UPACARA mengangkat sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 31 Januari lalu sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 tentunya menggamit kenangan kita akan fasa pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Johor yang menjadi YDPA ke-8, 40 tahun lalu dan menariknya kerana ‘Perkara 40’ Perlembagaan Persekutuan jugalah yang menjadi punca kuasa kepada institusi YDPA.
Demikianlah keunikan negara kita ini apabila jawatan YDPA digilirkan dalam kalangan sembilan Raja-raja Melayu yang mana pusingan pertama disempurnakan pada 1994 dengan berakhirnya pemerintahan YDPA ke-9, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Yang di-Pertuan Agong mengangkat sumpah di atas nama Allah sebagai ketua negeri dan negara sebanyak dua kali iaitu yang pertama ‘Sumpah Kerana Raja’ menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 sebagai raja pemerintah Johor pada 23 Januari 2010 di Istana Besar Johor Bahru dan yang kedua ‘Sumpah Bagi Yang di-Pertuan Agong’ menurut Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan pada 31 Januari lalu di Istana Negara.
Di dalam kedua-dua sumpah ini terdapat dua elemen sama yang kini berada di atas tonggak YDPA iaitu memelihara kesucian agama Islam dan menjalankan pemerintahan yang adil.
Justeru, tidaklah menghairankan apabila baginda turut murka apabila terdapat pihak yang tidak menghormati agama Islam dengan menjual stoking tertera kalimah Allah di pasaran. Baginda mahu tindakan undang-undang diambil terhadap pesalah dan menggesa semua pihak mempunyai kepedulian dengan sensitiviti agama agar masyarakat majmuk terus hidup dengan aman damai.
Baginda tegas mempertahankan kesucian kalimah Allah dan ia dimanifestasikan dengan beberapa titah menegaskan akan sempadan penggunaan kalimah Allah khusus untuk umat Islam selari dengan fatwa Johor dan tidak mahu kalimah itu digunakan agama lain tanpa kebenaran undang-undang.
Tidak terhenti di situ, sebagaimana kaum lain diminta menghormati agama Islam begitulah juga baginda mahukan umat Islam menghormati agama lain selagi ia berada di dalam sempadan yang dibenarkan.
BUKAN SEKADAR SIMBOL NEGARA
Peranan institusi YDPA kini tidak lagi hanya menjadi simbol negara tetapi jauh berperanan memastikan negara kekal stabil khususnya apabila berlakunya gelombang dalam arena politik. Menjadi lebih signifikan kerana YDPA menurunkan kuasa eksekutif kepada jemaah menteri, kuasa legislatif kepada parlimen dan kuasa kehakiman kepada judisiari.
Oleh sebab pentingnya peranan YDPA, Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sungguhpun YDPA dalam banyak keadaan perlu mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri atau Jemaah Menteri namun YDPA berhak untuk mendapatkan apa-apa maklumat berkaitan pemerintahan Kerajaan Persekutuan.
Elemen kedua dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan itu memberikan kuasa luas kepada YDPA untuk mendapatkan maklumat pemerintahan kerajaan dari mana-mana pihak yang dititahkan baginda. Tiada sekatan perlembagaan yang menghalang YDPA untuk meneliti hal ehwal pemerintahan Kerajaan Persekutuan.
Walaupun banyak pandangan dibuat soal sama ada YDPA wajib mengikut nasihat eksekutif dalam tindakannya, namun Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa budi bicara kepada YDPA dalam hal pelantikan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen, Mesyuarat Majlis Raja-raja, kuasa pengampunan sebagaimana Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa darurat sebagaimana Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
DENYUT NADI RAKYAT
Menyusuri pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim sebagai sultan dan raja pemerintah bagi Johor Darul Ta’zim sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 2010, tidaklah keterlaluan jika disimpulkan harapan rakyat bak rendah gunung, tinggi harapan untuk melihat institusi YDPA ini tidak hanya sebagai ketua negara dalam hal ehwal pemerintahan malahan juga menaungi kehidupan setiap rakyat.
Negara kita menyaksikan pertabalan YDPA ke-17 dalam keadaan di mana lanskap ekonomi dunia kian berubah. Adalah bersesuaian dengan ketokohan Sultan kelima Johor Moden ini ditabalkan sebagai Ketua Negara di samping DYMM Raja Zarith Sofiah, graduan dari Sommerville College, University of Oxford yang boleh menguasai banyak bahasa sebagai Raja Permaisuri Agong.
Tentunya kita sebagai rakyat tertunggu-tunggu apakah program popular bersama rakyat iaitu Kembara Mahkota Johor yang diilhamkan baginda sejak 2001 akan menjadi Kembara Mahkota Malaysia bagi membolehkan baginda terus menyelami denyut nadi rakyat di seluruh pelosok negara.
ILMU PEMERINTAHAN
Selok belok ilmu pemerintahan telah baginda lalui semasa memerintah Johor. Baginda mahir dalam pelbagai disiplin ilmu dan tidak mudah untuk mana-mana pihak memberikan pandangan tanpa mengkaji terlebih dahulu cadangan yang dipersembahkan.
Dek kerana kemahiran dan ketelitian dalam ilmu pentadbiran itulah, Bangsa Johor hidup aman damai seperti serumpun bak serai, sesusun bak sirih meraikan kepelbagaian silang budaya antara kaum.
Bagi memastikan ekonomi Johor bergerak pantas seiring dengan jiran seberang tambak, Singapura, baginda prihatin dalam menyediakan segala kemudahan mesra pelabur.
Projek pengangkutan RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor dan Woodlands North di Singapura adalah pemangkin kepada fasa baharu pembangunan Johor Bahru dan Johor.
Tidaklah keterlaluan jika disimpulkan peranan baginda sebagai Raja Pemerintah Johor menjadikan pelabur luar lebih yakin dengan kestabilan Johor walaupun berlakunya pertukaran beberapa Menteri Besar dalam tempoh singkat.
Istiadat pertabalan YDPA ke-17 semalam tentunya membuktikan lagi institusi YDPA dan Raja-raja Melayu akan kekal menjadi tonggak utama negara. Ini selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap ‘kuasa tersimpan Raja-raja Melayu’ secara khususnya berkaitan kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa yang disebut dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Ikbal Salam ialah Peguambela dan Peguamcara.










