Himpunkan mimpi indah di Nenggiri

Himpunkan mimpi indah di Nenggiri

PENGUNDI Nenggiri beruntung kerana mendapat peluang untuk menghantar isyarat tentang selera, aspirasi serta persepsi mereka terhadap kancah politik semasa negara. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN raya menguji kebijaksanaan memilih, sama ada menempah untung atau mengekal rugi. Soal pokok ialah sejauh mana parti serta calon yang dipilih itu benar-benar mampu memikul mandat dan dapat menterjemahkan tanggungjawab selari yang diharapkan rakyat.

Kekuatan parti biar disandar pada latar belakang bukti (track record) keberkesanan, manakala aspek calon perlu dilihat pada wibawa dan tenaga yang ‘segar’.

Malang jika mengulangi kesilapan. Menyesal kemudian tidak memberi pulangan. Justeru, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pertengahan Ogos ini perlu lebih hati-hati dalam membuat pilihan.

Pada suatu sudut, pengundi di sana sebenarnya beruntung kerana mendapat peluang untuk menghantar isyarat tentang selera, aspirasi serta persepsi mereka terhadap kancah politik semasa negara.

Kawasan DUN Nenggiri terletak agak di pedalaman Kelantan. Namun, jangan remehkan (underestimate) pendirian pengundi tempatan dalam membuat pilihan. Mereka pernah memilih parti yang menerajui kerajaan Persekutuan dan ada ketika mereka cuba berada di bawah gabungan parti yang memerintah negeri. Ertinya, penduduk Nenggiri sudah dapat mengukur di bawah parti mana lebih berupaya melaksanakan perubahan, atau parti mana yang sekadar boleh melaung slogan dan menabur janji retorik menyedapkan perasaan.

Penduduk mesra dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), kenal dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dua agensi pembangunan wilayah kerajaaan Persekutuan yang sekian lama ditumpangi faedah dan kemajuan.

Turut berada bersama masyarakat di sana termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Pihak Berkuasa Pekebun-Pekebun Getah (Risda), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM). Malah, dilihat secara umumnya, bukan sukar bagi rakyat Gua Musang memperakui pihak mana memainkan peranan utama memajukan kawasan berkenaan sejak lama dahulu.

Jadi, tidak hairanlah, apabila ada pihak menyebut tentang Gua Musang berpontensi menjadi pusat perkembangan kemajuan wilayah Kelantan Selatan yang terkemuka. Lalu ada pula pihak seolah-olah secara spontan terus bertanya balik, “Baharu nak sebut tentang potensi? Pada hal Gua Musang sudah lama berkembang maju di bawah kelolaan dan kendalian agensi-agensi Persekutuan di sana.

Tidak cukup di situ, ada lagi pihak yang menambah, “Kalau setakat tahu menyebut tanpa perancangan dan tindakan, apa sangat kesannya?”. Rupa-rupanya semakin ramai sudah dapat membezakan prestasi di antara parti-parti politik apabila diberi mandat atau kemenangan. Bermakna, tidak sukar bagi pengundi Nenggiri membuat pilihan pada PRK terdekat ini.

FAKTOR UNDI
Kerajaan Kelantan mendominasi 43 dari 45 kerusi di DUN. Keputusan pada PRK Nenggiri mungkin dianggap tidak memberi kesan besar. Namun, terdapat beberapa faktor yang boleh mendorong pengundi menentukan haluan tersendiri dalam membuat pilihan. Pertama mungkin untuk menambah sekurang-kurangnya satu lagi kerusi yang boleh bertindak sebagai pembangkang.

Pengundi mungkin mahu menghantar isyarat bahawa mereka lebih senang dan bersedia bersama DUN untuk menggalas memajukan Gua Musang dengan lebih pesat.

Mereka mungkin mahu memperlihatkan kecenderungan tersirat dalam meletakkan halu tuju politik demi membina kestabilan dan kemakmuran negara secara berpanjangan.

Mesej mudah yang boleh dibaca nanti, bahawa penduduk Nenggiri lebih yakin dan senang menghala-arah, memberi sokongan moral kepada parti yang bersama dalam gabungan pemerintahan di peringkat Persekutuan.

Pun, mungkin ada semacam isyarat yang bakal dibuat oleh pengundi bahawa jangan ada pihak yang semudah menyangka mana-mana PRK hanya boleh memihak kepada mereka. Apa yang penting, pengundi perlu dapat membuktikan mereka lebih tahu menentukan hala tujuan jelas selari dengan trend politik semasa. Mereka perlu berupaya mengelakkan diri dari mudah terkeliru dan terpegaruh dakyah yang merugikan. Masa yang terlalu berharga, perlu diisi dengan agenda memajukan negara dan membela kebajikan rakyat.

Lebih silap jika pengundi mudah terpengaruh dengan ‘pemain-pemain yang sudah dibuang padang’. Kelihatannya, pada musim PRK Nenggiri itu, awal-awal lagi sudah ada pihak yang bagaikan ‘kehilangan arah’ merayau di kawasan itu untuk seolah-olah ‘berkempen’.

Peliknya, untuk apa mereka merayau sedangkan bukan berpijak pada mana-mana jenama parti politik pun tetapi mungkinkah sekadar mahu mengacau suasana atau semata-mata mahu melangsai dendam terhadap parti-parti tertentu? Jika demikian niatnya tentu boleh disifatkan tindakan mereka itu sebagai ‘silap gelanggang’.

Kata sesetengah orang, gambaran keyakinan ada kala boleh dilihat pada setiap gerak langkah mengatur kerja. Misalnya, ada parti lebih awal lagi dapat menamakan calon untuk bertanding. Langkah itu dilihat sebagai manifestasi suasana harmoni tanpa banyak masalah di dalam sesebuah ‘rumah tangga’. Hal ini tentu dilihat berbeza dengan pihak yang terpaksa memakan masa untuk membuat pilihan.

Apa pun, memilih biar bijak, menilai jangan terkeliru. Berpijak pada yang pasti, menelusuri perjalanan sejujur hati. Semoga impian menjadi kenyataan.-UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN