SANGAT mengejutkan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sedang bermalam bersama sepupu di rumah neneknya semasa cuti sekolah, diminta bapa saudaranya untuk melakukan tindakan seksual ke atasnya. Sebenarnya, ibu kanak-kanak tersebut mengesyaki bahawa lelaki tersebut mula merangsang anak perempuannya dengan melakukan sentuhan fizikal, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.
Bulan ini sahaja, seorang lelaki yang menganggur didakwa dengan 15 kesalahan melibatkan serangan seksual terhadap seorang gadis berusia enam tahun, serta memiliki barang-barang pornografi. Dalam pada itu, seorang pemandu bas pula didakwa kerana memuat naik video kanak-kanak sekolah, mencium pipi seorang gadis berumur empat tahun dan secara berulang kali memerhatikan seorang gadis berumur sembilan tahun untuk tujuan seksual, manakala seorang guru ditahan reman dalam kes serangan seksual fizikal ke atas seorang pelajar lelaki berumur 12 tahun. Tindakan ini akan menjadi tanda amaran sebagai kes pedofilia.
Penyalahgunaan seksual terhadap kanak-kanak adalah aktiviti berunsur seksual terhadap oleh orang dewasa dan merupakan masalah kesihatan yang paling umum dihadapi oleh kanak-kanak dengan pelbagai akibat yang sangat serius.
Dalam enam bulan pertama 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 1,348 kes penderaan seksual melibatkan kanak-kanak dengan perincian, 641 kes rogol, rogol berkumpulan (47), sumbang mahram (127), seks luar tabii (95) dan gangguan seksual (438).
Seterusnya dalam tempoh dari 2018 hingga 27 November 2023, daripada 6,540 kes di bawah enam kategori kesalahan dalam Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sebanyak 91 peratus atau 5,965 kes melibatkan serangan seksual fizikal ke atas kanak-kanak.
Selain itu, laporan terkini menyatakan bahawa 2,272 kes jenayah seksual kanak-kanak direkodkan dari 2020 hingga April 2024. Kajian menunjukkan bahawa pesalah penderaan kanak-kanak dan pedofilia mempunyai kadar jenayah berulang yang tinggi dan pelaku akan mengulangi kesalahan yang serupa walaupun selepas mendapat rawatan atau menjalani hukuman penjara.
Penyalahgunaan seksual kanak-kanak, pedofilia dan pemangsa kanak-kanak boleh bermula tanpa disedari oleh orang ramai kerana ia boleh menjadi tindakan kecil dalam kehidupan seharian. Pesalah pedofilia datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi apabila menunjukkan ciri-ciri yang serupa. Seorang pedofilia lebih suka melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak. Mereka juga mempunyai rasa yang tidak normal, keinginan yang tidak wajar dan tarikan untuk hubungan seksual semata-mata untuk mencapai keseronokan dengan kanak-kanak.
Pedofilia bukanlah jenayah seksual yang baharu. Apa yang baharu adalah perhatian dalam kalangan orang awam di Malaysia, terutamanya selepas kes Richard Huckle yang menyamar sebagai seorang Misionari Kristian dan jurugambar bebas.
Sementara itu, seorang groomer adalah individu yang membina hubungan, kepercayaan dan ikatan emosi dengan seorang kanak-kanak atau remaja supaya mereka dapat memanipulasi, mengeksploitasi dan menyalahgunakan mereka. Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, seorang pemangsa boleh mempersiapkan seorang kanak-kanak untuk seks dalam hanya satu jam.
Kriminologi mendapati bahawa 40 peratus risiko jenayah seksual disebabkan oleh faktor genetik (nature) dan dua peratus risiko lagi dikaitkan dengan faktor persekitaran (nurture) yang dikongsi antara adik-beradik, seperti sikap ibu bapa, kejiranan dan pendidikan.
Pakar juga percaya bahawa tiada penawar kekal untuk pesalah seksual kanak-kanak, terutamanya pedofilia. Ada yang mendakwa rawatan terapi boleh berkesan tetapi ia adalah satu cabaran. Memandangkan pesalah pedofilia adalah bertingkah laku antisosial dan tidak mempunyai rasa empati serta tanggungjawab moral terhadap mangsa, maka gangguan ini kronik dan boleh terjadi sepanjang hayat.
PERLU ADA RASA WAS-WAS
Pencegahan jenayah seharusnya menjadi keutamaan bagi polis, tetapi itu tidak seharusnya menjadi tanggungjawab mereka sahaja. Ibu bapa dan penjaga mesti mengawasi anak-anak dengan baik dan memantau aktiviti dalam talian mereka.
Mereka juga mesti menghilangkan budaya malu berkaitan dengan perbincangan mengenai pendidikan seksual dengan menyerapkan empati yang lebih mengenai kesalahan seksual dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka mengenal pasti bahagian-bahagian tertentu di tubuh badan untuk membezakan sentuhan yang selamat supaya anak-anak dapat menyedari apa yang boleh diterima dan sebaliknya.
Kajian menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak lebih rapat dengan ibu. Mereka sangat terdedah kepada penyalahgunaan seksual kerana kelemahan dan kepercayaan terhadap orang lain.
Mereka wajar memberi perhatian dan bertindak balas apabila mana-mana orang dewasa kelihatan terlalu fokus untuk berkawan dengan seorang kanak-kanak. Secara berkala melakukan pemeriksaan mengejut di pusat-pusat jagaan kanak-kanak dan pengasuh serta tidak membenarkan kanak-kanak pergi bercuti seorang diri atau bermalam dengan sesiapa juga selain daripada mereka yang terbukti boleh dipercayai dan boleh diharapkan.
Justeru itu, jangan sekali-kali menganggap bahawa seseorang itu boleh dipercayai hanya kerana kedudukan, status, gelaran mereka atau kerana mereka bekerja di tempat kanak-kanak biasanya berkumpul. Ibu bapa dan kaunselor penyalahgunaan kanak-kanak perlu memberikan sokongan dan maklumat yang diperlukan kepada kanak-kanak yang disalahgunakan secara seksual untuk sembuh dan pulih.
Selain itu, pakar menyatakan ibu bapa kanak-kanak teraniaya mungkin mengalami masalah mental, yang meningkatkan risiko kecacatan mental dalam kalangan generasi akan datang.
Pada Julai lalu, Internet Watch Foundation dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenal pasti ancaman yang signifikan dan semakin meningkat, apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) dieksploitasi untuk menghasilkan bahan penyalahgunaan seksual kanak-kanak di laman web gelap. Pesalah boleh menggunakan AI untuk mengambil gambar seorang kanak-kanak dan menjadikannya kelihatan seolah-olah kanak-kanak itu berbogel atau terlibat dalam tindakan seksual atau pemangsa dalam talian.
Selain daripada campur tangan ibu bapa, penjaga dan pakar, memerangi penderaan seksual kanak-kanak, terutamanya di laman web gelap memerlukan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk lebih proaktif dan sentiasa bersedia.
Ia menuntut agensi penguatkuasaan undang-undang, pakar keselamatan siber dan sumber teknikal digabungkan dengan pendekatan inovatif untuk meningkatkan teknologi yang boleh digunakan dengan selamat serta mencegah serangan kompleks yang berkaitan dengan penderaan seksual kanak-kanak mahupun eksploitasi dalam talian.
Oleh itu, keadaan hanya akan menjadi lebih teruk jika kita tidak bertindak atau melakukan sesuatu. – UTUSAN
DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Pengarah dan Pemegang Kerusi Profesor, Institut Jenayah dan Kriminologi, Universiti HELP.










