DULU mana ada media sosial. Tahun-tahun 1980an dan awal 90an kalau hendak cari alamat rumah, punyalah jenuh bertanya orang sana sini untuk sampai ke destinasi. Apa lagi jika yang dicari itu kawasan pinggir bandar, hujung kampung, terpencil dan pedalaman. Tetapi hari ini waze atau google maps sahaja, sampailah anda ke destinasi dituju.
Kalau sembang pasal bab yang lagi teruk iaitu isu moral, adab atau akhlak, lagi menakutkan. Klik sahaja laman web yang menjijikkan itu akan dapatlah apa yang dicari. Bersepah web-web pornografi ini. Amat membimbangkan.
Itu belum lagi Youtube yang menyiarkan cara-cara merekacipta senjata berbahaya, termasuk bahan berasid, bom petrol (molotov cocktail) dan bom tangan. Google sahaja akan terpampang depan mata.
Hari ini mendidik anak bukan tugas mudah buat ibu bapa. Anak yang kelihatan baik di rumah tidak semestinya baik juga di luar rumah. Jangan terlalu mempercayai anak sehingga anda menidakkan pendapat orang lain. Setiap rumah tangga dan isi rumah pasti ada sisi terang dan gelap dalam soal mendidik anak-anak.
Di satu sudut lain, jika kita ada sikap `jaga tepi kain orang lain’ dalam perkara tertentu, ia amat mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Kalau tiada sikap begini, pihak tertentu boleh buat sewenang-wenangnya.
Ungkapan ‘jaga tepi kain orang lain’ ini biasanya akan cuba dielakkan. Atas alasan tidak mahu mengganggu ruang peribadi orang lain. Namun ada kebaikannya mengikut situasi tertentu. Jika ada seorang budak sedang dibuli rakan-rakannya tetapi orang sekeliling atau masyarakat tidak ambil peduli langsung atas alasan `bukan anak atau adik beradik aku yang kena buli, biarlah, malas masuk campur”, akibatnya tentu harulah. Tetapi jika kita lebih sensitif, sudah pasti perbuatan buli itu akan dileraikan.
SUMBANG MAHRAM
Dan barangkali ketika catatan ini dinukilkan, ada insiden sumbang mahram sedang berlaku di luar sana. Mangsanya mungkin seorang gadis sunti yang belum mengerti apa-apa. Umurnya 12 tahun, sembilan atau lapan barangkali. Masih mentah dan diselubungi ketakutan saban hari. Inses – perbuatan zina dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa.
Kebiasaannya jenayah ini melibatkan pelakunya bapa kandung dan diikuti bapa tiri. Lain-lain penceroboh ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram ini terjadi di rumah mangsa.
Pernah terjadi seorang remaja berusia 13 tahun menjadi mangsa rogol bapa dan datuknya sendiri di sebuah negeri. Perbuatan kejam itu berlaku selama lima tahun. Bayangkan dalam usia semuda lapan tahun lagi remaja itu sudah diratah dua lahanat itu. Pasti sekali masih ada kes seumpamanya sedang terjadi.
Kaum ibu terutamanya harus peka dengan keselamatan anak-anak gadis mereka.
Apabila anak gadis sunti mahu bermalam di rumah bapa saudara pada musim cuti sekolah, sepatutnya perlu ada rasa cuak dalam diri. Kalau keluarga bapa saudara pun ada anak lelaki bujangnya, macam mana?
Jangan pula dikatakan ini cubaan mahu merenggangkan hubungan silaturrahim adik beradik. Sebabnya dalam dunia hari ini yang dilingkungi gajet yang merata bahan lucah di dalamnya, apa sahaja boleh berlaku.
Kadang-kala di malam hari waktu anak gadis sunti kita tidur dalam bilik, tidak diketahui apa yang dipakainya. Mungkin `terselak sana sini’. Dan waktu itulah si bapa saudara atau anak bujangnya tiba-tiba `berada di waktu dan tempat yang salah’.
PERANAN KAUM IBU
Jadi, tidak salah buat bising wahai kaum ibu kepada anak gadis. Kalau hendak sangat bermalam, angkut sekali anak beranak, bapa maknya sekali.
Asingkan juga tempat tidur anak lelaki dan perempuan seawal usia tujuh tahun lagi. Maksud pisah tempat tidur ini yang paling tak boleh adalah berkongsi selimut. Kalau rumah sesempit mana pun, pastikan anak perempuan tidur dalam bilik.
Orang perempuan kena bising-bisinglah sikit. Orang lelaki atau si suami ini biasanya sibuk mencari rezeki. Ada yang buat lebih dua kerja atau out station untuk cari wang lebih. Jadi, di sinilah peranan kaum ibu.
Kalau balik beraya pun di kampung yang sampai enam, tujuh keluarga sekali harung tinggal di dalamnya, dengan rumah kampung itu sempit dan tidak berbilik, elok sahaja keluarga yang ada anak perempuan sewa bilik hotel.
Perjelaskan baik-baik kepada orang tua kita sebab musabab mengapa menginap di hotel. Barangkali kedengarannya agak ‘ekstrem’ sehingga tidak ambil peduli perasaan orang tua. Tetapi kalau bilik mandi atau bilik tidur di kampung pun tidak berpintu, maka apalah sangat difikirkan soal menjaga hati atau perasaan orang tua.
Mangsa perlu melaporkan kejadian inses ini. Kalau tidak dilaporkan, ia akan lenyap begitu sahaja sehingga pelakunya bebas beraksi. Pihak berwajib bantulah mereka ini yang malu dan tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.
Dan ibu-ibu di luar sana, ajarlah anak perempuan anda dari kecil lagi mengenali diri sendiri, tempat sulit dan bercerita jika ada sesiapa berlaku tidak sopan dengannya.
Hari ini kita dikejutkan dengan banyak insiden dan kes melibatkan moral dan akhlak dalam kalangan anggota masyarakat. Puncanya dari kisah percintaan, masalah rumah tangga main kayu tiga dan perceraian sehingga terjadi kes-kes pembunuhan tragis dan menyedihkan.
Menjaga anak zaman ini suatu tugas dan tanggungjawab getir kepada ibu bapa.
Pulihara adab sopan santun tradisi Melayu, insya-Allah diiringi doa dan keberkatan dari-Nya , urusan kita akan dirahmati dan dipermudahkan. – UTUSAN










