PENUAAN ialah suatu proses normal yang dilalui oleh setiap individu. Menurut Jabatan Perangkaan pada 2019, Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2030 dengan kadar 15 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Meniti usia emas pastinya memberi pelbagai rasa dalam kalangan bakal-bakal pesara. Ada yang tidak sabar untuk menempuh era persaraan kerana telah lelah dengan kesibukan bekerja selama ini namun masih ada yang tidak bersedia untuk menjalani kehidupan persaraan.
Menelusuri fasa penuaan, pesara pasti akan mengalami beberapa perubahan fisiologi, psikologi, sosial dan kesihatan.
Warga emas mahupun pesara walaupun dikatakan seorang yang berpengalaman menempuhi cabaran hidup seiring dengan peribahasa ‘orang tua lebih dahulu makan garam namun tetap tidak terlepas daripada mengalami masalah tekanan perasaan sehingga menyebabkan kemurungan.
Pakar Perunding Kanan Perubatan Geriatrik, Prof. Madya Dr. Tan Kit Mun menyatakan bahawa sekitar 20 peratus warga emas di negara ini mungkin mengalami kemurungan. Antara faktor penyumbangnya ialah kesihatan dan terputus hubungan sosial yang sihat.
Kesihatan melibatkan penjagaan diri khususnya daripada segi pengambilan makanan yang tidak seimbang boleh menjurus kepada masalah kesihatan seperti diabetis, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan juga kanser.
Manakala, pemakanan yang seimbang dengan gaya hidup sihat seperti rutin senaman dan tidak merokok turut menyumbang kepada kesihatan yang baik sepanjang persaraan.
Hubungan sosial yang sihat juga ialah satu kemestian bagi pesara yang berkeluarga kerana pergaulan sosial yang sihat bermula dari rumah. Hasil didikan yang baik akan melahirkan generasi yang menghormati serta menyantuni ibu bapa. Batas-batas pergaulan hendaklah dijaga apabila berkomunikasi dengan adik-beradik, saudara-mara, ipar-duai termasuk juga menantu.
Di usia persaraan, pesara akan lebih berinteraksi dengan ahli keluarga dan tekanan boleh timbul sekiranya berlaku konflik dalam kalangan ahli keluarga. Salah satu contoh pergaulan sosial tidak sihat adalah apabila sering kedengaran mengenai masalah mentua dengan menantu yang tidak sefahaman. Konflik ini boleh memberikan tekanan dan boleh menjejaskan emosi pesara.
Pentingnya, sikap toleransi dan berkomunikasi secara efektif agar ahli keluarga baharu dapat merasa dirinya diterima dalam keluarga pesara dan sekali gus memberi ketenangan emosi kepada pesara.
Suatu kajian yang dibentangkan pada 1999 oleh Dr. Moen dan Jungmeen Kim, mendapati persaraan memberi tahap kepuasan yang berbeza kepada pasangan suami isteri terutama sekiranya pasangan ini bersara pada jangka waktu yang berbeza.
Wanita yang baharu bersara juga lebih cenderung mengalami kemurungan berbanding mereka yang telah atau belum bersara, terutama sekiranya suami masih bekerja. Persediaan awal sebelum menjalani persaraan amat penting terutamanya penjagaan kesihatan mental. Masalah akan timbul apabila mereka gagal menyesuaikan diri dengan kehidupan di usia tua.
Kesihatan mental yang merosot boleh mengakibatkan pesara mengalami kemurungan, kebimbangan atau dimensia. Perubahan ini memberikan kesan yang amat kuat dalam diri seseorang warga emas. Ia berlaku akibat daripada penurunan kemampuan fizikal, kognitif dan psikologi.
Fenomena ini akan menjejaskan hubungan sosial dengan masyarakat setempat, anak- anak dan ahli keluarga lain. Impaknya akan membuatkan mereka tidak lagi cergas, enggan bergiat dalam masyarakat, kurang keyakinan diri, berasa diri lemah dan perlu bergantung harap kepada orang lain.
Sindrom sarang kosong (empty nest) akan menyelubungi warga emas apabila mereka keseorangan. Semestinya menginjak ke usia 60 tahun pelbagai penyakit mula mendatangi tubuh kita.
Namun, masih ramai juga dalam kalangan warga emas yang masih sihat jasmani dan mampu melakukan aktiviti sihat diusia emas. Rutin senaman yang dibentuk sejak muda dan terus diamalkan menjadikan warga emas ini sentiasa cergas untuk melakukan aktiviti sihat.
Selain itu, melibatkan diri di dalam pelbagai aktiviti sukarelawan juga dapat membantu mengurangkan tahap kemurungan. Menurut pakar psikologi dari Michigan State University, Prof. Norman Abeles, mereka yang kekal aktif selepas bersara dengan pelbagai bentuk aktiviti seperti kerja-kerja berpersatuan, kebajikan, meneruskan pengajian dan sebagainya merupakan mereka yang gembira dengan kehidupan selepas persaraan. Penglibatan ini turut membantu di dalam memastikan kesihatan mental warga emas sentiasa terjaga.
Dalam menjalani kehidupan yang lebih baik, pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk merehatkan atau menenangkan diri. Salah satunya ialah teknik relaksasi. Terdapat beberapa teknik relaksasi yang boleh diamalkan seperti latihan pernafasan, urutan bahu, leher dan kaki, terapi muzik, relaksasi otot dan aromaterapi.
LATIHAN
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) selaku peneraju pembelajaran sektor awam dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam turut menyediakan wadah latihan kepada bakal pesara agar mempunyai persediaan psikologi sebelum persaraan.
Pelbagai kemahiran dan teknik dikongsikan agar bakal pesara boleh membuat persediaan mental untuk menjalani hari persaraan yang mempunyai cabarannya tersendiri.
Semua Ketua Jabatan dimohon agar memastikan bakal pesara di agensi masing-masing mempunyai persediaan persaraan yang antaranya melibatkan persediaan mental dan psikologi kerana persediaan sebelum bersara sangat penting bagi menjamin kelestarian persaraan kelak.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pegawai Tadbir, Unit Latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










