SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, negara kita berdepan kekurangan tenaga kerja profesional seperti doktor, saintis dan jurutera. Sekiranya isu ini terus berlaku, kemungkinan negara akan menghadapi pelbagai implikasi dalam jangka masa panjang.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan negara kekurangan seramai 30,000 jurutera. Angka yang begitu besar dan membimbangkan menjadi cabaran serius, terutamanya ketika Malaysia sedang bergerak ke arah menjadi negara maju yang mengaplikasikan teknologi baharu.
Kekurangan jurutera ini bukan sahaja menghambat kemajuan teknologi dan inovasi, tetapi juga mengancam potensi pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini kerana, jurutera memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta aplikasi teknologi baharu.
Namun begitu, dikala negara sedang menghadapi isu ini, pada masa yang sama arus media juga turut melaporkan lambakan graduan kejuruteraan.
Melihat kepada perkembangan arus pendidikan semasa, bidang kejuruteraan kini ditawarkan sejak di peringkat sekolah menengah.
Di samping itu, bidang kejuruteraan juga tersedia di peringkat diploma, matrikulasi kejuruteraan dan program setaraf lainnya.
Langkah ini bertujuan untuk menyediakan tapak asas bagi menggalakkan generasi muda memilih kejuruteraan sebagai bidang pengajian tinggi seterusnya, membina kerjaya sebagai jurutera.
Negara mempunyai universiti awam (UA) dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan kursus aliran kejuruteraan yang sentiasa melahirkan ramai graduan dalam bidang ini setiap tahun. Kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkasakan bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya negara sentiasa melahirkan graduan yang berdaya saing dan berkualiti.
Perkembangan dalam melahirkan graduan kejuruteraan menunjukkan kerajaan dalam sektor pendidikan begitu serius untuk melahirkan ramai jurutera di Malaysia.
Bidang kejuruteraan dipecahkan kepada Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik. Ketiga-tiga bidang ini memegang peratusan yang besar di dalam sektor pekerjaan bidang kejuruteraan. Namun, terdapat beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh jurutera dan graduan kejuruteraan.
Isu utama adalah berkaitan gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan sering kali dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada Oktober 2019, pernyataan daripada Prof. Ir. Megat Johari Megat Mohd. Noor yang merupakan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), menyatakan kadar gaji jurutera tempatan adalah statik dan tidak berubah sejak 20 tahun lalu.
Diikuti pada 2021, menghangatkan lagi isu ini apabila tajuk utama akhbar iaitu Jurutera Miskin menggambarkan situasi yang mana ramai jurutera menghadapi masalah gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan dan tanggungjawab mereka. Bagi menangani isu ini, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengesahkan secara rasmi di Parlimen bahawa satu pasukan petugas ditubuhkan pada 22 November 2021 bagi mengkaji isu gaji jurutera yang tidak setimpal.
Pada tahun berikutnya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari juga membentangkan isu berkaitan jurutera bekerja di bawah paras garis kemiskinan di Parlimen.
Bekas Yang Dipertua LJM, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman juga memaklumkan satu hasil laporan kajian menunjukkan hampir 35 peratus jurutera menerima gaji permulaan di bawah RM 2,000 dan kadar kenaikan gaji yang tidak selari dengan kadar inflasi semasa.
LJM menggesa syarikat yang menggaji jurutera menetapkan julat gaji permulaan jurutera antara RM2,500 hingga RM3,500 atau kadar lebih tinggi mengikut kemampuan majikan. Ini adalah selaras dengan kadar permulaan gaji pokok jurutera sebanyak RM3,335 yang digariskan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia: Kos Perkhidmatan Perunding (PK 3.2) (Pindaan April 2021).
Isu mengenai gaji ini diibangkitkan saban tahun dan terkini pada 8 Mac lalu, pihak LJM mengadakan Bengkel Pelan Tindakan Isu Gaji Permulaan Jurutera Rendah. Harapan agar bengkel ini dapat menghasilkan satu keputusan yang positif dan memberi sinar baharu kepada jurutera dan bakal jurutera.
Komitmen dan waktu bekerja di luar norma adalah perkara biasa yang perlu dilalui oleh jurutera pada masa kini. Sesetengah graduan mungkin belum bersedia dan ada juga yang mengambil keputusan bertukar angin memilih bidang lain yang mampu memberi pulangan lumayan.
Memetik kenyataan Persatuan Jurutera Malaysia (MAE), “orang muda lebih ‘berahi’ menjadi pempengaruh berbanding jurutera”. Hal ini kerana, pendapatan yang lebih lumayan, waktu kerja yang bebas, tiada pemantauan atau kurangnya kerenah birokrasi.
Berbeza sekali sebagai seorang yang bergelar jurutera mempunyai satu tanggungjawab besar atas segala keputusan yang dibuat. Risiko kegagalan, kelewatan projek dan kualiti adalah perlu dihadapi.
Persediaan dari sudut mental dan fizikal adalah antara perkara asas yang perlu ada sebelum bergelar jurutera. Persoalan yang kembali berbangkit adakah graduan bersedia? Tepuk dada tanyalah selera.
Sebagai contoh, sektor pembinaan di Malaysia adalah antara sektor yang banyak menyediakan perjawatan jurutera. Sektor pembinaan sering dikaitkan dengan neologisme Asia 3D (kotor, bahaya dan sukar). Sektor pembinaan sentiasa menjanjikan pengalaman yang sangat mencabar kepada graduan muda.
Bekerja di bawah terik mentari, pekerja dari pelbagai negara, keadaan tapak yang sangat mencabar perlu dihadapi seorang jurutera di tapak bina.
Mungkin ia tidak sama seperti yang dipaparkan dalam drama Melayu di kaca televisyen, bertali leher, berseluar slack dan berbaju kemeja kerana itu hanya ilusi dan fantasi. Pada dasarnya, jurutera perlu bersedia menerima beban kerja yang tinggi kerana tugas dan tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan setiap projek dapat diserahkan pada masa yang ditetapkan, tiada lebihan kos dan kualiti yang terbaik. Melihat kepada beban kerja, memungkinkan graduan muda tidak berminat kerana risiko berkaitan kesihatan mental dan fizikal yang amat tinggi.
PENYELESAIAN
Secara amnya, lambakan graduan kejuruteraan itu ada benarnya, tetapi kebanyakan mereka tidak memilih kerjaya jurutera berikutan isu gaji yang tidak setimpal dengan beban dan cabaran kerja. Sekiranya isu ini dapat ditangani, sudah pastinya kekurangan jurutera ini juga dapat diselesaikan.
Sehubungan dengan itu, satu mekanisme khusus perlu difikirkan agar pembaziran graduan jurutera yang tidak mahu bekerja di bidang kejuruteraan dapat diminimumkan.
Pembaziran bukan hanya berlaku dalam bentuk nilai mata wang, tetapi juga pembaziran modal insan yang begitu berharga kepada negara.
Setiap graduan memiliki potensi yang besar, jika terus digilap, pasti suatu hari nanti akan membawa impak yang signifikan kepada negara. – UTUSAN
PENULIS ialah Eksekutif Dana Penyelidikan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).









