Jangan salah guna kuasa tetapi bekerja untuk kesejahteraan rakyat

Jangan salah guna kuasa tetapi bekerja untuk kesejahteraan rakyat

DISEBALIK mengekalkan nama Malaysia di persada dunia, perlu adanya barisan pemimpin yang memikul tanggungjawab dengan amanah untuk menjaga kebaikan rakyat mahupun negara.UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum (PRU) adalah saluran rakyat yang memberi kuasa kepada ahli politik yang bertanding mewakili parti masing-masing untuk mendapatkan kuasa bagi membentuk kerajaan. Mana-mana parti atau gabungan parti yang menang sekurang-kurang dengan majoriti mudah berpeluang untuk membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.

Tanggungjawab utama kerajaan adalah melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan adil.

Kerajaan mesti bersikap telus dalam aspek pentadbiran mahupun pengurusan supaya perbendaharaan, aset dan segala sumber kekayaan milik negara tidak disalahguna atau diselewengkan untuk kepentingan diri, keluarga atau kroni. Ini boleh menyebabkan berlakunya ketirisan yang besar dan akhirnya menyebabkan pengagihan kekayaan negara menjadi terhad serta tidak menyeluruh.

Pemimpin perlu memiliki sifat-sifat terpuji, integriti yang tinggi, kebijaksanaan serta berilmu dalam mentadbir dan mengurus negara berasaskan visi, misi serta objektif yang jelas dan praktikal. 

Sifat-sifat terpuji dalam kalangan pemerintah inilah yang disebut para ulama siyasah al-syar’iyyah sebagai cerminan pemerintah dan penguasa. Semua pemimpin politik, sama ada yang berada dalam kerajaan atau  di luar lingkungan kekuasaan (kerajaan) harus mengetahui garis sempadan kekuasaan yang dipikul. Mereka juga mesti memahami bahaya menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka.

Pemimpin kerajaan harus memahami kekuasaan yang diamanahkan kepada mereka mesti dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban (akauntabiliti). Di sisi Islam, kesungguhan untuk melaksanakan amanah kepemimpinan itu dengan sifat-sifat mulia dijanjikan dengan memperoleh keredaan Allah SWT. 

Sebaliknya jika menurutkan hawa nafsunya dengan menyeleweng, melakukan kezaliman dan menipu rakyat maka, perlakuan atau tindakannya itu akan meletakkan dirinya sebagai musuh Allah.

Kesengsaraan menantinya, jika tidak di dunia maka di akhirat akan dirasainya. Justeru, mereka yang diberikan kuasa harus menggunakan nikmat ini dengan menjadikan kuasa sebagai amanah untuk meraih keredaan Allah. 

Bagi seorang pemimpin yang prihatin terhadap tanggungjawab akan menganggap satu saat daripada hidupnya seumpama keseluruhan hidup orang lain (untuk rakyat).

Inilah yang pernah ditunjukkan oleh Khulafah ar-Rasyidin, termasuk Umar Abdul Aziz yang pada sesetengah pengkaji sejarah menganggapnya sebagai Khalifah Islam yang kelima.

Pemimpin kerajaan mesti berlaku adil dan memudahkan urusan rakyatnya, terutama mereka  yang berada dalam kesempitan hidup seperti golongan B40 tanpa mengetepikan golongan rakyat yang lain sesuai dengan keperluan mereka.

Dalam konteks inilah kita melihat pentingnya agensi-agensi kerajaan (kementerian dan jabatan) yang diwujudkan dengan fungsi dan peranan tertentu bagi memenuhi kepentingan pelbagai lapisan masyarakat dengan penuh integriti.


Pemimpin, sama ada yang bertaraf menteri atau wakil rakyat tidak patut bersifat bongkak dan hanya suka mendengar pujian pembodek-pembodek di sekelilingnya, yang akhirnya membawa binasa kepada diri mereka. Sebaliknya, harus memberi perhatian kepada hal ehwal rakyat, berlaku adil, membantu orang yang lemah dan melindungi mereka dari dizalimi pihak lain, bukannya berpihak kepada orang yang zalim.

Hakikatnya, kerajaan perlu memastikan kepentingan orang ramai terpelihara dan keadilan tercapai. Kedaulatan dan kemerdekaan negara dipelihara tanpa kompromi, bukannya menjadi pengkhianat terhadap kedaulatan negara. 

Antara perkara utama dalam memelihara kepentingan rakyat dan negara ialah bersegera mengatur langkah dan strategi jika sesuatu perkara buruk atau cabaran berat berlaku dalam kehidupan masyarakat mahupun negara.

Dalam situasi begini pemimpin harus meletakkan dirinya sebagai pelindung yang benar-benar dapat disandarkan harapan untuk membawa keluar kemelut yang dihadapi negara seperti pandamik Covid-19, dua tahun lalu.

Selain itu, cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara sangat memerlukan kesungguhan pemimpin untuk mengatasinya.

Pada saat rakyat dalam keperitan hidup, pemimpin sepatutnya menyegerakan sebarang bentuk bantuan yang benar-benar dapat meringankan rakyat. Tiada masa bagi seorang pemimpin yang komited  menurutkan kehendak nafsu syahwatnya dengan meringan-ringankan masalah yang dihadapi rakyat sedangkan mereka sedang hidup dalam kesusahan dan tekanan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Hanya pemimpin yang faham keberatan memikul amanah di sisi Allah akan berusaha sedaya upaya untuk membantu dan meringankan beban yang dihadapi rakyatnya kerana Rasulullah SAW telah mengingatkan sesiapa yang dilantik mengurus sesuatu perkara untuk umatku dan dia memudahkan mereka maka Allah akan menolongnya, sebaliknya jika dia menyusahkan umatku maka sengsara akan menunggunya.

 

NILAI SYARAK

Pemimpin juga mestilah ada kesungguhan untuk mengutamakan nilai-nilai syarak dalam kehidupannya. Dalam konteks ini, pemimpin mesti berupaya mengawas diri dengan menjauhi sifat bermegah, bongkak dan bengkeng (garang) supaya terhindar daripada melakukan kezaliman dan ketidakadilan terhadap rakyat.

Mereka juga mesti mengawasi orang bawahannya atau  pentadbirannya supaya tidak menyalahgunakan kuasa atau melakukan penyelewengan yang akhirnya menyusahkannya sebagai pemimpin.

Untuk memastikan urus tadbirnya sentiasa berjalan dengan baik dan lancar maka pemimpin wajar mendekati dan mendapatkan pandangan, nasihat dan idea pemikiran dari orang-orang yang boleh dipercayai seperti pakar dalam pelbagai bidang termasuk ulama, sama ada melalui mesyuarat, perbincangan atau membentuk pasukan khusus yang dapat membantunya dengan berkesan.

Golongan pakar yang boleh menyumbang idea dengan baik ini harus dilihat oleh pemimpin sebagai sumbu dan obor negara.

Kesimpulan, pemimpin yang benar itu adalah mereka yang memelihara amanah dan memelihara kebajikan rakyat dengan kekuasaannya. Sesungguhnya asas terbinanya kuasa yang adil itu ialah keinginan ke arah mendorong kepada penyatuan dan ketaatan yang membangkitkan rasa kecintaan kepada kedamaian, keharmonian, kesejahteraan hidup bernegara mahupun bermasyarakat.-UTUSAN

PENULIS  ialah Penganalisis sosipolitik bebas.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN