja untuk keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak satu kumpulan politik sahaja.
Pengumuman Hamzah ini membuktikan PN sekadar mahu berpolitik dengan isu MoU. Apa pun, kerajaan perpaduan telah memberi tawaran tetapi PN menolaknya. Pengundi yang tidak mendapat peruntukan perlu marahkan PN bukan kerajaan perpaduan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










