ZAMAN kecerdasan buatan (AI) hari ini persaingan hidup bukan lagi berdasarkan siapa yang paling gagah tetapi siapa yang mempunyai otak paling bergeliga atau pintar.
Seperti dialog filem Tan Sri P.Ramlee, bergeliga sampai boleh bikin batu cincin.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan data, 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan yang dianggap ujian paling penting sebagai transisi pengajian sekolah menengah ke institusi pengajian tinggi.
Walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk meneliti perkara tersebut namun isu yang tercetus perlu dicari jalan penyelesaiannya.
Adakah 10,160 individu yang terlibat mempunyai persepsi SPM tidak mampu mengubah nasib mereka? Apakah mereka mempunyai pandangan yang kejayaan bukanlah bergantung kepada sehelai sijil tetapi kemahiran diri dan minda yang diupayakan oleh teknologi aplikasi dunia maya serta maklumat tahap tinggi?
Kesemua persoalan ini hanya boleh dijawab oleh tuan badan itu sendiri.
Adakah mereka melihat wujud kerjaya lain yang mampu memberi mereka pulangan lumayan tanpa perlu memerah otak di dewan peperiksaan?
Dewasa ini, sememangnya wujud kerjaya yang tidak memerlukan sijil seperti SPM yang boleh menjana ekonomi. Kewujudan kerjaya sebagai penghantar makanan, barangan mahupun pembeli barang secara peribadi dilihat oleh generasi muda sebagai ekonomi gig iaitu aktiviti mencari nafkah hidup era baharu.
Mereka menganggap aktiviti ekonomi berdasarkan aplikasi internet benda (IoT) sebagai sesuatu yang boleh diceburi tanpa perlu melengkapkan persekolahan tingkatan 5 dengan SPM.
Perkembangan ekonomi gig itu sendiri seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang memanfaatkan kemajuan teknologi seiring dengan pembangunan Malaysia Madani berteraskan kualiti hidup menekankan nilai-nilai murni.
Oleh itu ia bukanlah perkara yang pelik jika generasi muda didapati lebih cenderung kepada ekonomi gig berdasarkan kebolehan mereka untuk mengendalikan teknologi tinggi bagi menjayakan ekonomi terbabit.
Ekonomi gig itu sendiri berdasarkan perkembangan semasa dijangka kekal berada di dalam pasaran dalam suatu tempoh tertentu dan akan menjadi sebahagian daripada model ekonomi yang wujud di saat kritikal seperti era pandemik Covid-19.
Apa yang lebih menarik golongan muda ke dalam sektor ekonomi gig, ia tidak meletakkan syarat ketat iaitu seseorang individu mempunyai kemahiran atau kelayakan akademik yang khusus.
Perkara utama, seseorang yang terlibat dalam ekonomi gig perlu celik teknologi maklumat (IT) dan memahami arahan di dalam aplikasi yang mereka jadikan rujukan untuk melaksanakan tugasan mereka.
Jika perkara tersebut dikuasai, mereka pasti akan mampu bergerak untuk menghantar pesanan makanan mahupun barangan tanpa pengawasan penyelia yang bengis dan tegas.
Boleh dikatakan bekerja dalam ekonomi gig membolehkan mereka mencari duit tanpa dikongkong oleh manusia yang bersifat berubah ‘angin’ hingga mengganggu tumpuan kerja.
Inilah faktor utama, generasi muda mahupun golongan berumur selesa bekerja mengumpul wang sebagai penghantar makanan atau pemandu e-hailing.
Kerja tanpa perlu terikat dengan kemahiran akademik yang diperoleh semasa di sekolah menengah sememangnya menjadi impian semua orang terutama anak muda.
Istilah kita boleh berjaya tanpa sijil, seakan menjadi kata-kata motivasi untuk golongan muda memburu banyak A dalam SPM.
Tambahan pula, era ini adalah zaman ramai pempengaruh boleh menghasilkan jutaan ringgit melalui penjualan produk dengan promosi kendiri di dunia maya.
Ada juga pempengaruh meraih ribuan ringgit dengan menghasilkan ‘kandungan’ yang menarik minat netizen memberi hadiah bernilai ribuan ringgit dalam satu malam bersiaran.
Sememangnya dalam usia muda, orang tua sama ada ibu bapa, guru dan saudara-mara berperanan untuk memberi panduan kepada anak muda memilih jalan terbaik untuk mereka menceburi bidang penciptaan kandungan, akademik mahu pun belajar kemahiran di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam usia menjengah lebih setengah abad, saya pernah bekerja dalam pelbagai bidang selepas SPM daripada membasuh pinggan, pembantu makmal, kerani jabatan kerajaan, peguam, usahawan hingga kini menjadi penulis sepenuh masa.
Perkara paling utama bukanlah jumlah sijil atau ijazah tetapi menggunakan segala kemahiran dan ilmu yang menjana ekonomi untuk mencari nafkah keluarga agar pelajaran dan keperluan hidup anak-anak dan isteri mencukupi setiap hari.
Walaupun ada yang mengatakan pendapatan tinggi hasil kelulusan akademik hingga peringkat Doktor Falsafah (PhD) menjamin kemajuan hidup, sebenarnya kebijaksanaan mengawal perbelanjaan mengikut pendapatan sewajarnya menjadi pegangan generasi muda hari ini.
Soalnya di mana ilmu untuk mengawal ekonomi diri dan keluarga boleh diperoleh jika bukan di sekolah mahupun di universiti.
Maka sewajarnya secara mandatori kesemua generasi muda menghabiskan sekolah menengah dengan mendapat SPM bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan generasi sebaya dan lebih muda daripada mereka pada masa depan.
UBAH NASIB
SPM perlu dijadikan titik tolak untuk setiap individu di negara ini merubah nasib sebagai insan yang mempunyai kelulusan akademik, bukannya mengalah sebelum berjuang di meja peperiksaan SPM yang diduduki majoriti remaja berusia 17 tahun.
Pihak berkuasa sewajarnya mengesan keberadaan 10,160 individu yang tidak mengambil SPM tersebut, sama ada mereka sudah mempunyai kerjaya kukuh atau wang berlipat-lipat di atas siling.
Jika perkara tersebut tidak dilakukan, golongan ini perlu disantuni sama ada dibenarkan menduduki SPM 2024 atau dimasukkan ke dalam pusat TVET atau diberi kemahiran AI yang bakal menjadi sumber ekonomi terbaharu mutakhir ini.
Dalam menuju zaman teknologi maklumat dan AI yang semakin canggih, bukan sahaja SPM perlu diduduki malahan generasi muda perlu memiliki sebanyak mungkin sijil bagi memastikan mereka tidak terpinggir dan tidak relevan dalam gelombang ekonomi yang ganas hari ini.-UTUSAN










