SELEPAS 67 tahun negara mencapai kemerdekaan antara perkara pokok yang terus menjadi persoalan kritikal ialah sejauh mana anggota masyarakat kita benar-benar menjiwai semangat dan maksud kemerdekaan?
Secara mudahnya kita perlu menjawab soalan ini dengan pengisian erti kemerdekaan yang sanggup dilakukan demi ibu pertiwi tercinta ini dan adakah ia mencukupi sebagai bukti penzahiran kita memahami makna semangat jiwa merdeka yang sebenar.
Ironinya nikmat kemerdekaan sebenar hanya akan hadir apabila setiap warganya faham semangat jiwa ‘kebebasan’ itu secara zahir dan batin. Misalnya, formula asas kejayaan memperoleh kemerdekaan ialah kesepakatan dan kerjasama ditonjolkan oleh generasi terdahulu dari pelbagai latar belakang etnik serta agama telah meyakinkan penjajah bahawa masyarakat majmuk boleh hidup bersatu padu sebagai sebuah negara yang bebas merdeka.
Namun, tahap perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat pada hari ini masih tidak begitu memberangsangkan apabila sedikit sahaja provokasi sudah cukup untuk mencetuskan perbalahan terutamanya dalam platform media sosial.
Tidak keterlaluan untuk dirumuskan tahap perpaduan pada ketika ini umpama senipis kulit bawang dan hal ini sentiasa menjadi duri dalam daging serta bom jangka panjang yang membelenggu negara kita.
Jujurnya kita tidak mampu berhadapan lagi insiden hitam seperti peristiwa 13 Mei 1969 yang menggoncang jambatan perpaduan negara ini sekali gus mengancam keselamatan rakyat dan menggugat kestabilan serta keamanan negara.
Justeru jika benar kita sayangkan kemerdekaan yang ada ini, dan jika benar mahu terus kekal merdeka, hidup aman, damai dan selamat, maka setiap warganegara perlu memikul tanggungjawab untuk menyuburkan semangat perpaduan nasional.
Perkara ini boleh dilakukan jika masing-masing sedar tanggungjawab terhadap negara dan menjiwai semangat kemerdekaan yang ada.
Jiwa merdeka juga wajar dizahirkan dalam konteks menjunjung adat dan budaya tempatan yang menjadi warisan turun temurun dari satu generasi ke satu generasi.
Sikap generasi hari ini yang terlalu mengagung-agungkan budaya dan cara hidup luar terutamanya dari segi adab, bahasa dan pakaian cukup membimbangkan.
Pengaruh budaya asing yang kuat sehingga menormalisasikan cara hidup liberal dan bebas perlu dikekang dan ditangani dengan segera. Kita tidak mahu generasi muda terus hanyut dan hilang identiti bangsa dek ajaran songsang luar yang memudaratkan.
Tidak menghormati bahasa kebangsaan termasuk penggunaan bahasa rojak juga perlu dipandang serius kerana kedudukan bahasa Melayu terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, sebarang bentuk ancaman terhadap kedudukan bahasa Melayu mahupun pencemaran bahasa kebangsaan tidak boleh dibiarkan terus berlaku.
Atas semangat jiwa merdeka yang tulen, maka setiap warganegara perlu terus mempertahankan adat, budaya dan bahasa yang menjadi identiti negara ini sejak sekian lama. Jangan terlalu taksub dengan budaya luar hingga mengorbankan jati diri dan identiti sendiri.
Dalam konteks ini anggota masyarakat perlu menghayati makna sebenar madani yang ditakrifkan oleh kerajaan antara lain menjadi sintesis (penyatuan) gaya Malaysia antara amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang direka untuk menangani isu-isu baharu dan ketidakpastian.
Banyak lagi perkara yang boleh kita lakukan untuk menzahirkan semangat jiwa merdeka yang tulen, misalnya dalam konteks semasa menahan atau membebaskan diri dari melakukan perbuatan yang tidak elok khususnya di platform media sosial seperti menyebarkan berita palsu, fitnah dan propaganda negatif. Hal ini dikatakan demikian kerana ia menggambarkan tingkah laku jiwa merdeka yang bijak menggunakan kebebasan yang diberikan.
Selain itu, menghayati dan menghormati undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan serta memahami dan mengamalkan lima prinsip Rukun Negara juga akan menggambarkan seseorang individu itu memiliki jiwa merdeka yang sebenar.
Kedua-dua dokumen strategik utama negara ini perlu menjadi panduan hidup bermasyarakat yang boleh berfungsi sebagai sandaran dan rujukan utama sepanjang masa demi memelihara keharmonian kehidupan dan keselamatan rakyat serta negara.
Malah semangat jiwa merdeka juga boleh diterjemahkan melalui keazaman untuk menjauhi amalan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa yang jelas merosakkan sistem tadbir urus pentadbiran, merugikan wang rakyat dan boleh menghancurkan negara.
HARGAI KEBEBASAN NEGARA
Mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing baik rumah mahupun pejabat juga wajar diangkat sebagai sikap yang memahami makna jiwa merdeka kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara yang membuktikan kita bebas merdeka dan memiliki negara sendiri.
Maka besarlah harapan kita agar seluruh rakyat Malaysia akan menyahut seruan kerajaan yang telah melancarkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang. Budaya mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela pastinya menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan menyuntik rasa cinta kepada negara. Ayuh laksanakan kibaran jiwa merdeka dengan penuh bersemangat.
Antara cara lain yang boleh kita lakukan untuk menterjemahkan semangat jiwa merdeka ialah seperti membeli barangan atau menyokong produk mahupun perkhidmatan tempatan yang melambangkan. Kita sewajarnya berbangga dengan hasil kerja anak watan selain merancakkan ekonomi domestik sekali gus mengurangkan pengaliran keluar wang negara.
Ini penting kerana masih ramai yang suka membuat perbandingan dengan barangan import selain memandang rendah terhadap kemampuan warga tempatan serta kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Ini satu sikap yang perlu dijauhi dan kita wajar menyokong sepenuhnya barangan keluaran rakyat sendiri.
Ironinya pengisian erti kemerdekaan itu ternyata jauh lebih sukar dari menuntutnya kerana rakyat dan negara pada hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman dan cabaran baik dari dalam mahupun luar.
Ini menuntut kita memiliki semangat jati diri yang kuat dan kental agar tidak mudah mengalah dan putus asa dalam mendepani setiap cabaran yang mendatang.
Justeru setiap warganegara perlu memahami makna jiwa merdeka dengan jujur dan ikhlas agar kemerdekaan yang dibayar dengan darah, keringat dan air mata itu tidak menjadi sia-sia.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).










