MUKADIMAH
SEPERTI biasa, MOHD. SHUKRI RAMLI kelihatan tenang dan bersikap rendah diri menyambut kedatangan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD bersama jurugambar, IZLIZAN OTHMAN untuk satu sesi temu bual di pejabatnya, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis baru-baru ini.
Pelbagai cabaran dan dugaan ditempuhi Mohd. Shukri termasuk berdepan serangan dari dalam dan luar terhadap pentadbirannya yang berusia hampir dua tahun di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Malah, kebelakangan ini juga bertebaran desas-desus kononnya beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Bagi memperincikan perkara itu, beliau secara terbuka menjawab satu demi satu persoalan diajukan termasuk berhubung soal pentadbiran kerajaan negeri.
CABARAN, DUGAAN, PENGALAMAN MANIS DAN PAHIT
Sebagai kerajaan dalam negara Malaysia ini, memang cabaran cukup tinggi dan kita bersedia sebenarnya. Malaysia ini politik 24 jam, tidak pernah berhenti. Jadi, apa pun cabaran itu, kita boleh serap. Insya-Allah kita akan terus maju ke depan tanpa perlu patah balik ke belakang. Kita boleh melalui semua ini sebab kita buat kerja berpasukan bersama semua wakil rakyat dan kakitangan kerajaan yang kita rasa bagi komitmen tinggi selain daripada ahli-ahli parti itu sendiri.
Cabaran pertama saya rasa Perlis sudah lama dengan pentadbiran UMNO-Barisan Nasional (BN) dan mungkin budaya yang diserapkan oleh pemerintahan terdahulu, kalau kita mahu buat perubahan ia perlukan masa. Ini rakyat harus faham tentang kaedah yang kita buat mungkin tidak sama dengan dulu. Ini juga mungkin buat rakyat tidak serasi dan menjadi cabaran untuk sesuaikan cara baharu. Yang lain itu, saya ingat biasa-biasa sahajalah.
PRESTASI DALAM MASA HAMPIR DUA TAHUN
Mungkin untuk nampak dengan jelas itu tidak boleh sangat sebab kita punya dasar sekarang hendak cuba laksana syariat dan sudah buat beberapa perkara dan itu yang dapat dilihat. Kemudian daripada segi pelaburan-pelaburan yang masuk pun kita mahukan mesti ada bersama anak syarikat kerajaan negeri. Yang ini, mungkin mengambil masa sedikit untuk dilihat oleh rakyat.
Kerajaan negeri kalau boleh ingin ambil keuntungan daripada hasil pelaburan yang masuk dan kita mahu ambil semaksimum yang boleh. Pelaburan yang masuk itu juga tidak mengalami kerugian dan kita juga mendapat pendapatan tinggi. Itu yang kita cuba buat sekarang. Contohnya kuari dolomite, ia mesti bersama-sama anak syarikat kerajaan negeri sebab kita mahu pastikan bukan hanya dapat premium tanah sahaja tetapi menerusi hasil daripada dolomite itu sendiri yang diperoleh melalui anak syarikat kerajaan negeri.
DITEKAN DARI DALAM DAN LUAR SEPANJANG MENJADI MENTERI BESAR
Orang yang terlibat dengan politik perlu memahami suasana macam ini. Politik Malaysia ini sepanjang masa, sepanjang tahun. Dan suasana ini dengan berdasarkan pengalaman sebagai wakil rakyat, ia beri sedikit kelebihan pada saya untuk serap semua tekanan. Dan kita harap semua pihak dapat bersama-sama bangun dan majukan negeri ini, kurangkan berpolitik supaya dapat tingkatkan prestasi negeri dan prestasi rakyat keseluruhannya. Itu seruan saya.
TERDETIK UNTUK MENGALAH DAN LETAK JAWATAN
Saya duduk dalam parti, apa-apa pun saya rujuk pada parti. Kalau sekiranya parti berkehendakkan saya turun daripada jawatan ini, saya akan turun. Itu benda biasa. Saya tidak terlampau terikat dengan jawatan ini. Apabila diberi amanah, saya akan buat sebaiknya dan jika diminta untuk turun, saya akan turun. Saya ikut arahan. Dalam Pas, perlu ada walak kepada pemimpin.
TIADA LAGI MR. COOL TETAPI SEMAKIN TEGAS
Insya-Allah boleh (untuk lebih tegas). Saya bersama pasukan pentadbiran sudah mula melihat bahawa kita perlukan ketegasan ini. Saya akan berubah menjadi tegas supaya mana-mana pegawai kerajaan yang sebelum ini kita bagi masa untuk menyesuaikan diri dengan pentadbiran baharu dan saya ingat dalam ‘iddah’ dua tahun ini semua orang sudah boleh sesuaikan diri.
Kita akan bergerak ke arah lebih laju. Saya pun tidak boleh sebut setakat mana ketegasan saya ini tetapi dengan bantuan daripada penjawat awam, kita akan cuba lebih agresif selepas ini. Seperti mana disebut macam kartel, ‘little napoleon’, yang ini semuanya saya dapat lihat dan kita akan cuba buang yang ada dalam jabatan kerajaan itu sendiri.
‘PEMBETULAN’ DALAM KERAJAAN NEGERI
Saya pun sedar kadang-kadang di depan kita nampak kerjasama elok. Tapi apabila di belakang dia mula culas. Dan kita memahami. Saya ingat Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri pun memahami keadaan ini. Dan insya-Allah kita bersama membuat pembetulan selepas ini. Kita boleh buat dalam tempoh tiga tahun akan datang ini.
ROMBAK EXCO
Kalau kira prestasi, saya boleh bagi markah sederhana dan kita perlu lebih agresif lagi. Mungkin ada keperluan, kita akan buat rombakan Exco.
Saya menyedari benda ini berlaku dan insya-Allah, walaupun prestasi agak rendah kita masih lagi bersama-sama untuk meningkatkan prestasi. Pertamanya, pengalaman agak kurang dan kita perlu bergerak bersama untuk pastikan prestasi semakin baik. Rombakan kemungkinan itu ada, insya-Allah.
Tiba masa manfaatkan pelaburan baharu
PELABURAN BAHARU
Pelaburan yang dibawa masuk ini saya rasa pelancongan. Pelancongan ini, kerajaan negeri lihat tidak ketara sangat keuntungan. Selain daripada itu, industri perkilangan dan lain-lain kita belum nampak dengan jelas lagi hasil yang akan dapat.
Selain itu, tenaga boleh baharu masih dalam proses. Dan saya lihat, netizen yang sinis tentang pelaburan masuk ini sebab kita teruskan apa yang diusahakan kerajaan terdahulu dengan kita memperelokkan. Saya sudah maklum dulu, mana-mana projek yang baik dimulakan oleh kerajaan terdahulu, saya akan sambung kerana tiada kepentingan untuk ‘kerat’ dan kemudiannya mula baharu kerana ia akan makan masa panjang.
Saya ingat dalam bidang pertanian pun ada juga pelaburannya. Yang itu lebih kurang RM6 juta yang masuk. Keseluruhan pelaburan masuk ini adalah seperti yang saya sebut dalam sidang DUN sebelum ini iaitu sekitar RM2 bilion. Bukan semuanya pelaburan baharu, ada sambung yang dulu dan kita tidak mahu terlampau mahu mencipta nama sehingga korbankan modal yang besar sebelum ini dan kerajaan kita juga bukan mantap daripada segi ekonomi, maka penyambungan itu lebih baik dari mula baharu.
SEKTOR PELANCONGAN KEKUATAN NEGERI
Pelaburan pelancongan ini, memang setakat ini kita melabur sahajalah. Saya ingat sehingga awal tahun ini ada kemasukan 1.5 juta pelancong ke Perlis dan memang tidak ketara pulangan pendapatan untuk kerajaan negeri. Apa pun kita sudah mulakan sikit demi sikit dengan mengutip cukai pintu daripada pengusaha inap desa atau bilik inap. Yang sebenarnya, rumah inap atau bilik inap yang dibina perlu ditukar syarat tanah. Tetapi kerajaan negeri masih lagi beri ruang dan peluang dengan pengusaha membayar cukai yang tidak sampai RM1 sehari.
Kerajaan negeri menolong mereka daripada segi promosi iklan dan sebagainya. Kerajaan negeri perlukan sedikit pulangan untuk tingkatkan ekonomi negeri di samping memahami pembinaan inap desa atas tanah itu perlu tukar syarat. Kita tidak meletak syarat itu sebagai keutamaan malah sekadar hanya kutip cukai pintu sahaja. Itu tidak membebankan rakyat. Sebenarnya kita tengah buat kajian untuk dapat pulangan yang tidak membebankan pelancong. Begitu juga dengan pengusaha-pengusaha yang mengendalikan perusahaan pelancongan macam kedai makan, tempat pelancongan dan lain-lain. Kita mahu tengok suasana ini berlaku menang-menang.
Selain itu, kita tengah usahakan supaya pelancong yang datang dapat bawa balik sesuatu sebagai tanda peringatan.
Terdapat satu lokasi di depan Pejabat Pertanian di Bukit Temiang yang diusahakan oleh seorang pensyarah dilihat satu permulaan baik untuk promosi barangan atau cenderahati Perlis.
Satu lagi di Pusat Kraftangan di Batu 5. Perancangan kita mahu buat contohnya di Arau, Kuala Perlis, Padang Besar dan kawasan tumpuan pelancong seperti Wang Kelian.
MANFAATKAN DOLOMITE
Dolomite memang kita punya nadir bumi paling tinggi di Perlis dan macam saya sebut tadi setiap pelabur yang datang ke sini, mesti bersama anak syarikat kerajaan negeri seperti Menteri Besar Incorporated (MBI), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), yayasan atau sebagainya. Kedua, kita mahu semua pelabur ini membina kilang dan proses dolomite di Perlis kerana ini akan membuka peluang pekerjaan kepada anak Perlis. Itu yang kita tengah usahakan.
Baru-baru ini, ada beberapa buah syarikat yang kita bagi kepercayaan dan mereka bagi komitmen untuk membina kilang di sini. Saya tidak pasti berapa pulangan kita boleh dapat tapi akan cuba semaksima mungkin. Selain daripada pertanian, mungkin daripada teknologi tinggi macam pembuatan rim dan lain-lain. Itu ada dalam proses dolomite itu sendiri.
UBAH KAEDAH PERTANIAN
Kita mahu tingkatkan dari segi pertanian. Rakyat perlu cari kaedah baharu yang dapat tingkatkan hasil. Antaranya dalam pertanian padi. Kemudiannya kawasan pertanian yang tanam padi setahun sekali ini juga perlu tengok balik sama ada ia menguntungkan atau tidak. Dari segi keuntungan macam kilang Green World Genetics (GWG) yang banyak bekalkan benih, jika rakyat dapat ambil peluang ini, ia berpotensi untuk tingkatkan hasil pada mereka dan kerajaan.
‘Ogos, September MB tukar, saya tidak terkesan polemik letak jawatan’
PERTUKARAN MENTERI BESAR
Saya ingat ini politik musuh mahu ganggu gerak kerja kita supaya tidak berjalan lancar. Saya sedikit pun tidak terkesan dengan polemik bulan lapan lah, bulan sembilan lah, itu benda biasa. Saya teruskan fokus kepada pentadbiran negeri untuk pastikan prestasi kerajaan negeri ini dalam menyantuni rakyat dengan lebih lagi. Saya teringat kisah Luqman Al Hakim bersama anaknya dan seekor keldai. Dalam kisah itu, jalan dua-dua tidak kena, naik keldai dua-dua pun tidak kena. Seorang naik keldai dan seorang jalan pun tidak kena. Jadi, saya memahami keadaan itu.
PN MASIH DIHATI PENGUNDI PADA PILIHAN RAYA UMUM KE-16 (PRU16)
Rakyat sekarang makin bijak dan saya rasa semua wakil rakyat PN jangan anggap rakyat ini macam dulu lagi. Perlu jaga prestasi semua, jangan timbulkan isu-isu yang boleh sebabkan rakyat marah dan insya-Allah PN akan boleh bertahan lagi.
Secara keseluruhannya, rakyat masih lagi bersama PN cumanya ia bergantung kepada prestasi wakil rakyat dan parti diwakili itu. Saya lebih banyak kepada santuni dan selesaikan masalah rakyat supaya mereka puas hati. Contohnya seperti Syarikat Air Perlis (SAP), ramai orang sudah mula berpuas hati dengan tindakan pantas dan ini perkembangan baik.
PERANCANGAN
Pertamanya, kita akan terus bekerja untuk rakyat. Itu paling utama. Jika sekiranya peningkatan ekonomi rakyat makin baik dan miskin tegar seramai 2,000 orang di Perlis dapat diselesaikan, kemudian peluang pekerjaan hasil pelaburan masuk ke negeri ini dapat kita tingkatkan dan itulah cita-cita kita paling tinggi. Basmi kemiskinan paling utama di samping cuba tingkat peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
PN SUDAH TERLALU SELESA SELEPAS PRU15
Saya tidak pernah memandang rendah pada semua pihak sama ada UMNO, BN atau PH (Pakatan Harapan). Sebab orang yang kalah ini akan bangun bekerja dan kita daripada PN mesti juga bekerja untuk pastikan sokongan rakyat kekal selain menjaga prestasi kerajaan ini.
Kita bagi nampak perbezaan pentadbiran UMNO-BN dulu dengan pentadbiran PN. Sebab itu, perlu bagi ada perbezaan ketara supaya rakyat boleh melihat.
HUBUNGAN PAS DENGAN BERSATU
Hubungan masih berjalan seperti biasa, masih banyak berbincang dalam apa jua isu sama ada kerajaan atau parti.
AKUR DENGAN PARTI DALAM JAWATAN MENTERI BESAR
Jika PN menang (dalam PRU16), saya kalau boleh cukup sekali la. Bagi peluang orang baharu. Apa pun macam saya sebut tadi, saya akur arahan daripada parti. – UTUSAN










