APABILA bercakap tentang pengamal gig di negara ini, jumlahnya bukan kecil tetapi penggiatnya sudah melebihi 1.16 juta yang merangkumi perkhidmatan e-panggilan (e-hailing), penghantaran makanan, penyewaan ruang seperti Airbnb, pencipta kandungan (content creator), termasuk penjanaan pendapatan sebagai pempengaruh (influencer) seperti YouTuber.
Ekonomi gig mula dikenali pada 2008 dan menjadi semakin popular di negara ini dan seluruh dunia akibat penularan wabak pandemik Covid-19 kesan kegawatan ekonomi dan perkembangan teknologi.
KELEMAHAN UTAMA EKONOMI GIG
Pendapatan dalam ekonomi gig boleh berubah-ubah dan tidak konsisten. Penggiat industri ini mungkin menghadapi kesulitan dalam merancang kewangan mereka kerana pendapatan yang tidak stabil.
Penggiat gig sering tidak menerima faedah seperti insurans kesihatan, cuti berbayar, atau faedah persaraan. Ini bermakna mereka perlu menyediakan sendiri perlindungan ini, yang boleh menjadi mahal dan rumit.
Kontrak jangka pendek dan projek sementara bermakna penggiat gig tidak mempunyai jaminan pekerjaan jangka panjang. Mereka mungkin mendapati diri mereka tanpa kerja apabila satu projek tamat sebelum projek lain bermula.
Penggiat gig bertanggungjawab untuk menguruskan aspek administratif perniagaan mereka sendiri, termasuk menguruskan cukai, invois, dan perakaunan. Ini boleh menambah beban kerja dan memerlukan masa serta usaha tambahan.
Penggiat gig sering kali tidak dilindungi oleh undang-undang pekerja tradisional yang melindungi pekerja tetap. Ini termasuk perlindungan terhadap pemecatan tidak adil, hak untuk mogok, dan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Dengan perlu menguruskan pelbagai projek dan memenuhi tarikh akhir yang ketat, penggiat gig boleh mengalami tekanan dan beban kerja yang tinggi. Ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mereka.
Dalam beberapa kes, penggiat gig mungkin dieksploitasi oleh majikan yang mengambil kesempatan atas kurangnya peraturan dan perlindungan undang-undang. Mereka mungkin dibayar rendah atau dipaksa bekerja dalam keadaan yang tidak adil.
Permintaan untuk perkhidmatan gig boleh berubah dengan cepat berdasarkan keadaan ekonomi, teknologi baharu, atau perubahan dalam permintaan pengguna. Ini boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam pasaran kerja gig.
Penggiat gig yang bekerja sendiri atau dari rumah boleh merasa terasing secara sosial, tanpa interaksi sosial yang biasa ditemui di tempat kerja tradisional.
Pasaran gig sangat kompetitif, banyak individu menawarkan perkhidmatan yang sama. Ini boleh menjadikan sukar bagi penggiat gig untuk menonjol dan mendapatkan projek yang cukup untuk memastikan pendapatan yang stabil.
Meskipun ekonomi gig sudah diiktiraf sebagai sumber pembangunan ekonomi baharu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025, tetapi masih banyak kelompangan berkenaan jaminan kestabilan dan kesejahteraan ekonomi ini.
Sehingga kini, masih belum ada undang-undang khusus yang menyelia dan mengawal pekerjaan bidang ekonomi gig seperti mana Akta Kerja 1955 (Akta 265).
SEGiM LINDUNG HAK PEKERJA GIG
Kawalan selia ekonomi gig yang lemah menyebabkan industri ini bagaikan bom jangka yang sedang berdetik akibat isu memanipulasi kadar upah, masalah potongan gaji pekerja, proses pengurusan cukai yang rumit serta kebajikan pekerja yang diabaikan.
Ketiadaan badan atau kumpulan memperjuang nasib penggiat ekonomi gig terutama dalam isu kekurangan perlindungan sosial dan gaji yang adil, menyebabkan pekerjaan ini dianggap pekerjaan bersifat sementara walaupun pada hakikatnya permintaan terhadap perkhidmatan seperti Foodpanda dan GrabFood semakin tinggi.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) perlu segera ditubuhkan supaya ia menjadi pusat bersepadu bukan hanya untuk membela kebajikan dan melindungi penggiat ekonomi gig, malah berfungsi sebagai mengawal selia kapitalisme digital dalam industri ini.
Dengan adanya suruhanjaya itu, penggiat ekonomi gig dapat memperbaiki status sebagai pekerja tidak formal bagi membolehkan mereka mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti dilakukan pekerja formal.
Selain itu, ia akan menyelesaikan isu dihadapi penggiat industri gig terutamanya berkenaan sistem bayaran yang lebih adil supaya nanti mungkin dapat diperkenalkan perlindungan gaji minimum buat mereka.
Ketika ini, penggiat gig memperoleh pendapatan tinggi sedikit berbanding gaji minimum, tetapi tiada kemahiran dapat dibina sepanjang bertugas yang membolehkan mereka menyertai sektor lain.
Apabila meningkat usia dan tenaga berkurangan, program reskilling harus dilakukan dan menjuruskan penggiat gig kepada bidang bersesuaian supaya dapat menjana pendapatan dan menyara keluarga.
Kita mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO kerana begitu komited membela nasib pekerja p-hailing dan e-hailing termasuk dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.
Perkara itu turut disambut baik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Perdana Menteri dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pekerja Gig akan ditubuhkan bagi melindungi hak penggiat gig yang kini sudah mencecah 1.16 juta rakyat, terutama dalam kalangan anak muda.
Masa depan ekonomi gig di Malaysia dijangkakan masih kukuh dengan jangkaan ekonomi gig yang akan membawa masuk kira-kira AS$2.7 trilion menjelang 2025 (RMK-12). Pekerjaan dalam talian yang paling pesat berkembang termasuk menulis, pengaturcaraan serta teknologi blockchain.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah meningkat dengan pesat kerana ekonomi gig membantu individu memperoleh pendapatan tambahan atau memberi pekerjaan kepada mereka yang menganggur. Sektor itu ketika ini menyumbang kira-kira 23.3 peratus kepada KDNK dan disasarkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.
Cumanya, penggiat ekonomi gig memerlukan pembelaan dan perlindungan bagi membolehkan mereka dilindungi dan diiktiraf mengikut Akta Kerja 1955.
SEGiM penyelesaian terbaik dan kerajaan pusat khususnya Kementerian Sumber Manusia perlu segera menubuhkannya bagi menyelesaikan isu-isu membabitkan penggiat dalam industri terbabit. Ini kerana mereka ini yang majoritinya anak muda bekerja sendiri dan tiada majikan. – UTUSAN
DATUK Seri Mohd. Sharkar Shamsudin ialah Pengerusi Sekretariat Kesatuan Pekerja dan Gig Ekonomi UMNO Malaysia.










