ENROLMEN anak bangsa kita yang sangat tinggi di sekolah antarabangsa yang kini begitu banyak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, memang amat membimbangkan dari beberapa segi.
Antaranya keadaan ini adalah cerminan pelbagai kelemahan sistem pendidikan negara sehingga begitu ramai ibu bapa sudah kehilangan keyakinan untuk memperoleh pendidikan bermutu di sekolah kerajaan bagi anak mereka.
Dengan ini, mereka tiada pilihan lain kecuali berusaha untuk mendapatkan pendidikan bermutu di ratusan sekolah antarabangsa yang dikendalikan orang kita sendiri sebagai warga pendidik selain pemiliknya.
Selain menggunakan kurikulum dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada atau Australia, institusi pendidikan swasta ini berikhtiar membekalkan kemudahan yang lebih baik kepada para murid dan pelajarnya dari segenap segi.
Walaupun sekolah antarabangsa ditanggapi banyak pihak sebagai lebih baik dalam soal membekalkan pendidikan bermutu, menjadi rahsia terbuka bahawa sekolah-sekolah antarabangsa ini selalu juga menghubungi sekolah kerajaan agar dikongsikan sesetengah maklumat profesionalisme perguruan tertentu.
Ini kerana bukan semua tenaga pengajar di institusi pendidikan swasta merupakan guru profesional, yakni dilatih pertama-tamanya untuk menjadi pendidik.
Meskipun begitu, para guru di institusi pendidikan swasta secara perbandingannya adalah lebih gigih dalam menjalankan tugas mereka. Ini sudah tentu kerana pemantauan amat ketat daripada majikan selain dedikasi sangat tinggi yang harus diperlihat oleh setiap satu daripada mereka yang memang didapati selalu berusaha habis-habisan.
Natijahnya di sini ialah usaha bersungguh-sungguh untuk mendidik itu jauh lebih penting daripada latihan profesional lengkap yang diperoleh, tetapi tidak pun diterapkan dengan sepenuh hati. Dengan ini, budaya kerja, iaitu himpunan sikap dan tingkah laku yang tidak memperlihat kesungguhan dalam menjalankan tugas, adalah perbezaan besar antara persekitaran yang terdapat di institusi pendidikan swasta dengan yang awam.
Sebenarnya secara dasarnya, tiada banyak perbezaan asas pun yang terdapat pada kurikulum nasional kita dengan yang dari luar itu. Kedua-duanya memberi tumpuan utama kepada pemerolehan kemahiran asas dalam bidang pendidikan. Sehubungan ini, perbezaan nyata ialah kesungguhan warga pendidik di dua institusi pendidikan ini dalam menyampaikan ilmu semasa mengajar.
Dalam pada ini, sudah ada kesedaran semenjak sekian lama bahawa institusi pendidikan kerajaan, khususnya sekolah kebangsaan (SK) tidak lagi berada pada landasan yang sepatutnya. Oleh itu, SK dijanjikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) pada bab 7 untuk diperbaik agar menjadi pilihan utama semua ibu bapa tanpa mengira etnisiti dan di segenap pelosok tanah air menjelang 2025.
Dengan adanya enrolmen tinggi semua etnisiti di sekolah antarabangsa dan juga etnik bukan Cina, khususnya Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tidak dapat dinafikan lagi bahawa usaha mempertingkat prestasi SK itu tidak berjaya. Malah selama sudah sedekad ini mulai 2013, kita tidak dapat melihat pun usaha cekal yang jelas untuk mengubah SK bagi menjadikannya pilihan pertama ibu bapa dalam hal menyekolahkan anak mereka.
PROGRAM PEMERKASAAAN TAHAP TINGGI
Juga menjadi rahsia terbuka bahawa ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa mahu penguasaan bahasa Inggeris pada anak mereka bukan sahaja baik, tetapi terus meningkat. Sehubungan penguasaan bahasa Inggeris yang sebegitu, dua program, iaitu Program Dwibahasa (DLP) dan Program Pemerkasaaan Tahap Tinggi (HIP) digubal pada 2016 oleh kerajaan.
Dalam hal ini, hanya DLP yang kelihatan wujud tetapi kesan kepada penguasaan bahasa Inggeris tidak seoptimum seperti yang sepatutnya ada pada HIP.
HIP memang diwujudkan khas untuk mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris anak bangsa kita. Walaupun begitu, ia hanya wujud pada awal penggubalannya untuk waktu yang amat singkat sahaja. Kini HIP bukan sahaja sudah lama tidak wujud. Ia juga langsung tidak mahu diperkata walaupun sudah ditanya banyak kali tentang keberadaannya.
Ia tidak lain tidak bukan antara kaedah paling pantas lagi berkesan sekali untuk menguasai bahasa asing dengan pelbagai teknik hebat lagi bestari, apatah lagi apabila kita mengenakan perkataan ‘tahap tinggi’ kepadanya. Sehubungan hasilan tuntasnya yang tidak pernah pun diperlihat kepada khalayak, HIP sebenarnya hanya indah khabar dari rupa.
Kalau HIP yang mula dilaksanakan pada 2016 itu berterusan dengan pembaikan selanjutnya pada saban tahun, barangkali enrolmen anak bangsa kita di sekolah antarabangsa, lebih-lebih lagi daripada murid dan pelajar yang ibu bapa mereka tidak berada pun, adalah tidak setinggi kini, iaitu sekitar 70 peratus.
Sepatutnya enrolmen anak bangsa kita di sekolah antarabangsa di Malaysia adalah hanya untuk menyambung pelajaran yang telah diterima di luar negara semasa mengiringi ibu bapa mereka. Ia tidak boleh bersifat seperti kini yang bermula semenjak 2012 apabila enrolmen di sekolah antarabangsa menjadi begitu mudah sekali.
Kebenaran untuk anak bangsa kita belajar di sekolah antarabangsa sudah tentu tidak baik untuk proses pembentukan negara bangsa. Ini kerana anak bangsa kita tidak akan terdedah sepenuhnya kepada segala aspirasi nasional yang diangkat secara jitu dalam kurikulum nasional kita untuk pelbagai tujuan kenegaraan.
Antara yang penting ialah jati diri kebangsaan kental lagi terserlah.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










