Sungguh mahal harga kibaran Jalur Gemilang

Sungguh mahal harga kibaran Jalur Gemilang

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ISTANA dan raja Melayu di rantau ini mempunyai ikatan sejarah yang istimewa dengan dunia persuratan dan penulisan. Dalam tradisi penulisan pada era keagungan kerajaan di Kepulauan Melayu, para pujangga berdamping rapat dengan raja. Pada umumnya istana menjadi fokus pengarang yang mengisahkan hikayat pemerintahan raja-raja dan biasanya dihasilkan atas titah raja.”- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Titah Pelancaran buku His Royal Highness Sultan Nazrin Shah: Reflections and Recollections.

Program bersiri #TagupiMembaca akan sekali lagi ke Lahad Datu, Sabah pada 9 hingga 13 September ini. Tanpa sedar sudah masuk siri kelima pun. Hasrat utama delegasi kami hanya satu iaitu mendirikan bangsa yang berilmu melalui tabiat membaca.

Kami yakin, dengan suntikan intelektualisme kepada mereka di sana, masa depan negara akan lebih harmoni. Ini kerana keakraban mereka dengan dunia persuratan dan penulisan sebetulnya mengisyaratkan budaya rapat antara rakyat dan raja di negara ini.

Sejak kali pertama dianjurkan pada 2018 hingga kini, tidak kurang daripada satu tan bahan bacaan, rujukan dan alatan pembelajaran lain diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Lahad Datu.

Setiap kali kami melawat perpustakaan komuniti yang bertapak di Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Kampung Tagupi Laut, deretan buku-buku sumbangan awam penuh tersusun untuk dimanfaatkan komuniti orang tidak bernegara di sana.

Sebagai komuniti rentan yang jauh terpinggir, buku merupakan jalan keluar yang malar dalam menyajikan mereka peluang menyingkap dan menatap pemandangan dunia luar. Maka, saban tahun kami bertanya tentang buku-buku yang telah habis mereka baca. Jika tahun-tahun lalu mereka meminta dibekalkan dengan buku keagamaan, menarik sekali bagaimana tahun ini mereka meminta pula buku mengenai pengurusan kewangan dan permulaan perniagaan.

Jelas sekali membuktikan komuniti rentan mampu berdiri secara bebas dan teguh membela nasib bangsa mereka tanpa perlu menagih simpati orang luar untuk menyantuni mereka. Apa yang diperlukan lebih daripada belas ihsan, iaitu keyakinan bahawa mereka juga mempunyai daya saing yang jitu.

Dalam program ini, kami juga sering selitkan nilai patriotisme dan nasionalisme agar anak-anak kecil di sana tahu nilai bumi berdaulat yang menaungi mereka. Malah, setiap tahun tarikh penganjuran program #TagupiMembaca akan dipilih dalam tempoh menyambut Hari Kemerdekaan dan meraikan Hari Malaysia.

Hakikatnya, berjumpa dan melihat sendiri keghairahan mereka melaungkan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sambil menaikkan Jalur Gemilang, menginsafkan kami, para aktivis yang menjadi ahli delegasi #TagupiMembaca.

JALUR GEMILANG
Kebetulan tahun ini filem Takluk: Lahad Datu ditayangkan sebelum kami berangkat ke bumi Lahad Datu. Saya berkesempatan menonton di pawagam dan merasai peringatan mesra yang disampaikan dalam filem ini.

Sebagai orang luar industri perfileman, saya tidak mampu membahaskan kecantikan filem ini secara teknikal. Namun sebagai seorang warga negara Malaysia, filem ini banyak mengingatkan saya tentang harga mahal yang dibayar negara untuk terus merdeka dan bersatu sehingga ke hari ini.

Bahkan, keluar daripada pawagam, perkara pertama yang saya lakukan adalah membeli beberapa helai Jalur Gemilang untuk dikibarkan sepanjang bulan Ogos dan September ini. Jika tahun-tahun lalu Jalur Gemilang hanya menjadi simbol kasih dan sayang rakyat Malaysia kepada bumi yang menjadi kediaman keluarga kita bergenerasi lamanya, tahun ini Jalur Gemilang juga menjadi isyarat kesetiaan dan kesanggupan rakyat negara ini menumpahkan bakti dan darah demi kedaulatan Malaysia.

Sebagai panji yang menaungi rakyat, Jalur Gemilang tidak ternilai. Jika hendak diletakkan harga pada setiap kibaran bendera negara, kita perlu ambil kira bagaimana ribuan nyawa telahpun ditaruhkan agar negara ini mampu kekal berdaulat dengan kuasa autonomi yang tersendiri.

Sememangnya setiap kali angin menemani kibaran Jalur Gemilang, kita harus menginsafi harga mahal yang telah dibayar prajurit negara.

Juga harus diinsafi bagaimana keberanian rakyat Malaysia kekal ulung di mata dunia. Baik dalam hal bantuan ketenteraan mahupun dalam hal sokongan tidak berbelah bagi kepada negara luar yang lebih memerlukan.

Ambil saja contoh melalui boikot rakyat Malaysia terhadap barangan yang menyokong gerakan Israel. Bukan saja kita lantang di media sosial, malah kita bersatu hati merealisasikan boikot ini melalui kuasa ekonomi juga.

Alangkah baiknya kesatuan hati ini kekal dirasai di dalam seluruh kewilayahan Malaysia, di mana setiap warga yang mendiami negara ini tidak dipecahkan melalui sentimen bahasa, agama mahupun bangsa. Dengan kesatuan hati yang jitu, mustahil dakyah luar mampu menyusup ke dalam negara dan memporak-perandakan keharmonian yang kita nikmati bersama.

Untuk tahun ini, hasrat besar ahli delegasi #TagupiMembaca bukan hanya menyampaikan buku-buku buat titipan untuk saudara senegara kami di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah tetapi lebih besar daripada itu, kami berdoa agar mereka di sana dipayungi panji Jalur Gemilang yang sama meskipun kerakyatan mereka masih belum diiktiraf negara.

Semoga harga mahal ini terlangsai dengan sumpah setia mereka.-UTUSAN

PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca, program amal yang menyalurkan bahan pembelajaran untuk komuniti tidak bernegara (stateless) di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN