KDNK naik 5.8% bukti Kerangka Ekonomi Madani mula berhasil

KDNK naik 5.8% bukti Kerangka Ekonomi Madani mula berhasil

KERANGKA Ekonomi Madani yang memeta strategi untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara. - GAMBAR ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 17 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 (S1 2024) ialah 4.2 peratus (S4 2023: 2.9 peratus) melepasi jangkaan konsensus Bloomberg yang meletakkannya pada 3.9 peratus didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak.

Seperti ditegaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada S1 2024 membuktikan bahawa dasar kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.

“Di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh… Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI atau Indeks Komposit Kuala Lumpur) mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur-pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia,” kata beliau.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), peningkatan ini disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, peningkatan dalam pekerjaan dan gaji, serta perbelanjaan modal yang lebih tinggi. Kadar pengangguran yang rendah pada 3.3 peratus dan kadar inflasi yang terkawal pada 1.7 peratus juga menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.

Benar sekali bahawa peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar-dasar jitu kerajaan. Kerangka Ekonomi Madani, yang memeta strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara.

Berdasarkan perkembangan ini, agensi penarafan kredit antarabangsa S&P Global Ratings (S&P) mengekalkan penarafan kredit berdaulat yang bagus untuk Malaysia. S&P menyatakan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih pantas berbanding negara berdaulat yang mempunyai tahap pendapatan serupa. Fitch Ratings (Fitch) pula mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melonjak 4.4 peratus pada 2024.

Rajiv Batra, Ketua Strategi Ekuiti Asia-Pasifik di JP Morgan, dalam wawancara CNBC pada 10 Julai menyatakan JP Morgan telah menaikkan taraf Malaysia dari underweight ke neutral kerana kelajuan kemajuan yang sedang berlaku adalah mengejutkan, di mana pertumbuhan KDNK 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini menyebabkan JP Morgan menaikkan taraf Malaysia.

Pada 19 Julai pula, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024 (S2 2024), meningkat daripada 4.2 peratus pada S1 2024 serta merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 (S4 2022) yang mencatatkan 7.4 peratus.

Beliau menjelaskan, peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024. Tambahan lagi, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek.

“Bagi sektor luaran, jumlah perdagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega,” katanya.
Pencapaian ini bukan sahaja mengatasi unjuran awal, tetapi juga membuktikan kecekapan pengurusan ekonomi di bawah pimpinan Anwar. Keberhasilan ekonomi Malaysia pada 2024 tidak dapat dipisahkan daripada dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh Anwar.

Beberapa inisiatif penting yang diperkenalkan oleh beliau termasuk Kerangka Ekonomi Madani yang memetakan strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia, mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, dan mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara. Kerangka ini juga menekankan kepentingan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada kemakmuran ekonomi.

Belanjawan Madani Kedua (2024) pula menekankan pengurusan kewangan yang berhemat dan memastikan kebajikan golongan rentan kekal terpelihara. Langkah-langkah ekonomi yang digariskan dalam belanjawan ini telah berjaya merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal domestik.

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang diperkenalkan pula menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Pelaburan dalam sektor tenaga dan perindustrian juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh asas ekonomi negara.

Seperti dijelaskan oleh Anwar, unjuran pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus pada S2 2024 ini adalah petanda bahawa negara telah berjaya memecah ‘tembok kerungsingan’. Pertumbuhan ini memang merupakan angka yang luar biasa, di luar daripada unjuran yang dikemukakan semua pihak.

Ia adalah bukti bahawa jika diberi masa, segala kebaikan daripada dasar-dasar reformasi ekonomi yang diperkenalkan oleh beliau yang sebahagiannya menimbulkan keributan dan kerisauan dalam masyarakat seperti pengenalan beberapa cukai baharu, rasionalisasi subsidi dan Polisi Gaji Progresif (PWP) sebenarnya akan membolehkan Malaysia bangkit sebagai negara gagah.

Ini selari dengan pujian Rajiv Batra ke atas kerajaan dengan menyatakan bahawa JP Morgan melihat kerajaan Madani melaksanakan walk the talk dalam tempoh pemerintahan ini, di sebalik tentangan, telah meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar.

Dengan komitmen berterusan terhadap reformasi ekonomi dan pengurusan kewangan yang berhemat, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat untuk masa hadapan. – UTUSAN

MUHAMMAD Akmal Ilham ialah Presiden Persatuan Pelajar Perakaunan dan Kewangan di UCSI University dan Ketua Bendahari Majlis Pelajar UCSI University.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN