Adakah kita sedar bahawa Malaysia kini telah menjadi salah satu negara tua di dunia? Perkara ini bermula pada tahun 2021 apabila populasi warga emas mencapai tujuh peratus dan meningkat kepada 7.4 peratus pada 2023.
Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

PBB telah mendefinisikan warga emas sebagai mereka yang berusia melebihi 60 tahun di dalam Persidangan Dunia mengenai warga tua di Vienna pada 1982.
Kelompok warga emas terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat tua muda, iaitu mereka yang berumur antara 60 hingga 74 tahun, peringkat pertengahan tua, yang berumur antara 75 hingga 84 tahun dan peringkat ketiga adalah tua-tua, yang terdiri daripada mereka yang berusia 85 tahun ke atas.
Secara amnya, ciri-ciri fizikal warga emas ini dapat diperhatikan secara jelas dengan rambut beruban, badan yang membongkok, kulit berkedut, dan gigi yang tidak lengkap atau memakai gigi palsu. Perubahan fisiologi tubuh warga emas mengakibatkan pergerakan mereka menjadi perlahan, penglihatan semakin rabun dan membawa kepada kemerosotan kesihatan.

PUSAT Pengajian Kejururawatan UiTM menjalankan program mendekati masyarakat warga emas.Peningkatan jumlah warga emas menunjukkan jangka hayat penduduk yang semakin panjang, hasil daripada sistem kesihatan negara yang baik. Ini merangkumi peningkatan kemudahan rawatan perubatan, kesedaran tentang penjagaan pemakanan dan kesihatan, kaedah rawatan yang semakin canggih, serta kemajuan teknologi perubatan.
Namun, peningkatan kerentanan ini membawa implikasi besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhan, terutama bagi warga emas. Dalam menghadapi cabaran teknologi yang semakin pesat, golongan warga emas memerlukan bantuan dan bimbingan yang lebih daripada sekadar kewangan.
Penjagaan yang menyeluruh, termasuk aspek fizikal, kesihatan emosi, dan psikologi, perlu diberi perhatian yang lebih mendalam. Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (2023) mendapati bahawa penyakit kencing manis atau diabetes meningkat mengikut usia dan 15.6% atau 1 daripada 6 dewasa di Malaysia menghidap kencing manis, namun ramai tidak sedar mereka menghidapnya.
Sebagai respons kepada situasi ini, Pusat Pengajian Kejururawatan, UiTM Kampus Puncak Alam telah mengambil pendekatan menyeluruh dengan menganjurkan program berimpak tinggi yang melibatkan tiga komuniti warga emas di pelbagai lokasi sekitar Selangor.
Program ini melibatkan komuniti Felda Bukit Cerakah, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Telok Menegun, Klang, dan penghuni Bait Al-Mawaddah, Jalan Kebun. Berteraskan tema We Care, We
Share, program ini boleh menjadi satu titik tolak kepada peningkatan kualiti hidup kelompok yang disasarkan.
Program ini diperkaya dengan perkongsian kepakaran mengenai kesihatan, keselamatan, dan penjagaan diri melalui penyebaran maklumat secara terus melalui sesi ceramah. Sedar akan keperluan dan kepentingan warga emas, pemeriksaan kesihatan proaktif dijalankan melalui saringan kesihatan bagi mengesan isu-isu lebih awal, memudahkan intervensi tepat pada masanya, serta mempromosikan aktiviti fizikal dan kesejahteraan mental.
Di samping itu, langkah-langkah mewujudkan persekitaran yang selamat dan pencegahan jatuh dalam kalangan warga emas juga didedahkan kepada individu dan institusi penjagaan yang terlibat.
Program ini juga menyokong penduduk warga emas untuk meningkatkan kualiti hidup mereka melalui penjagaan dan sokongan yang penuh perhatian serta mempromosikan semangat komuniti inklusif dengan menggalakkan rasa kesatuan dan kehidupan bermasyarakat dalam komuniti, merangkumi semua kaum, agama, dan kepercayaan.
Kegembiraan yang jelas terpancar di wajah mereka yang terlibat dalam program ini menggambarkan betapa mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang.
Perubahan akibat penuaan boleh membawa kepada kerapuhan fizikal dan mental golongan warga emas. Perasaan lemah, serba kekurangan dan kebergantungan kepada orang lain boleh menyebabkan mereka menyisihkan diri kerana ‘air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam’.
Apa yang membimbangkan ialah ini akhirnya boleh membawa kepada permasalahan yang lebih kronik. Dengan usia yang masih tersisa, kehidupan yang lebih berkualiti dalam golongan warga emas masih mampu dicapai dengan amalan kesihatan yang baik, perhatian, keprihatinan dan kasih sayang daripada orang sekeliling.
Setiap manusia bakal melalui proses penuaan yang tidak dapat disangkalkan. Maka, sebagai ahli masyarakat, kita seharusnya memainkan peranan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup warga emas. Bukan beban dan bukan juga punca masalah dalam keluarga, namun mereka hanya memerlukan perhatian dan penjagaan yang sewajarnya.
Justeru, melibatkan diri dalam aktiviti komuniti seumpama We Share, We Care”ini mampu memupuk kesedaran dan menjadi wadah usaha menyantuni golongan warga emas. Sumbangan yang kita zahirkan pada hari ini mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, dan masyarakat. – UTUSAN










