“TAKTIK penjajahan jiwa yang terakhir yang dilakukan oleh bangsa-bangsa penjajah kepada negera-negara yang baharu mencapai kemerdekannya adalah dengan membangkitkan keinginan hidup mewah.
“Kerana bila mana bertambah mewah hidup orang, bertambah pudarlah cita-citanya. Yang satu hendak melebihi yang lain dalam kemewahan. Kemewahan dalam membangunkan rumah-rumah, kemewahan dalam menghiasinya, kemewahan dalam memilih kenderaan, kemewahan dalam kehidupan sehari-hari, ditambah lagi dengan berdirinya tempat bersenang-senang bagai cendawan tumbuh di musim hujan.” – Buya Hamka
Hairan saya dengan dasar-dasar yang dikeluarkan kerajaan mutakhir ini. Terkini kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan kelonggaran syarat permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H). Program yang diasaskan pada 2002 di bawah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dihentikan sementara pada 2020 sebelum diteruskan dengan pindaan semula pada 2021 di bawah kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Reka bentuk pada 2021 menyasarkan penyertaan daripada individu bernilai tinggi dengan meletakkan syarat bahawa pemohon perlu menyimpan deposit tetap sebanyak RM1 juta dan menambah sebanyak RM50,000 bagi setiap tanggungan yang dibawa masuk ke dalam negara.
Selain itu, pemohon harus mempunyai pendapatan bulanan RM40,000 dan sekurang-kurangnya RM1.5 juta dalam aset cair.
Kini, kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) merombak semula program ini dengan meletakkan sasaran utama permohonan daripada kalangan pesara. Maka nilai pegangan aset pemohon juga direndahkan bila mana syarat-syarat mengenai pendapatan bulanan dan keperluan aset cair yang kononnya membebankan kini dihapuskan.
Selain itu, pemohon hanya perlu meletakkan deposit tetap minimum serendah RM705,000 untuk mendapatkan visa lima tahun.
Menarik untuk diamati bagaimana rombakan semula program MM2H turut mencipta kategori baharu untuk permohonan visa lima, 15 atau 20 tahun. Walhal selama program diadakan sejak 12 tahun lalu, hanya ada satu kategori yakni untuk visa bertempoh lima tahun sahaja.
Saya kata menarik kerana rekaan baharu ini dibuat dalam pada rakyat masih heboh membicarakan perihal pindaan kepada syarat dan prosedur kewarganegaraan yang diluluskan pada Mac lalu.
NEUTRALISASI
Menarik pada pandangan saya kerana syarat neutralisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan kini membenarkan permohonan yang dibuat oleh sesiapa yang berumur 18 tahun, sedangkan sebelum ini syarat tersebut terhad kepada individu yang sudah berumur 21 tahun sahaja.
Maka dengan penciptaan kategori baharu di bawah MM2H, tidak mustahil akan ada lambakan permohonan neutralisasi bagi anak-anak tanggungan di bawah program MM2H nanti.
Dalam pada rakyat Malaysia semakin runsing memikirkan di mana hendak dicekau wang setiap bulan buat membayar ansuran rumah atau sewa kediaman, menarik bagaimana kerajaan seolah-olah melebihkan orang luar dengan merendahkan syarat penyertaan program MM2H dan sekali gus seakan-akan membuka pintu negara seluar-luasnya untuk orang luar.
MOTAC menjustifikasikan tindakan ini dengan mengatakan syarat yang terlalu membebankan pemohon dengan menyasarkan hanya individu bernilai tinggi kononnya tidak wajar.
Malah MOTAC menyandarkan keputusan merombak semula program MM2H kepada data yang mengatakan terdapat penurunan sebanyak 90 peratus permohonan di bawah program ini setelah dipinda pada 2021. Maka, alasan lambakan rumah tidak terjual di serata bandar-bandar besar di seluruh negara dilihat mewajarkan kelonggaran dalam syarat program.
Saya merasa pelik membaca justifikasi ini yang disiarkan dalam berita-berita utama. Terutama setelah mengambil kira statistik yang baharu sahaja dikeluarkan oleh firma hartanah dan pelaburan IQI Global pada April lalu menunjukkan Malaysia merupakan negara Asia Tenggara kedua paling popular dalam kalangan pembeli rumah kediaman dari China pada 2023.
Benar kegawatan ekonomi global semakin dirasai. Rakyat Malaysia semakin merintih-rintih menyuarakan kesukaran yang terpaksa ditanggung beban akal memikirkan kelangsungan hidup setiap hujung bulan.
Pun begitu, adakah kerajaan yang penuh dengan bijak pandai semakin ketandusan idea apabila langkah mudah yang diambil adalah untuk berterusan menjual aset-aset negara kepada orang luar dengan harapan mereka melabur lebih banyak mata wang asing ke dalam pasaran ekonomi tempatan?
RAKYAT TERHIMPIT
Rakyat Malaysia berterusan rasa terjempit dalam pada orang luar boleh keluar masuk sewenang-wenangnya ke dalam negara dan meninggalkan seribu satu onar.
Saya mengambil contoh laporan audit ke atas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menunjukkan sebanyak RM10 juta hutang tertunggak daripada yuran pengajian pelajar antarabangsa tidak dikutip universiti itu.
Sebagai graduan UIAM, saya merasa sangat terhina memikirkan bagaimana pada masa saya belajar dulu, waima kelewatan pembayaran satu semester ditagih dan dituntut sehingga boleh digantung pengajian jika tidak dijelaskan.
Terasa seolah-olah peribahasa yang sering diulang-ulang datuk nenek kita dahulu semakin terserlah kebenarannya. ‘Anak di pangkuan dilepaskan, beruk di hutan disusukan.’ Adakah kita sebagai luncai akan menggemakan ratib ‘biarkan, biarkan’ dalam pada kita mengemis di tanah air sendiri?-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










