TARIKH 31 Ogos dan 16 September adalah tarikh-tarikh penting dalam sejarah Malaysia moden. Pada tarikh-tarikh tersebut negara kita telah melalui episod-episod penting dalam pembentukan negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Pada 31 Ogos 1957, kita telah merdeka dari penjajahan British. Sebelum penjajahan British, kita telah berada di bawah penjajahan kuasa-kuasa Barat yang lebih awal iaitu Portugis dan Belanda ratusan tahun lamanya. Kita juga pernah ditakluk oleh tentera Jepun dari tahun 1941-1945 yang kemudiannya dikuasai semula oleh British. Hakikatnya kita telah dijajah begitu lama oleh kuasa-kuasa asing bermula dari kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka yang dijajah Portugis pada tahun 1511.
Selepas tujuh tahun negara merdeka, satu lagi episod besar dalam pensejarahan tanah air kita dicatat, iaitu penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 yang merangkumi Semanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga Singapura.
Namun, Singapura berpisah dari Malaysia pada Ogos 1965. Penubuhan Malaysia menjadikan kita sebuah keluarga besar dengan penduduk berbilang kaum, etnik, agama, budaya dan adat resam.
Tahun ini 2024, kita menyambut Hari Kebangsaan iaitu Hari Kemerdekaan yang Ke-67, manakala Hari Malaysia pula adalah yang ke-61. Pada dasarnya semua negeri-negeri yang berada dalam Persekutuan Malaysia telah bergerak maju bersama dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, diperkukuh dengan dasar-dasar pentadbiran kerajaan negeri mengikut bidang kuasa masing-masing seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sungguhpun begitu masih timbul pelbagai isu dan perbahasan mengenai ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah atau antara negeri-negeri disebabkan oleh beberapa faktor seperti geografi, politik dan adat resam budaya.
Demikian juga masih wujud suara-suara dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak berkaitan Perjanjian MA63, terutamanya perkara-perkara berkaitan tuntutan bagi melaksanakan beberapa maksud dalam perjanjian itu yang membabitkan hak dan autonomi kedua-dua negeri terbabit.
Ada juga suara-suara berbau politik ekstrim yang muncul di Sarawak dan Sabah yang mahukan perpisahan daripada Persekutuan.
Walaupun suara-suara tersebut bukan suara majoriti tetapi ia boleh mencetuskan sentimen dan hubungan yang tidak baik dalam kalangan penduduk negeri terbabit. Oleh itu, kerajaan tetap memandang serius isu-isu tersebut supaya propaganda yang dimainkan oleh mereka yang bersifat subversif itu dapat dikawal dan dibendung.
Majoriti rakyat Sabah dan Sarawak tidak termakan dakyah jahat dimainkan oleh anasir subversif terbabit. Rakyat di kedua-dua negeri itu semakin faham akan implikasi buruk sekiranya terpengaruh dengan golongan yang suka menghasut dan mencetuskan pertelagahan dan berniat jahat untuk membawa negeri-negeri itu keluar Malaysia.
Hakikatnya, sentimen ‘Sarawak untuk Orang Sarawak’ dan ‘Sabah untuk Orang Sabah’ hanyalah permainan politik pihak tertentu yang berkepentingan.
Realitinya, gerakan untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia tidak disokong oleh rakyat di kedua-dua negeri terbabit. Justeru, saban tahun kita dapat saksikan sambutan Hari Kebangssan dan Hari Malaysia disambut dengan penuh meriah dan semangat patriotik yang tinggi di Sabah dan Sarawak.
Hakikatnya, rakyat Sabah dan Sarawak semakin matang dan rasional serta dapat merasai nikmat pembangunan walaupun ada beberapa kelemahan yang timbul. Kerajaan Pusat yang ada hari ini pula serius untuk menunaikan perkara-perkara yang berbangkit dalam MA63 berkaitan Sabah dan Sarawak.
Keutamaan solusinya adalah melalui meja rundingan, terutamanya melalui Parlimen sebagai institusi tertinggi yang sesuai untuk membahas isu berkaitan dengan Sabah dan Sarawak.
Pelbagai langkah telah dan sedang diambil untuk menenuhi tuntuan MA63 dan juga untuk merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakannya dengan hati-hati dan teliti untuk mengelak berbangkitmya soal-soal teknikal dan perundangan, terutama dari sudut semangat Perlembagaan.
Saya yakin usaha-usaha konkrit yang dilaksanakan kerajaan mampu untuk mengendurkan sentimen negatif yang ditiupkan oleh pihak yang mempunyai agenda tidak baik terhadap Persekutuan Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak yang boleh melemahkan sistem Persekutuan dan mengancam kedaulatan negara bangsa.
Semua pihak harus faham konsep Persekutuan (federalisme) yang telah kita amalkan selama ini. Kita ada 13 negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan). Asas konsep Persekutuan ialah adanya persetujuan negeri-negeri untuk membentuk satu perikatan bagi menubuhkan negara bangsa dengan persetujuan menyerahkan sebahagian kuasa untuk ditadbir kerajaan Pusat. Kerajaan negeri juga mempunyai kuasa dan ada juga kuasa bersama.
Semua bidang kuasa itu digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam Jadual Kesembilan (Bahagian II) Perlembagaan Persekutuan telah disebut mengenai Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Ia turut dinyatakan dalam Bahagian V dan VI. Sabah dan Sarawak punya kelebihan yang mana berdasarkan MA63 kedua-dua negeri itu mempunyai kuasa autonomi lebih daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan.
Sekiranya timbul masalah maka Perlembagaan Persekutuan menjadi rujukannya, dan jika membabitkan Sabah dan Sarawak maka perjanjian MA63 turut dijadikan rujukan. Justeru, semua pihak harus menghormati bidang kuasa masing-masing dan berpegang kepada semangat persekutuan yang telah dipersetujui itu.
Semangat kenegerian yang melampau hendaklah dikawal dan dielakkan supaya amalan federalisme kita benar-benar dapat mencontohi amalan persekutuan yang diamalkan Amerika Syarikat yang telah berjaya melenyapkan semangat kenegerian sehingga negara itu menjadi sebuah negara persekutuan yang cukup kuat dan maju. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










