KENAPAKAH pembangunan mampan diberi keutamaan dan fokus yang begitu besar? Apa untungnya melaksanakan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sedangkan banyak perubahan perlu dilakukan termasuk dari sudut dasar dan undang-undang?
Itulah antara soalan yang diutarakan setiap kali perbincangan berkaitan pembangunan mampan. Ada yang menganggap kemampanan sebagai agenda pengaruh luar dan ada pula mengandaikan ia sebahagian daripada agenda untuk mengalih pandangan – bukan sekadar indah khabar daripada rupa, tetapi berkemungkinan ada udang di sebalik batu. Nilai-nilai kemampanan ini dianggap seolah-olah terlalu asing kepada kita semua selama ini.
Justeru, kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa prinsip-prinsip kemampanan begitu seiring dengan nilai-nilai teras Islam amat menarik minat saya untuk menaakul ucapan beliau bagi memahami perkara ini dengan lebih mendalam serta mengambil iktibar daripadanya.
Tambah beliau lagi, nilai-nilai ESG ini sebahagian integral dalam maqasid syariah iaitu tujuan syarak atau undang-undang Islam. Ini begitu penting dalam mencapai matlamat sosial dan ekonomi Islam, matlamat bersama serta dalam memberi manfaat kepada kesejahteraan manusia sejagat.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucaptama pada Persidangan Kebangsaan ESG 2024 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dengan tajuk, Sudut Pandangan Perundangan Etika: Dampak dan Peluang, persidangan ini mengumpulkan barisan ahli-ahli panel yang pakar dalam bidang masing-masing termasuk para hakim, peguam serta tokoh-tokoh industri, kewangan dan akademik.
Banyak ilmu yang saya dan kakak peroleh sepanjang kami bertugas sebagai pengacara majlis dalam persidangan dua hari itu. Sebagai mahasiswa, pengalaman berada di dalam majlis sebegini amatlah berharga kerana kami berpeluang mendengar kupasan tentang hal-hal yang berlaku dari sudut pandangan pakar-pakar yang terlibat secara langsung di lapangan dalam bidang ini.
Walaupun pembangunan mampan amat penting demi kesejahteraan warga bumi, namun malangnya, masih banyak suara-suara yang memperlekehkan, malah menentang pemerkasaan amalan baik ini. Mungkin masih ramai yang gagal melihat kepentingan kemampanan dalam pembangunan kita.
Mereka merungut tentang masalah sosioekonomi, kesihatan dan keadilan, namun pada masa yang sama, mengkritik dan mempolitikkan langkah-langkah yang diambil ke arah menangani masalah ini.
Sememangnya, melakukan perubahan besar ialah sesuatu yang sukar dan sangat mencabar. Apatah lagi jika perubahan yang ingin dilakukan itu melibatkan perubahan sikap orang ramai pada skala yang besar serta memerlukan pelaburan modal.
Walaupun matlamatnya penting demi kesejahteraan dunia sejagat, tetapi bukan semua orang boleh bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima atau melakukan perubahan. Ada yang benar-benar serba salah, lalu hangus, surut layu.
Tambahan pula apabila konsep kemampanan dianggap sebagai satu idea baharu dan tidak difahami oleh orang ramai. Dalam keadaan ini, ada yang mengambil kesempatan untuk tambah mengelirukan lagi orang ramai demi mencapai tujuan tertentu.
Pihak yang terpedaya akan menyokong tanpa cuba memahami hal yang sebenar. Akibatnya, suara bantahan semakin kuat, lantas ada yang mendakwa dana yang digunakan bagi tujuan ini merupakan satu pembaziran dan sepatutnya digunakan untuk urusan lain yang jauh lebih penting.
Bagi mereka yang tamak dan rakus menjarah kekayaan alam, sudah tentu mereka mahu terus bebas melakukan apa sahaja tanpa dikekang oleh undang-undang. Maka, pastilah mereka menolak pelaksanaan menguatkuasakan amalan sebegini.
Soal memelihara alam sekitar dan amalan tadbir urus dan sosial mampan bukanlah hal asing bagi kami adik beradik. Sejak kecil, kami telah didedahkan tentang ini dan kami dididik bahawa tanggungjawab setiap daripada kita kepada Allah adalah untuk menjaga bumi ini, tidak kira dari segi persekitaran mahupun sosial.
Kami dididik berkenaan konsep khalifah di muka bumi, yang mana kita semua harus menjadikan diri kita baik, membantu orang lain untuk turut bersama menjadi baik dan juga menjadikan persekitaran fizikal turut sama baik. Hal ini merentasi cabang-cabang ESG dan mengetengahkan tujuan sebenar kemampanan, iaitu untuk membawa kebaikan.
Maka, kami sangat teruja apabila mendapati tajuk persidangan kali ini amat bertepatan dengan minat kami berdua. Kami bukan hanya dapat belajar apa yang dapat dan patut dilakukan dari sudut perundangan, tetapi juga mendengar perjuangan mereka di bidang perbankan, akademik dan industri bagi memperkasakan perihal ini.
Di antara membaca teks dan mendengar penerangan daripada mereka yang bekerja di lapangan tentulah jauh bezanya. Kami bukan sekadar mengacara dengan mengumumkan atur cara majlis, tetapi sebaliknya turut mengupas dan membincang apa yang dikatakan oleh para pensyarah. Oleh itu, kami turut fokus tentang apa yang diperkatakan dan dapat membawa pulang banyak ilmu dari situ.

TINDAKAN BETUL
Di universiti, tugas saya selaku Penyelaras Belia RCE juga berkait rapat dengan soal kemampanan. Tambahan pula, universiti juga tekad memperjuangkan pembangunan mampan, maka saya lebih memahami soal berkaitan ESG ini.
Malah, pusat kemampanan di universiti kami sering menerima pelawat daripada universiti luar negara yang datang untuk belajar dan bertukar-tukar pendapat tentang kaedah penerapan amalan pembangunan mampan.
Dunia sedang bergerak pantas ke arah pembangunan mampan untuk menyelesaikan serba masalah yang dihadapi. Maka amatlah penting bagi kita untuk memilih tindakan yang betul agar tidak sekadar menyalak tatkala bumi telah hancur. Saya tidak hairan jika dalam masa 20 tahun yang akan datang, barulah kita akan kecoh tentang hal ini kerana sudah melihat kesannya. Sesal kemudian tiada gunanya.
Saya bersyukur kerana penglibatan saya di universiti dan kegiatan luar telah memberi banyak pengetahuan dalam hal ini.
Semoga perkara ini terus diberi perhatian semua demi kesejahteraan anak-cucu kelak. Kita akan hanya memperbodohkan diri jika sendiri tidak faham dan tidak bersiaga tetapi ingin menyalahkan yang lain.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










