RAMAI terus mendoakan kesejahteraan negarawan terulung kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berusia 99 tahun pada 10 Julai (2024) lalu, Dr. Mahathir masih diikuti perkembangan hidupnya tanpa jemu.
Terkenal dengan tindakannya yang pantas dan berhasil semasa menjadi Perdana Menteri fasa pertama dahulu (1981 hingga 2020), beliau adalah pemikir antaranya tentang tajuk-tajuk kemanusiaan, kemiskinan, logik agama, kepentingan negara Selatan-selatan, industri berat termasuk dasar automotif negara dan nilai-nilai murni di bawah dasar Pandang ke Timur.
Masih menjadi bahan berita. Individu yang membina banyak rukun untuk menjadi legenda diiktiraf tanah airnya dan dunia.
Suatu ketika yang tidak lama – tahun-tahun 90-an dan awal 2000 – beberapa kali membuat liputan berita di luar negara, saya (penulis) kerap diajukan pertanyaan oleh rakan-rakan wartawan asing tajuk Mahathir yang sering jadi topik perbualan.
Tajuk-tajuk perbualan ini menjurus kepada ketrampilan anak Malaysia dari Kedah ini.
Sampai sahaja di lapangan terbang negara mereka, baik di Jeddah, London, Amerika, Hong Kong, Islamabad dan Australia, saya disapa oleh pegawai pasport di imigresen, “Malaysia…Mahathir…” sambil menunjukkan isyarat tangan bagus atau well done.
Apabila sahaja disebut Malaysia di luar negara, orang bertanya – Mahathir? Tanda tanya itu biasanya menjurus kepada pendirian Dr. Mahathir; kata-kata anti Zionisnya, falsafah tegasnya terhadap politik dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Palestin, hegemoni Amerika dan hal-hal berkaitan aliran kuasa negara-negara besar.
MAHATHIRISME
Mahathir menjadi Mahathirisme dalam banyak cara. Beliau mempunyai cara sendiri dalam melakukan sesuatu. Tidak ramai mempunyai kehebatan pemikiran dan kekuatan jasmani untuk mencapai apa yang beliau telah capai.
Tiada seorang pun dalam dunia moden yang masih bertugas sebagai pemimpin negara pada tahap umur 94 tahun, jauh sekali sebagai perdana menteri atau presiden sesebuah negara di peringkat umur itu.
Kepintaran berolah dan berinteraksinya memberi kepadanya dividen keganjilan dan keunikan. Langkahnya masih panjang walaupun gontai, masih mampu dan bertenaga. Paling ketara, kemampuan mindanya walaupun sendat sesekali, lantas memaparkan pemikiran masih cerdas.
Mahathir punya latar belakang hidup yang begitu sukar ditandingi. Ibarat berjalan sudah terpanjang perjalanannya. Dari sudut pengalaman, tiada lain yang setanding dengannya. Jika diukur sumbangan beliau, boleh dikatakan sebagai sebahagian besar pencapaian Malaysia hari ini.
Dan di satu sudut lain, kita wajar mengakui proses pertumbuhan semula (regeneration) berlaku begitu perlahan dalam parti-parti politik negara hari ini. Sama ada perlahan disebabkan politik Malaysia masih dan terus didominasi golongan veteran atau tua, wallahualam.
Ada mengatakan anak muda hari ini masih sukar mendaki hierarki dalam beberapa parti politik utama. Trend ini dikatakan bercanggah dengan perkembangan khususnya di Eropah. Di sana penglibatan anak muda dalam arus perdana politik, malah menaik ke hierarki makin rancak.
ELIT LAMA
Jadi, di mana silapnya? Benarkah ini semua puncanya daripada elit-elit lama yang sangat sukar melepaskan jawatan mereka?
Adakah wajar meletakkan kesalahan kepada yang senior, veteran konon pergerakan orang muda ‘tersekat’? Ya, kita masih ketandusan pemimpin muda dalam lapangan politik yang memiliki personaliti yang dimahukan. Iaitu mereka yang mempunyai kredibiliti pimpinan diterima masyarakat.
Dan ada kalangan kepimpinan mudanya pula begitu berdegar-degar. Malangnya tiada isi, indah khabar dari rupa. Khidmat bakti kepada masyarakat lebih berlegar-legar kepada penonjolan program-program klise. Yang biasa-biasa buat orang muda. Tidak tertancap dek kita.
Di situasi yang lain, ada kalangan pemimpin mudanya agresif dan popular dalam kalangan netizen, warga net atau apa sahaja istilahnya di alam maya.
Godek sini godek sana isu-isu yang menjadi bualan rakyat, akhirnya kerajaan dapat idea dan laksananya. Ibarat ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’.
Tetapi itu sewaktu mereka dalam pembangkang. Bila masuk jadi kerajaan, mereka ini sepi. Bukankah ‘jiwa sejati pembangkang’ sebelumnya jika dipraktikkan ikut saluran dan tepat jangkaannya, pasti akan bergermelapan lagi kerajaan yang disertai?
Kalau ada pun pemimpin muda yang mahu diharapkan, kurang pula pemilikan kecerdasan emosi (EQ) dan rohani (SQ) nya. Asyik membantai ‘bapa sendiri’. Habis tempias orang lain dek kegelojohan diri. Ada lompang rupanya pada kehalusan jiwa, emosi dan kesejahteraan dalam berpolitik.
Berangan-angan tinggi dimiliki pemimpin muda bukan perkara ganjil atau satu kesalahan. Malah ahli politik tanpa angan-angan tinggi bukanlah ahli politik namanya.
Dapat betis hendakkan paha, bila dapat paha hendakkan badan pula. Ini naluri manusia biasa, apa lagi dalam politik. Cuma daya dorong ini harus dikawal dengan kukuh melalui personaliti atau sahsiah berserta dengan sistem nilai berimbang.
Barangkali ada orang muda hari ini mendambakan Jacinda Ardern, Justin Trudeau atau Emmanuel Macron yang berdiri megah mengetuai negara dalam usia muda.
Ya, tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja dalam negara sendiri. Seperti mana laluan berliku, cabaran getir ditempuh Dr. Mahathir, Anwar, Musa Hitam, Hadi Awang, Muhyiddin dan ramai lagi. Semua mereka bermula dari usia muda. Pernah kecewa, merana, jatuh, bangkit semula dan berada di puncak kuasa.
Kata-kata bijak pandai berbunyi “setiap manusia ada masanya”. Jika terus konsisten berjuang, masa untuk anak muda akan datang jua.
Dan sesungguhnya Allah menentukan siapa yang beroleh kuasa memerintah. Rekod dunia sudah dipecahkan oleh Dr. Mahathir.
Rekod negara sendiri apatah lagi. Puncak sudah didaki, lurah sudah dituruni. Cuma yang tinggal untuk dicapai hari ini ialah hasrat rakyat untuk hidup dalam kemampuan dan kesejahteraan.
Bersama-samalah kita mendoakan moga Dr. Mahathir dikurnia kesembuhan dan kesihatan yang baik. – UTUSAN










